Zarif Ghazzi semakin popular menerusi Kudrat 1968, mahu masyarakat fahami kesan buli – ‘Abbas mengajar saya erti bersyukur’

Iklan

SELEPAS tiga hingga empat tahun membina nama dalam dunia lakonan, pelakon meningkat naik, Zarif Ghazzi akhirnya merasai hasil titik peluhnya mula mendapat perhatian.

Filem Kudrat 1968: High Council membuatkan nama jejaka kacak itu semakin menjadi sebutan, sekali gus membuka ruang untuk penonton mengenali kemampuan lakonannya dengan lebih dekat.

Iklan
Iklan

Namun, di sebalik perhatian yang diterima, Zarif tidak melihat pencapaian itu sebagai tiket untuk berasa selesa. Sebaliknya, pelakon berkenaan menganggapnya sebagai satu amanah untuk terus memperbaiki mutu lakonan dan membawakan watak yang lebih mencabar.

Menerusi filem arahan Zulaikha Zakaria bersama pengarah bersama, Khairi Asyraff itu, anak muda berasal dari Johor itu menghidupkan karakter Abbas, seorang watak yang banyak mengajarnya tentang kehidupan, khususnya nilai kesyukuran.

Iklan

Baginya, karakter tersebut bukan sekadar watak yang perlu dihidupkan di hadapan kamera, malah pengalaman mendalami karakter itu turut mengubah cara dirinya melihat kehidupan.

Iklan

"Abbas ini mengajar saya erti bersyukur. Kalau kita rasa susah sekalipun, saya percaya ada orang lain yang melalui kesukaran lebih besar daripada kita.

"Itulah antara perkara yang saya belajar daripada Abbas, iaitu untuk menghargai apa yang kita ada," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Zarif Farahi bin Effie Ghazzi, karakter tersebut mempunyai perbezaan ketara berbanding dirinya, sekali gus menuntutnya keluar daripada zon selesa bagi memastikan watak berkenaan dapat disampaikan dengan berkesan.

Perbezaan itulah yang menjadikan pengalaman tersebut bermakna buat pelakon itu, bukan sahaja dari segi mental dan fizikal, malah dalam membentuk pemikirannya sebagai seorang anak seni.

Buli bukan sekadar untuk ditonton

Di sebalik konflik dan ketegangan yang dipaparkan dalam Kudrat 1968: High Council, Zarif melihat filem berkenaan sebagai medium untuk membawa penonton memahami kesan buli dengan lebih mendalam.

Baginya, menyampaikan mesej tentang buli bukan sekadar memberitahu penonton bahawa perbuatan itu salah. Sebaliknya, penceritaan melalui visual perlu membolehkan masyarakat menghayati sendiri kesan buruk yang ditanggung mangsa.

"Tanggungjawab saya sebagai pelakon adalah menyampaikan mesej tentang buli melalui visual supaya rakyat Malaysia bukan sekadar tahu, tetapi turut dapat merasai betapa teruknya kesan perbuatan itu," jelasnya lagi.

Anak saudara kepada pelakon veteran, Noryati Taib itu turut berpandangan, pembentukan tingkah laku anak-anak tidak boleh dipisahkan daripada persekitaran keluarga, khususnya cara ibu bapa berkomunikasi dan mendidik mereka sejak kecil.

Mengimbas zaman membesar, Zarif mengakui dirinya turut menonton filem seperti KL Gangster yang sarat dengan aksi dan keganasan.

Namun, dia bersyukur kerana didikan ibu bapanya membantu membentuk dirinya seperti hari ini.

"Saya percaya pengawasan, komunikasi dan cara didikan ibu bapa di rumah memainkan peranan penting dalam membentuk cara seseorang anak berfikir serta berinteraksi dengan orang sekeliling," jelasnya.

Pada masa sama, Zarif memahami bahawa isu buli perlu dilihat daripada sudut yang lebih luas.

Baginya, Kudrat 1968: High Council bukan sekadar mengetengahkan perbuatan membuli, tetapi turut menyentuh persoalan hierarki, senioriti dan politik yang membentuk hubungan kuasa dalam sesebuah kelompok.

Justeru, dia berharap penonton dapat melihat mesej yang cuba disampaikan melalui filem itu, bukan sekadar tertumpu pada konflik antara watak.

Populariti hadir bersama tanggungjawab

Dalam tempoh membina kerjaya, Zarif mengakui perhatian yang diterimanya selepas membintangi Kudrat 1968: High Council hadir bersama satu cabaran baharu, iaitu memenuhi jangkaan penonton terhadap kemampuan lakonannya.

Meskipun bersyukur apabila hasil usahanya mula mendapat pengiktirafan, dia tidak menafikan wujud perasaan takut untuk berdepan dengan harapan orang ramai.

Bagaimanapun, Zarif memilih untuk melihat perasaan itu daripada sudut berbeza. Daripada membiarkan ketakutan membataskan dirinya, dia menjadikannya sebagai dorongan untuk terus belajar dan memberikan persembahan yang lebih baik.

"Apabila orang mula meletakkan harapan, saya memang ada rasa takut. Tetapi saya tukarkan perasaan itu kepada tanggungjawab untuk melakukan yang lebih baik.

"Saya percaya apa sahaja yang kita buat mungkin tidak akan pernah cukup di mata semua orang. Sebab itu, tanggungjawab saya sebagai pelakon adalah untuk membawakan pelbagai jenis watak dan memberikan sesuatu yang berbeza kepada penonton," katanya.

Bagi Zarif, perjalanan sebagai pelakon masih panjang. Dia juga tidak menganggap dirinya sudah cukup bagus, apatah lagi untuk menyamai kemampuan pelakon-pelakon legenda yang lebih berpengalaman.

Sebaliknya, ruang untuk belajar dan memperbaiki penyampaian lakonan sentiasa terbuka, tanpa mengira sejauh mana seseorang itu sudah melangkah dalam kerjayanya.

"Saya masih banyak perlu belajar dari segi penyampaian lakonan. Saya belum cukup lengkap atau sehebat pelakon-pelakon legenda. Jadi, saya perlu terus belajar dan memperbaiki diri," katanya.

Konflik di sebalik tembok KUDRAT

Sekadar makluman, Kudrat 1968: High Council mengisahkan kepulangan Abbas ke KUDRAT ketika sekolah berkenaan dikepung pihak berkuasa secara mengejut susulan kes kematian seorang pelajar yang cuba disembunyikan.

Ketegangan antara pelajar elit dengan pelajar biasiswa turut menjadi antara konflik utama yang menggerakkan penceritaan filem berkenaan.

Selain Zarif sebagai Abbas, filem itu turut menampilkan Mierul Aiman, Dai Fuad, Akmal Asyraf, Evertts Gomes dan Chech Harith. Barisan pelakon lain termasuk Zamarul Hisham, Nabila Huda, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Aziz M. Osman.

Kudrat 1968: High Council bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 29 Oktober 2026.