UCAPAN hari lahir daripada insan tersayang pastinya membawa makna tersendiri. Namun, apabila kasih sayang itu disulam dengan pantun spontan yang mencuit hati, lain pula jadinya!
Itulah yang mencuri perhatian ramai apabila pelakon, Fattah Amin menitipkan ucapan istimewa buat isterinya, Amira Othman, sempena ulang tahun kelahiran penyanyi dan pelakon itu yang ke-33.
Menerusi perkongsian di Instagram, Fattah meluahkan rasa syukur atas kehadiran Amira dalam hidupnya, terutama ketika dirinya memerlukan sokongan dan teman untuk mengharungi kehidupan.
Lebih menyentuh hati, pelakon itu turut menyelitkan doa agar kebahagiaan rumah tangga mereka berkekalan hingga ke syurga.
“Selamat hari lahir isteri syurgaku. Terima kasih hadir di saat saya memerlukan kamu. Semoga Allah pelihara kamu dan rumah tangga kita hingga ke syurga,” tulisnya.
Namun, ucapan romantik itu tidak lengkap tanpa sedikit usikan manja daripada Fattah.
“Jap, saya nak bagi pantun. Pen merah, pen biru, hidup I best bila ada you. I love you, ayang,” katanya berserta emoji yang menceriakan perkongsian tersebut.
Bukan sahaja membuatkan ramai tersenyum, pantun ringkas itu turut memperlihatkan sisi santai Fattah ketika meluahkan kasih sayang kepada isteri tercinta.
Menerusi perkongsian sama, Fattah turut berkongsi momen sambutan hari lahir Amira bersama kenalan rapat dalam sebuah majlis tertutup.
Ruangan komen hantaran itu pula dibanjiri ucapan daripada rakan artis dan peminat yang mendoakan kesejahteraan serta kebahagiaan pasangan berkenaan.
Ada yang terharu dengan panggilan ‘isteri syurga’ yang digunakan Fattah, manakala sebahagian yang lain terhibur dengan pantun spontan pelakon itu.
“Alololo, comelnya pantun itu. Selamat hari lahir, isteri syurga Fattah. Semoga yang baik-baik buatmu,” komen seorang pengguna.
“Amboi, kemain pantun dia. Hahaha, selamat hari lahir Amira Othman,” tulis seorang lagi netizen.
Tidak kurang juga peminat yang mengambil kesempatan mendoakan agar rumah tangga pasangan itu terus dilimpahi kasih sayang dan rahmat ALLAH SWT.
Untuk rekod, Amira sah bergelar isteri kepada Fattah pada 14 September 2025 menerusi satu majlis pernikahan tertutup di Golden Palm Tree Resort, Sepang.
Pasangan itu dinikahkan dengan sekali lafaz pada malam berkenaan, yang turut dipilih bersempena ulang tahun kelahiran Fattah.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Jarir Umar Abdul Fattah.
Semoga pertambahan usia Amira membawa lebih banyak kebahagiaan, rezeki dan keberkatan buat dirinya serta keluarga kecil mereka.