APABILA nama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali disebut, bagi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ia bukan sekadar tentang kisah dua insan yang bertahan bersama selama puluhan tahun. Ada jasa, pengorbanan dan pengalaman hidup yang menjadikan perjalanan pasangan itu jauh lebih besar daripada sekadar sebuah kisah cinta.
Sebab itu, apabila ada pihak yang melihat persamaan antara kisah cintanya bersama Bella Astillah dan pasangan negarawan tersebut, Ahli Parlimen Muar itu memilih untuk merendah diri.
Menurut Syed Saddiq, perjalanan hidup yang dilalui Tun M dan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah terlalu panjang untuk dibandingkan dengan dirinya dan Bella yang baru hendak melangkah ke alam perkahwinan.
"Saya rasa kami tidak layak untuk dibandingkan dengan Allahyarhamah dan juga Tun Dr Mahathir. Tidak dekat pun, malah tidak sampai satu peratus kerana kalau kita lihat jasa mereka, ia memang luar biasa," katanya.
Tun Hasmah sumber inspirasi
Bagi Syed Saddiq, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah bukan sahaja dikenang sebagai pasangan kepada seorang pemimpin negara, malah mempunyai perjalanan tersendiri yang cukup memberi inspirasi.
Beliau secara khusus melihat sumbangan Allahyarhamah dalam bidang perubatan sebagai sesuatu yang wajar dikenang, terutama ketika peluang untuk wanita menceburi bidang berkenaan masih terbatas.
Menurutnya, Allahyarhamah antara doktor wanita terawal yang memainkan peranan dalam memberi inspirasi kepada golongan wanita, selain pernah melalui pengalaman berkhidmat kepada masyarakat di luar bandar.
"Tun Dr Hasmah salah seorang doktor wanita terawal yang memberikan inspirasi kepada wanita. Beliau satu-satunya doktor wanita dalam kelompoknya ketika itu di Singapura dan mendapat biasiswa," katanya.
Selepas pulang ke tanah air, Allahyarhamah pada awalnya berkhidmat di kawasan bandar. Namun, apabila ditugaskan ke luar bandar, beliau tidak melihat perubahan itu sebagai alasan untuk berundur.
Sebaliknya, pengalaman tersebut membuka ruang untuk beliau mendekati masyarakat, membantu keluarga serta memberi pendedahan mengenai kepentingan pendidikan moden kepada anak-anak di kawasan berkenaan.
"Bila pulang untuk berkhidmat, pada awalnya beliau berada di kota, tetapi apabila diberikan ujian dan cabaran untuk dihantar ke kawasan luar bandar, beliau tidak mengeluh.
"Beliau pergi membantu dan mendidik keluarga serta anak-anak di sana untuk menerima pendidikan moden. Beliau adalah antara yang terawal dan perintis," ujarnya.
Jasa Tun M tidak perlu dipersoalkan
Bercakap mengenai Tun M pula, Syed Saddiq melihat sumbangan bekas Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang begitu besar dalam perjalanan negara.
Beliau tidak merasakan perlu menghuraikan satu demi satu pencapaian negarawan tersebut kerana sebahagian kesannya, menurut beliau, masih dapat dilihat dan dirasai sehingga hari ini.
"Tun Dr Mahathir lagilah. Saya rasa tidak perlu menyenaraikan satu per satu pencapaian dan jasa beliau kepada negara yang sehingga hari ini kita masih menerima manfaatnya," katanya.
Justeru, beliau memahami sekiranya ada yang membuat perbandingan antara kisahnya bersama Bella dengan pasangan negarawan itu.
Namun, bagi Syed Saddiq, perbandingan tersebut lebih wajar dilihat sebagai tanda penghargaan atau niat baik daripada orang ramai, bukannya sesuatu yang perlu mereka dakwa sebagai setara.
"Sejujurnya, bagi mereka yang berkongsikan perkara ini, saya tahu ia datang daripada niat yang baik. Tetapi jawapan kami, kita tidak layak untuk disamakan kerana mereka jauh lebih ke hadapan daripada kami," katanya.
‘Kami baru muka surat pertama’
Menariknya, Syed Saddiq turut melihat perbandingan itu dari sudut kehidupan berumah tangga.
Baginya, tempoh yang dilalui bersama memainkan peranan besar dalam membentuk sebuah hubungan. Dalam hal itu, beliau mengakui dirinya dan Bella masih terlalu awal untuk bercakap tentang perjalanan panjang seperti yang dilalui Tun M dan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah.
