'We want to grow old together’ – Acis kongsi rahsia rumah tangga bahagia bersama Sheila Majid, Pilates dan bercuti berdua eratkan hubungan

Iklan

MENITI usia bukan bermakna perlu memperlahankan langkah, apatah lagi apabila masih banyak perkara yang mahu dilakukan bersama insan tersayang. Bagi Datuk Acis, menjaga kesihatan bukan sekadar untuk kekal cergas, tetapi juga ikhtiar agar dirinya dan isteri tercinta, Datuk Seri Sheila Majid, dapat terus menikmati kehidupan bersama hingga usia tua.

Pada usia 56 tahun, penerbit muzik itu masih aktif berlari dan melakukan Pilates. Menariknya, kedua-dua aktiviti tersebut bukan sahaja menjadi sebahagian daripada rutin kecergasannya, malah membuka ruang untuk dirinya dan Sheila berkongsi minat yang sama.

Iklan
Iklan

Kesedaran menjaga kesihatan semakin penting buat Acis apabila mengambil kira sejarah penyakit jantung dalam keluarganya. Justeru, berlari menjadi antara aktiviti yang dipilih untuk memastikan tubuh kekal aktif, di samping menjaga pemakanan dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Iklan

“Kesihatan ini, kita kena berlatih, bersenam, kita kena belajar olahraga, kita kena jaga makanan,” katanya ketika berkongsi pandangan tentang kepentingan menjaga kesihatan.

Selain berlari, Acis turut berjinak-jinak dengan Pilates selepas melihat Sheila konsisten melakukan senaman itu selama lebih 15 tahun. Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan tersebut dibuat atas kesedaran sendiri, bukannya kerana dipaksa isterinya.

Iklan

“Saya mulakan dua tahun yang lalu. Tapi saya tahu aktiviti ini sangat-sangat sukar,” katanya.

Pada awalnya, Pilates mungkin kelihatan seperti senaman yang mudah kerana pergerakannya tidak terlalu pantas. Namun, pengalaman sendiri membuatkan Acis menyedari bahawa aktiviti itu memerlukan kekuatan fizikal, kawalan tubuh dan tumpuan yang tinggi.

Malah, beliau mengakui masih berdepan cabaran ketika melakukan pergerakan tertentu, terutama jika tidak memberikan tumpuan sepenuhnya.

“Sejujurnya memang teruk. Menggigil? Even now, kalau ada certain parts yang saya tak betul-betul fokus, akan menggigil,” katanya berseloroh.

Menurut Acis, Pilates banyak melibatkan otot teras dan otot dalaman. Sebab itu, beliau tidak bersetuju dengan tanggapan sesetengah orang yang menganggap senaman tersebut hanya sesuai untuk wanita.

Baginya, berlari dan Pilates saling melengkapi dalam usaha menjaga kecergasan tubuh. Jika berlari menjadi pilihan untuk menjaga kesihatan, Pilates pula memberikan manfaat tersendiri, termasuk membantu mengatasi masalah sakit belakang yang pernah dialaminya.

“Tiada siapa yang paksa saya. Saya buat sebab saya selalu sakit belakang. It works for me,” jelasnya.

Lebih daripada manfaat fizikal, Acis turut berasa gembira dan bersyukur melihat Sheila, yang kini berusia 61 tahun, masih sihat. Baginya, kesihatan pasangan juga penting kerana mereka mahu terus menikmati pelbagai pengalaman bersama apabila usia semakin meningkat.

“Saya sangat gembira dan bersyukur dia sihat,” katanya.

Aktiviti bersama, eratkan hubungan

Melihat Sheila kekal aktif turut mengingatkan Acis tentang pentingnya mencari aktiviti yang boleh dinikmati bersama sebagai suami isteri.

Selepas bertahun-tahun membina kehidupan bersama, pasangan perlu terus mencari ruang untuk berkongsi pengalaman baharu. Bagi Acis dan Sheila, Pilates bukan satu-satunya aktiviti yang dilakukan bersama kerana mereka turut gemar menyelam skuba.

“Kita memang ada aktiviti-aktiviti yang selalu kita buat sekali. Macam, we go for scuba diving. We try to find activities that we can do until we grow old.

“So, we do scuba diving together. We do Pilates together,” jelasnya.

Walaupun masing-masing perlu memberikan tumpuan kepada pergerakan sendiri ketika melakukan Pilates, peluang berkongsi aktiviti sihat tetap memberikan makna tersendiri dalam hubungan mereka.

Bagi Acis, aktiviti sedemikian bukan sekadar mengisi masa lapang, tetapi juga cara untuk terus membina kenangan dan mengekalkan kebersamaan. Apatah lagi, mereka mahu menikmati kehidupan bersama dalam keadaan sihat untuk tempoh yang panjang.

“We want to grow old together,” katanya.

Bercuti berdua, segarkan kembali hubungan

Selain menjaga kesihatan fizikal, Acis turut menekankan kepentingan memelihara hubungan emosi dalam rumah tangga. Baginya, kehidupan berpasangan tidak selalunya berjalan lancar kerana perselisihan faham merupakan perkara biasa.

Apa yang lebih penting ialah cara pasangan menangani konflik dan kesediaan untuk memperbaiki keadaan sebelum masalah berlarutan.

“Bergaduh itu biasa. Tapi tak bergaduh itu lagi problem juga, kan? Cuma kalau bergaduh, jangan lama-lama. Kita kena cepat-cepat memperbaiki benda itu,” katanya.

Menurut Acis, pasangan perlu belajar menyelesaikan perselisihan dengan segera dan tidak membiarkan emosi menguasai hubungan terlalu lama. Komunikasi serta kesediaan untuk memahami satu sama lain juga penting bagi memastikan hubungan terus terpelihara.

Dalam kesibukan menguruskan keluarga dan komitmen masing-masing, beliau berpendapat pasangan suami isteri perlu memperuntukkan masa khusus untuk berdua tanpa gangguan rutin harian.

Antara caranya adalah dengan merancang percutian bersama. Tidak semestinya perlu melancong jauh atau berbelanja besar, sebaliknya cukup dengan meluangkan masa tanpa gangguan untuk menikmati kebersamaan seperti ketika awal bercinta.

“Kalau boleh, go for your holidays just the two of us. Tinggalkan anak ke apa ke. Just the two of you,” ujarnya.

Bagi Acis, keluar menonton wayang, menikmati makan malam atau merancang temu janji ringkas juga boleh menjadi peluang untuk pasangan berbual dengan lebih santai. Ruang itu membolehkan mereka berkongsi cerita, memahami perasaan masing-masing dan membincangkan perkara yang mungkin sukar dilakukan ketika sibuk menguruskan kehidupan seharian.

Beliau percaya, kebahagiaan rumah tangga tidak bergantung pada satu petua yang boleh menyelesaikan semua masalah. Setiap pasangan akan melalui pelbagai fasa, justeru usaha untuk memahami dan memperbaiki hubungan perlu dilakukan secara berterusan.

“There’s no magic pill. Semua orang akan lalui up and down and all that dalam rumah tangga,” katanya ketika diminta berkongsi pandangan tentang keharmonian rumah tangga.

Acis berkongsi perkara itu ketika ditemui SinarPlus pada sidang media Majlis Tertinggi Rock Queen Sidang Penutup yang dijadualkan berlangsung pada 5 Disember depan di Unifi Arena, Bukit Jalil. Beliau bertindak sebagai pengarah muzik bagi majlis berkenaan.