IMPIAN seorang anak untuk melihat wajah bangga ibu bapa ketika menerima segulung ijazah akhirnya bertukar menjadi kenangan paling meruntun hati.
Momen yang sepatutnya diraikan dengan senyuman dan pelukan, Graduan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Husna Syakira Abd Halim, 23, terpaksa menerima hakikat kedua-dua insan tersayang pergi buat selama-lamanya sebelum sempat menyaksikan kejayaannya.
Lebih meruntun jiwa, pemergian ibu dan ayahnya berlaku ketika mereka dalam perjalanan untuk menghadiri istiadat konvokesyen yang dijadualkan berlangsung pada Selasa.
Luahan Husna yang menyifatkan dirinya sepatutnya melihat kedua-dua orang tua duduk bangga di hadapan pentas, sebaliknya terpaksa menyaksikan mereka disemadikan, cukup menggambarkan betapa berat kehilangan yang ditanggung.
Detik terakhir bersama ibu bapanya juga masih segar dalam ingatan apabila abangnya, Muhammad Syazwan Hakimi, 28, sempat membuat panggilan video kira-kira 20 minit sebelum kemalangan berlaku.
Menerusi panggilan itu, Husna dapat melihat keterujaan ibu bapanya yang tidak sabar untuk meraikan hari istimewa tersebut.
"Sebelum kejadian, abang telefon dalam pukul 1.20 petang. Masa itu mereka berhenti di Hentian Rehat dan Rawat Banjaran Titiwangsa. Abang tanya makanan sudah tersedia di atas meja atau belum. Saya jawab baru nak pergi beli.
"Dia halakan telefon kepada mak saya dan saya nampak muka mak bercahaya dan bersinar... Mereka gelak-gelak, itu kali terakhir saya hubungi mereka," katanya ketika ditemui di Masjid As Syakirin, Singkir Laut selepas selesai urusan pengebumian pada Selasa.
Memetik Sinar Harian, dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari Isnin, bapa Husna, Abd Halim Bakar, 64, dan ibunya, Siti Sarah Abd Rahman, 58, maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas persiaran membawa 30 penumpang di Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Perak.
Abangnya pula mengalami kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.
Bagi Husna, kepiluan itu bukan sekadar kehilangan dua insan yang menjadi sumber kekuatan, malah turut meragut peluang untuk berkongsi detik yang sudah lama dinantikan bersama mereka.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Logistik Perdagangan dan Pengedaran itu memberitahu, dia sedang membeli kasut untuk dipakai pada hari konvokesyen sebelum menerima panggilan daripada kakaknya yang memaklumkan kejadian berkenaan.
Lebih menyayat hati, segala persiapan yang dilakukan ibu bapanya untuk meraikan kejayaan tersebut kini menjadi kenangan yang sukar dipadamkan.
"Saya sewa homestay dan masa itu mereka sedang menuju ke sana. Semalam, ayah bawa kamera yang baru dibelinya sebab nak rakam saya ketika naik ke pentas menerima ijazah.
"Tetapi, saya tengok kamera digital itu sudah rosak dan patah.
"Mak sanggup belikan baju baharu, kasut baharu untuk tengok saya konvo. Tetapi, apabila nampak ada kesan darah, saya sedih," luahnya.
Kasih dan pengorbanan pasangan itu jelas terpancar melalui persiapan kecil yang dilakukan demi memastikan hari bersejarah anak mereka menjadi kenangan indah buat seisi keluarga.
Jenazah Abd Halim dan Siti Sarah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid As Syakirin sekitar jam 6 petang pada Selasa.
Sebelum itu, jenazah pasangan berkenaan dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Gerik, Perak sebelum tiba di kediaman mereka di Kampung Singkir Laut kira-kira jam 2 petang.
Sementara itu, pihak UMK turut menghulurkan bantuan kewangan dan sokongan kebajikan bagi meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah.
Timbalan Pendaftar Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMK, Mohd Badrul Hisyam Muhammad Alias berkata, universiti memperuntukkan bantuan tunai sebanyak RM2,000 kepada Husna Syakirah.
Bantuan itu diserahkan kepada pihak berkaitan bagi membantu keluarga berkenaan menghadapi saat sukar.
Buat Husna, segulung ijazah yang bakal diterima mungkin menjadi bukti perjalanan akademiknya, namun insan yang paling ingin dikongsikan kejayaan itu sudah tiada lagi di sisi.
Yang tinggal hanyalah kenangan sebuah panggilan video, wajah ibu yang tersenyum dan kamera ayah yang dibeli khas untuk merakam detik anaknya bergelar graduan.