Dedah suami jadi ‘jururawat peribadi’, Ella mahu berehat panjang selepas konsert penutup, rancang ceburi tanaman kelapa sawit

Iklan

SELEPAS menggegar pelbagai pentas mega sepanjang tahun ini, Ratu Rock negara, Ella Aminuddin mengejutkan ramai apabila membayangkan bakal 'berehat panjang' daripada persada seni suara.

Langkah berkenaan diambil bagi memberi ruang buat pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin, menyegarkan kembali minda dan fizikalnya selepas melalui jadual seni yang cukup padat.

Iklan
Iklan

"Tamat sahaja konsert nanti, saya betul-betul nak rehat dan pergi bercuti. Bila dah kembali fresh, barulah fikir rancangan seterusnya.

"Acara korporat mungkin berjalan seperti biasa, tetapi untuk konsert berskala besar, saya mahu ambil masa sebentar dan memberi tumpuan kepada bidang lain," kongsinya mesra.

Iklan

Antara fokus utama pelantun lagu Gemilang dan sembilu itu kelak adalah meluangkan masa menguruskan sektor pertanian yang diusahakan bersama suaminya sejak enam tahun lalu. Selain penanaman cili, pasangan ini merancang untuk melebarkan sayap ke bidang penanaman kelapa sawit.

Iklan

Bagi memastikan tahap tenaga dan kesihatannya sentiasa berada pada paras optimum, Ella turut mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengutamakan pengambilan real food, hidangan berasaskan sayur-sayuran serta nasi yang dikukus atau direbus tanpa bergantung kepada makanan diproses.

Petua tradisional suami

Walau bagaimanapun, rutin kecergasannya baru-baru ini sedikit terganggu akibat kecederaan otot ketika bersenam sendirian di rumah tanpa pengawasan jurulatih peribadi.

Menariknya, proses pemulihan beliau banyak dibantu oleh suaminya, Azhar Husaini Hasnawi menerusi kaedah tradisional yang diamalkan sejak turun-temurun.

"Kami gunakan garam kasar yang disangai, dimasukkan ke dalam sarung bantal dan dituam pada bahagian badan yang terjejas.

"Ia sangat baik untuk melancarkan peredaran darah, menyokong kesihatan tulang belakang, malah memberi kesegaran secara keseluruhan," kongsi Azhar yang setia bertindak sebagai 'jururawat peribadi' sepanjang tempoh pemulihan isterinya.

Namun begitu, sebelum benar-benar melangkah ke fasa rehat berkenaan, Ella tidak mahu berlalu pergi begitu sahaja tanpa meninggalkan memori terindah buat para peminat tegar yang sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya.

Bagaikan sirih pulang ke gagang, Ratu Rock berkenaan mengumumkan bakal mengadakan Konsert Majlis Tertinggi Rock Queen (Sidang Penutup) di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 5 Disember depan.

Gandingan nama besar

Konsert keempatnya bagi tahun 2026 itu disifatkan sebagai tanda ingatan tulus dan apresiasi khas buat peminat, terutamanya selepas beliau dianugerahkan Anugerah Sri Wirama pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) baru-baru ini.

"Sebelum ini saya raikan 51 insan yang banyak berjasa dalam perjalanan muzik saya, daripada komposer, rakan artis, syarikat rakaman hinggalah rakan media. Kali ini, giliran peminat pula. Konsert istimewa ini adalah hadiah penuh kasih sayang buat mereka," ujar Ella.

Satu daya tarikan utama pada malam kemuncak itu nanti adalah gandingan mantap beliau bersama dua nama besar industri, Datuk Ziana Zain dan Yuna.

Sorakan peminat di Pulau Pinang ketika gandingan Ella dan Ziana baru-baru ini menjadi dorongan utama untuk membawa magis berkenaan ke Kuala Lumpur, manakala penyertaan Yuna pula dibawakan khas sebagai kejutan istimewa buat penonton.

"Saya dan Yuna dah lama kenal, malah rumah kami pun berdekatan. Saya mengagumi bakat serta dedikasi mereka berdua, jadi apa salahnya kita kumpulkan semua tenaga hebat ini dalam satu pentas?" tambah wanita berusia 60 tahun itu lagi.

Sementara itu menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solution, Rohit Rampal, perancangan konsert berkenaan berlaku secara pantas sebaik sahaja Ella meluahkan hasrat untuk mengadakan acara penutup bagi siri persembahannya tahun ini.

Siri Konsert Majlis Tertinggi Rock Queen yang bermula di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Februari lalu sebelum menjelajah ke Singapura (Mei) dan Pulau Pinang (Ogos) bakal melabuhkan tirainya secara rasmi pada Disember ini, dengan jualan tiket siri Sidang Penutup mula dibuka pada 22 Oktober melalui saluran rasmi.