"Saya tahu mungkin ada yang kata, bukan daripada sudut sumbangan kepada negara, mungkin daripada sudut cinta. Itu pun saya rasa kami tidak layak," katanya.
Syed Saddiq dan Bella kini berada di fasa untuk menghalalkan hubungan mereka, sedangkan pasangan negarawan tersebut sudah melalui kira-kira tujuh dekad kehidupan bersama.
Beliau menyifatkan tempoh itu bukan sekadar panjang dari segi masa, tetapi turut dipenuhi pelbagai pengalaman yang hanya dapat difahami selepas melalui kehidupan bersama.
"Kerana kami ini baru hendak berkahwin, hendak menghalalkan hubungan. Mereka ini sudah 70 tahun meraikan cinta dan kebijaksanaan bersama. Kami belum sampai pun 25 tahun, baru hendak membuka bab atau buku yang pertama," ujarnya.
Tidak berhenti pada perbandingan usia perkahwinan, Syed Saddiq menggunakan sebuah buku sebagai gambaran paling mudah untuk menjelaskan perbezaan perjalanan mereka.
"Kalau kita ibaratkan seperti sebuah buku, kami baru hendak menulis muka surat pertama. Mereka bukan sekadar menulis muka surat pertama, mungkin mereka sudah mempunyai perpustakaan sendiri yang boleh berkongsikan kisah cinta mereka.
"Bukan satu buku, tetapi sudah beribu-ribu buku," katanya.
Bukan mahu menyamai
Walaupun tidak mahu kisahnya bersama Bella disamakan dengan Tun M dan Allahyarhamah Tun Dr Hasmah, Syed Saddiq mengakui hubungan rapat dengan pasangan tersebut membuatkan beliau melihat mereka sebagai sumber inspirasi.
Baginya, pengalaman puluhan tahun yang dimiliki pasangan berkenaan adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat diperoleh dalam masa singkat.
Justeru, beliau lebih selesa mengambil perkara baik daripada perjalanan hidup mereka untuk dijadikan pedoman ketika memulakan lembaran baharu bersama Bella.
"Ini sesuatu yang sangat peribadi kerana saya tahu dan kami juga sangat dekat dengan mereka. Kami tahu betapa jauh lebih banyak pengalaman dan perjalanan yang mereka lalui berbanding kami.
"Apa yang kami boleh lakukan adalah mendapatkan sedikit sebanyak inspirasi daripada mereka," katanya.
Malah, tumangan Bella itu tidak meletakkan sasaran besar untuk mencontohi keseluruhan perjalanan pasangan tersebut.
Sebaliknya, sekiranya ada sedikit kebaikan yang boleh dipelajari dan diterapkan dalam kehidupan mereka, beliau sudah menganggapnya sebagai satu nikmat.
"Walaupun dalam perkara yang paling kecil, jika kami dapat mengambil walaupun satu peratus daripada kebaikan dan jasa yang mereka sumbangkan, itu pun sudah menjadi satu nikmat yang luar biasa," katanya.
Titip doa
Dalam pada itu, Syed Saddiq turut mengambil kesempatan menitipkan doa buat pasangan negarawan tersebut.
Beliau berharap Allahyarhamah Tun Dr Hasmah ditempatkan bersama orang beriman, manakala Tun Dr Mahathir diberikan kekuatan dan kesihatan untuk kembali pulih.
"Dengan apa yang berlaku baru-baru ini, saya berharap kita sentiasa berdoa supaya Allahyarhamah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman di jannah dan terus berdoa supaya Tun Dr Mahathir kembali pulih sepenuhnya," katanya.
Menurutnya, keadaan yang sedang dilalui Tun M bukan sesuatu yang mudah, apatah lagi buat keluarga yang sentiasa berada di sisi.
"Ia bukan satu proses yang mudah untuk beliau dan keluarga. Saya berharap dengan doa kita semua serta semangat yang kita berikan, beliau akan kembali lebih kuat, insya-ALLAH," ujarnya.
Beliau berkata demikian ditemui dalam majlis sidang media program Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq, siri istimewa eksklusif Astro yang mengabadikan perjalanan pasangan berkenaan menuju hari bahagia dan kehidupan sebagai suami isteri.
Bermula 6 Oktober 2026, lapan episod ‘Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq’ membawa penonton mengikuti persiapan pasangan itu bersama keluarga sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Program ini turut merakam detik bersama insan tersayang serta kehidupan mereka selepas diijabkabul.
Menurut Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, Astro menghargai kepercayaan yang diberikan untuk merakam perjalanan istimewa tersebut dan berharap penonton dapat menikmati setiap detik Bella dan Syed Saddiq, secara eksklusif menerusi Astro.