BAGI seorang ibu yang membesarkan cahaya mata tersayang, menjaga kesihatan bukan semata-mata soal penampilan atau angka pada penimbang.
Begitu juga buat pelakon Datin Almy Nadia yang kini memberi lebih perhatian kepada usaha mengecilkan badan selepas menyertai program kesihatan bersama sebuah klinik baru-baru ini.
Namun, perubahan itu bukan kerana mahu kembali mengejar dunia lakonan seperti yang mungkin disangka ramai.
Sebaliknya, wanita berusia 40 tahun itu menjelaskan, keutamaannya ketika ini cukup sederhana iaitu mahu memiliki tubuh yang lebih sihat demi diri sendiri dan keluarga.
"Saya juga tidak amalkan sebarang rawatan lain kecuali rawatan menggunakan mesin tanpa abaikan senaman dan fokus kawal makan," katanya ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.
Almy turut menegaskan, usaha berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan perancangan untuk kembali berlakon dalam masa terdekat.
Katanya, walaupun tidak menolak kemungkinan untuk kembali ke set penggambaran suatu hari nanti, buat masa ini tanggungjawab terhadap anak-anak masih menjadi keutamaan.
"Sebab masih ada anak-anak yang nanti memerlukan perhatian saya. Insya-ALLAH," ujarnya.
Malah, Almy mengakui keputusan untuk memberi perhatian terhadap kesihatan turut mendapat teguran daripada doktor dan suaminya, Datuk Fizz Fairuz.
"Doktor marah, suami marah," katanya berseloroh.
Almy atau nama penuhnya Ungku Almy Nadia Aminuddin Shah mendirikan rumah tangga dengan Datuk Fizz Fairuz atau Mohd Fairuz Zainal pada April 2014.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan lima anak perempuan iaitu Nur Afrina Arianna, 11, Nur Afrina Aurora, 10, Nur Afrina Ayra, 8, Nur Afrina Aisyah, 5, dan Nur Afrina Alisya, 2.
Belajar memahami anak generasi kini
Dalam pada itu, Almy turut berkongsi pandangan mengenai isu ibu bapa toksik yang sering menjadi perbualan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
Bagi ibu kepada lima cahaya mata itu, dirinya tidak mempunyai pengalaman berdepan situasi berkenaan. Namun, dia berpandangan ibu bapa hari ini perlu lebih terbuka dalam memahami perubahan zaman.
"Tidaklah dalam 100 peratus yang kita ikut. Ada yang anak-anak kita ikut dan ada yang kita perlu ikut untuk anak-anak.
"Zaman sekarang tidak sama macam dahulu. Jadi kita kena bertoleransi dan bertolak ansur dengan anak-anak. Itu sahaja yang saya boleh cakap," jelasnya.
Bercakap mengenai pengaruh media sosial pula, Almy tidak melihat platform tersebut sebagai punca utama kepada sesuatu tingkah laku.
Sebaliknya, katanya, ia banyak bergantung kepada cara seseorang mengawal diri serta membuat pilihan terhadap perkara yang mahu dilihat dan diikuti.
"Kalau awak rasa benda itu tidak elok, jangan tengok. Itu sahaja bagi saya. Kalau diri sendiri toksik, maka toksiklah anda," katanya.
Buat masa ini, Almy memilih untuk menikmati fasa kehidupan sebagai ibu sepenuh masa sambil perlahan-lahan memberi ruang kepada dirinya sendiri untuk lebih menjaga kesihatan.
Soal kembali berlakon pula, biarlah masa yang menentukan. Apa yang pasti, pintu itu tidak pernah ditutup rapat oleh ibu kepada lima anak berkenaan.