Anis Nabilah raih TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026, syukur perjalanan kulinari dihargai – ‘Setiap peluang dan cabaran membentuk diri saya’

Iklan

MEMASAK bukan sekadar tentang menghasilkan hidangan yang menyelerakan, sebaliknya turut menjadi ruang untuk seseorang berkarya, bereksperimen dan berkongsi cerita.

Bagi personaliti kulinari, Chef Anis Nabilah, perjalanan dalam bidang masakan yang diceburinya selama ini turut membuka banyak peluang untuk belajar dan mengenali potensi diri.

Iklan
Iklan

Setiap pengalaman, cabaran serta pertemuan dengan individu yang mempunyai minat sama menjadi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk dirinya sebagai seorang cef.

Justeru, apabila menerima pengiktirafan TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026 pada Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026, Anis menyifatkannya sebagai satu penghargaan bermakna yang cukup dekat di hati.

Iklan

Anugerah yang berlangsung di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangannya dalam bidang kulinari, malah menjadi suntikan semangat untuk terus mengembangkan minat dan berkongsi ilmu masakan dengan lebih ramai orang.

Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin tidak menyembunyikan rasa syukur dan terharu apabila usaha serta perjalanan seninya mendapat perhatian.

Iklan

“Terima kasih kepada World Gourmet kerana memilih saya sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026. Saya rasa sangat bersyukur dan terharu dengan penghargaan ini.

“Sepanjang perjalanan saya dalam bidang masakan, terlalu banyak pengalaman yang saya lalui dan ramai juga yang telah memberi inspirasi kepada saya. Setiap peluang dan cabaran yang datang banyak membentuk diri saya sebagai seorang chef,” katanya.

Bagi Anis, kejayaan yang dikecapi bukanlah noktah kepada perjalanan kerjayanya. Sebaliknya, masih banyak perkara yang ingin diterokai, termasuk impian untuk memperluas perkongsian minatnya dalam dunia masakan.

Beliau turut menghargai insan di sekeliling yang sentiasa menjadi sumber kekuatan, terutama keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja yang tidak pernah putus memberikan sokongan.

“Saya sangat menghargai semua yang sentiasa ada dan menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” ujarnya lagi.

Raikan bakat dan sumbangan industri kulinari

Dalam pada itu, penganjuran Anugerah World Top Gourmet 2026 turut menjadi platform menghargai sumbangan cef, usahawan serta pengusaha makanan dan minuman (F&B) yang mewarnai industri kulinari tempatan dan antarabangsa.

Majlis berkenaan diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim selaku tetamu kehormat.

Turut hadir dua nama besar dunia kulinari, Adjunct Professor Datuk Chef Wan dan Master Chef Dr Martin Yan yang diberi penghormatan sebagai Cef Kehormat.

Antara tetamu lain termasuk bekas Presiden World Chefs Association, Master Chef Thomas Gugler; pengasas Cooking for Charity, Master Chef Jeffrey Tan, OAM; Penaung World Gourmet, Lady Puan Sri Datin Sri Dr Susan Cheah serta wakil Tourism Malaysia, Puan Zuraini Abdul Ghani.

Selain pengiktirafan kepada individu, beberapa jenama F&B dari rantau Asia turut menerima penghargaan, antaranya Meng Zi Yuan dan Tao Tao Ju dari China, Yang Ming Spring dari Taiwan serta Quan An Ngon dari Vietnam.

Wakil tempatan yang turut mendapat perhatian termasuk Andaman Seafood Village, Cooper Mansion dan Seri Bako by Kwan Kee.

Penghargaan turut diberikan kepada pengasas restoran ikonik seperti Village Park, Madam Kwan’s dan D’Tandoor, selain penggiat industri serta personaliti popular termasuk Cousin Edison, personaliti Hong Kong Yeung Ming dan penyampai radio DJ Emely Poon.