DUNIA seni kehilangan seorang lagi anak seni apabila pelakon, Ezzaq Farrouq Harahap Jamaludin atau lebih dikenali sebagai Cico Harahap, meninggal dunia pada usia 48 tahun, kira-kira pukul 11 pagi tadi.
Anak kepada penyanyi legenda, Uji Rashid itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang selepas seminggu menerima rawatan akibat mengalami kesukaran bernafas.
Berita pemergian Allahyarham disahkan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), Sandakiah Azez kepada Harian Metro.
Menurut Sandakiah, Cico pada awalnya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum dipindahkan ke wad biasa pada Khamis lalu.
"Pada mulanya, arwah Cico dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), tetapi pada Khamis lalu dipindahkan ke wad biasa.
"Bagaimanapun punca kematiannya belum dapat dikenal pasti," katanya memetik Harian Metro.
Untuk rekod, Allahyarham mula aktif dalam bidang lakonan sejak 1993 dan pernah menghiasi dunia seni tempatan menerusi penglibatannya dalam industri hiburan.
Bagaimanapun, perjalanan hidup Cico turut diuji apabila Allahyarham dilaporkan mula berdepan masalah kesihatan sejak penghujung 2016.
Pelbagai ikhtiar dilakukan bagi mendapatkan rawatan terbaik buat arwah. Selain mendapatkan rawatan di hospital, Uji turut membawa anaknya menjalani rawatan perubatan Islam.
Sepanjang berdepan masalah kesihatan itu, usaha mendapatkan kesembuhan terus menjadi keutamaan keluarga.
Pemergian Cico menutup perjalanan hidup seorang anak seni yang mula mengukir nama dalam industri lakonan lebih tiga dekad lalu.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Salam takziah buat Uji Rashid serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan insan tersayang.