PERSAHABATAN tidak semestinya perlu dipamerkan untuk membuktikan betapa eratnya sesebuah hubungan. Ada insan yang memilih untuk menyimpan kenangan dan cerita bersama sahabat rapat sebagai sesuatu yang cukup berharga, jauh daripada perhatian umum.
Begitulah hubungan pelakon Toh Puan Syamim Freida dengan penyanyi dan pelakon Bella Astillah yang sudah terjalin sejak sebelum masing-masing mendirikan rumah tangga.
Meskipun jarang kelihatan bersama di media sosial, Syamim sebenarnya sudah lama mengenali Bella dan sentiasa bersedia berada di sisi sahabatnya itu apabila diperlukan.
Tidak hairanlah apabila Wanita cantik manis berusia 35 tahun itu antara yang dipilih sebagai pengapit wanita pada hari perkahwinan Bella dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, baru-baru ini.
Bagi Syamim, keakraban mereka bukan sesuatu yang perlu sentiasa dikongsikan kepada umum kerana dia lebih selesa menjaga privasi hubungan persahabatan yang dibina sejak sekian lama.
“Bagi saya, kawan-kawan yang betul-betul rapat memang saya simpan sangat-sangat. Mungkin orang nampak kami jarang bersama, tetapi sebenarnya saya sentiasa ada untuk Bella kalau apa-apa berlaku.
“Kalau ada berita tentang dirinya, saya akan hubunginya terus. Saya memang mengikuti perkembangan dia dan bersedia bila-bila masa kalau dia perlukan saya,” katanya.
Dalam dunia hari ini yang menyaksikan pelbagai detik kehidupan mudah dikongsikan di media sosial, Syamim memilih pendekatan berbeza.
Baginya, tidak semua perkara perlu diketahui orang ramai, apatah lagi apabila melibatkan insan yang dekat di hati. Hubungan yang tulus tidak seharusnya diukur berdasarkan berapa kerap dua sahabat muncul bersama dalam gambar atau berkongsi momen di alam maya.
Bella wanita besi di mata Syamim
Lebih daripada sekadar sahabat lama, Bella turut mendapat tempat istimewa dalam hati Syamim yang melihat sendiri kekuatan wanita itu ketika berdepan pelbagai fasa kehidupan.
Di sebalik penampilan Bella yang lemah lembut dan keperibadiannya yang baik hati, Syamim menyifatkan sahabatnya itu sebagai seorang wanita yang memiliki ketahanan luar biasa.
“Bella seorang wanita yang sangat kuat. Dia menakjubkan, bijak dan sangat berdedikasi. Kalau tengok dari luaran, dia nampak lembut dan kecil molek, tetapi sebenarnya dia sangat kuat.
“Saya boleh katakan Bella seorang wanita besi, kuat luar dan dalam,” ujarnya.
Kekaguman itu hadir bersama rasa syukur apabila melihat Bella akhirnya menemui kebahagiaan bersama insan yang diyakininya mampu menghargai dan menjaga sahabatnya itu dengan baik.
Syamim mengakui dirinya gembira dan bangga melihat perjalanan hidup Bella, selain berharap rumah tangga yang dibina bersama Syed Saddiq sentiasa dilimpahi kebahagiaan.
“Saya sangat gembira dan bangga dengan Bella. Saya pasti YB akan menjaganya dengan baik. Saya juga terharu kerana akhirnya Bella sudah menemui insan yang menghargai dirinya,” katanya.
Sabar dan terus memilih satu sama lain
Melihat Bella memulakan fasa baharu dalam kehidupan, Syamim turut menitipkan pesanan buat pasangan itu agar sentiasa meletakkan kesabaran dan persefahaman sebagai asas dalam perkahwinan.
Baginya, kehidupan berumah tangga bukan sekadar tentang berkongsi hari-hari bahagia, tetapi juga kesediaan untuk terus memahami pasangan ketika berdepan perbezaan dan cabaran.
Sebab itu, komunikasi dan kesabaran perlu berjalan seiring supaya setiap persoalan dapat dihadapi bersama, bukannya dibiarkan menjejaskan hubungan.
“Dalam perkahwinan, kita perlu sentiasa mendoakan yang terbaik untuk satu sama lain. Apa-apa pun yang berlaku, kita kena sentiasa memilih satu sama lain setiap hari.
“Kena banyak bersabar dan berkomunikasi. Walau apa pun yang terjadi, kita perlu terus memilih orang yang sama,” ujarnya ketika ditemui selepas majlis pembukaan premis pertama jenama persalinan aktif, NADA baru-baru ini.
Pesanan itu bukan sekadar buat pasangan pengantin baharu tersebut, malah menjadi peringatan bahawa hubungan yang berkekalan memerlukan usaha daripada kedua-dua pihak.
Begitu juga dalam persahabatan Syamim dan Bella. Walaupun tidak selalu terlihat bersama, kehadiran seorang sahabat yang sentiasa bersedia mendengar dan memberikan sokongan membuktikan bahawa hubungan yang bermakna tidak semestinya memerlukan perhatian dunia luar.