MENJELANG hari bahagia, bukan bakal pengantin sahaja yang sibuk membuat persiapan.Kongsi Bella Astillah baru-baru ini, anak-anaknya iaitu Ayden dan Ara, juga tidak dapat menyembunyikan rasa teruja apabila mengetahui ibu mereka bakal melangsungkan perkahwinan.
Keterujaan Ayden dan Ara itu tentunya menjadi momen manis buat Bella yang kini sedang sibuk membuat persiapan untuk melangkah ke fasa baharu bersama Syed Saddiq.
Menurut anak kelahiran Sabah itu lagi, kedua-dua cahaya matanya itu sering bertanya mengenai majlis yang bakal berlangsung, malah keterujaan mereka turut dirasai rakan-rakan yang sudah mengetahui tentang perkahwinan berkenaan.
"Memang sangat lain, mungkin sebab nak buka chapter yang baru. Saya bersyukur sangat.
"Terima kasih pada semua yang mendoakan dan sudah tentu pada ALLAH SWT sebab memberi peluang sekali lagi untuk saya. Semoga perjalanan (perkahwinan) ini akan diberkati Insya-ALLAH,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq mengakui proses menyiapkan sebuah majlis perkahwinan bukan perkara mudah kerana memerlukan banyak perbincangan, kompromi dan toleransi antara pasangan.
"Saya ini memang betul-betul bernasib baik, bukan setakat dapat bakal isteri yang baik, kuat bekerja dan rajin bahkan dua anak yang luar biasa," ujarnya.
Pada masa sama, beliau memuji Bella yang banyak memainkan peranan dalam menguruskan pelbagai perincian untuk memastikan majlis yang dirancang menepati impiannya.
“Full kredit buat bakal isteri saya, Bella yang banyak menguruskan perincian termasuklah bab pakaian dan sebagainya. Jadi, saya juga mahu dia mendapatkan majlis perkahwinan yang diimpikannya sambil itu kita seimbangkan faktor kewangan kerana itu sangat penting,” katanya.
Bagi Syed Saddiq, memberi ruang kepada bakal isterinya untuk menentukan perkara yang dirasakan penting adalah sebahagian daripada proses mereka menyesuaikan diri sebagai pasangan.
Malah, dia sendiri bersedia memberikan sedikit kelonggaran dalam beberapa perkara berkaitan persiapan agar Bella dapat menikmati momen tersebut seperti yang diimpikan.
“Saya beritahu dia, awak boleh dapat majlis perkahwinan impian awak. Cuma berikan saya sedikit kelonggaran dalam proses persediaan hantaran.
"Jadi, kadangkala kalua mungkin terkeluar skrip hantaran biasa itu, saya minta maaf dahulu. Saya banyak lebih luangkan masa impreparation of that. Sebab kini kami saling lengkap-melengkapi,” ujarnya lagi.
Dalam kesibukan menguruskan pelbagai perkara, kedua-duanya dilihat cuba mencari jalan tengah supaya persiapan tidak menjadi sesuatu yang membebankan.
Bagi Bella, sokongan daripada anak-anak dan insan terdekat pula menjadikan perjalanan menuju hari bahagia itu lebih bermakna.
Malah, apabila Ayden dan Ara sendiri begitu teruja untuk melihat ibu mereka bakal berkahwin, pastinya detik tersebut menjadi satu pengalaman yang akan dikenang bersama.
Di sebalik persiapan pakaian, hantaran dan pelbagai perincian lain, apa yang lebih penting buat pasangan ini adalah bagaimana mereka belajar untuk saling memahami dan bertolak ansur sebelum melangkah ke alam rumah tangga.