Fazley Yaakob belanja RM500,000 lamar Vida, lengkap 1,200 dron dan cincin tiara, mesej ‘Nak Duduk Ipoh ke KL?’ jadi perhatian

Iklan

BUKAN sekadar lafaz ‘sudi atau tidak’, lamaran penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Vida (DSV), hadir dengan kejutan luar biasa yang pastinya sukar dilupakan.

Bayangkan, 1,200 dron menghiasi ruang udara dengan mesej istimewa, lagu kegemaran berkumandang dan sebentuk cincin eksklusif berbentuk tiara menjadi tanda kesungguhan seorang lelaki untuk membawa hubungan ke fasa lebih serius.

Iklan
Iklan

Lebih menarik, detik romantis yang dianggarkan menelan belanja RM500,000 itu turut disaksikan anak-anak kedua-dua belah pihak menerusi siaran langsung di TikTok pada 10 November lalu.

Menerusi kejutan tersebut, Fazley bukan sahaja berjaya membuatkan Vida menerima lamarannya, malah menjawab persoalan ramai mengenai sejauh mana seriusnya hubungan mereka yang sebelum ini sering menjadi perhatian di media sosial.

Iklan

Menurut pelantun lagu Asmara Ini, idea untuk melamar Vida secara terbuka bukanlah sesuatu yang dirancang dalam tempoh singkat. Sebaliknya, beliau mengambil masa kira-kira dua hingga tiga minggu untuk menyusun kejutan berkenaan, dengan persiapan intensif dilakukan selama hampir 14 hari.

Pemilihan TikTok sebagai platform melamar juga mempunyai sebab tersendiri memandangkan Vida cukup sinonim dengan dunia media sosial, khususnya platform berkenaan.

Iklan

“Pada saya, DSV ialah ‘Queen of TikTok’. Jadi, sudah sepatutnya kita meraikan beliau dalam dunia yang selama ini banyak meraikan dan menyokongnya.

“Ramai pengikut mengenalinya melalui TikTok dan sentiasa mengikuti siaran langsungnya. Sebab itu saya mahu melamar beliau menerusi platform yang dekat dengan hati dan pengikutnya,” kata Fazley.

Kejutan itu turut diserikan persembahan dua buah lagu, termasuk Di Alam Fana Cinta yang menjadi antara lagu kegemaran Vida sebelum mesej ‘Nak Duduk Ipoh ke KL?’ dipaparkan menerusi formasi dron.

Anggaran kos keseluruhan RM500,000 itu merangkumi persembahan dron, produksi, persiapan acara dan beberapa keperluan lain dengan sokongan serta tajaan beberapa pihak.

Cincin tiara khas, simbol keistimewaan Vida

Bagi melengkapkan detik berkenaan, bapa kepada empat cahaya mata tersebut turut menyediakan sebentuk cincin eksklusif bernilai RM7,000 hasil ciptaan Habib Jewel.

Menariknya, rekaan cincin itu diinspirasikan daripada kecenderungan Vida yang gemar menggayakan mahkota atau crown sehingga membentuk konsep tiara.

Malah, cincin berkenaan dihasilkan secara khusus untuk usahawan tersebut dan hanya satu unit direka sedemikian.

Bagaimanapun, Fazley menjelaskan pemberian itu bukan cincin pertunangan rasmi, sebaliknya simbolik kepada hasratnya untuk membawa hubungan mereka ke peringkat seterusnya.

“Cincin ini adalah simbolik lamaran saya kepada DSV. Ia bukan cincin pertunangan, tetapi tanda bahawa hubungan kami serius.

“Selama ini ramai bertanya sama ada hubungan kami benar-benar serius, sekadar kandungan media sosial atau sebenarnya sudah berkahwin. Jadi, saya mahu memberikan jawapan yang jelas kepada masyarakat,” jelasnya.

Sebelum kejutan itu dilaksanakan, Fazley terlebih dahulu mendapatkan restu ibu Vida. Baginya, langkah tersebut penting sebagai tanda menghormati keluarga wanita yang ingin dijadikan teman hidup.

Anak-anak jadi penyatu dua keluarga

Di sebalik kisah cinta dua figura terkenal itu, keakraban anak-anak kedua-dua belah pihak turut menjadi antara perkara yang memberikan makna kepada hubungan mereka.

Malah, anak-anak bukan sekadar mengetahui perkembangan hubungan tersebut, sebaliknya turut memainkan peranan dalam menjayakan kejutan lamaran berkenaan, termasuk membantu menyerahkan cincin kepada Vida.

Menurut Fazley, hubungan anak-anak mereka semakin rapat sehingga mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri dan sering meluangkan masa bersama.

“Anak-anaklah yang menyatukan kami. Mereka sangat positif dan saling menyokong antara satu sama lain.

“Mereka sudah biasa berjumpa, keluar bersama dan mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri. Alhamdulillah, hubungan mereka sudah seperti adik-beradik,” katanya.

Baginya, penerimaan anak-anak memberikan keyakinan untuk melangkah lebih jauh kerana hubungan yang dibina bukan hanya melibatkan dua individu, tetapi turut menyatukan dua buah keluarga.

Lebih menarik, di sebalik persiapan besar-besaran itu, beliau sebenarnya turut memikirkan kemungkinan lamaran berkenaan tidak diterima.

“Kalau beliau belum bersedia, saya akan berikan masa. Pada saya, perkara seperti ini tidak boleh dipaksa,” ujarnya.

Bermula dengan usikan anak-anak

Untuk rekod, hubungan Fazley dan Vida mula mendapat perhatian selepas kedua-duanya dikaitkan menerusi program realiti Talk To My Manager musim kedua.

Siapa sangka, perkenalan mereka sebenarnya bermula daripada usikan anak perempuan Vida, Cik B, dan anak sulung Fazley, Fariedz Fazley atau Payish.

Kedua-duanya dikatakan menjadi pencetus kepada pertemuan Fazley dan Vida di sebuah restoran Jepun sebelum hubungan mereka berkembang menjadi lebih rapat.

“Akhirnya, mereka mengatur pertemuan kami di sebuah restoran Jepun. Dari situlah kami mula mengenali satu sama lain dengan lebih dekat,” katanya.

Fazley turut mengimbas pertemuan bersama Vida pada Hari Arafah di Lexus Kuala Lumpur yang menjadi antara detik penting dalam perjalanan hubungan mereka.

Ketika itu, beliau menyatakan hasrat untuk mengenali usahawan berkenaan dengan lebih dekat, apatah lagi hubungan tersebut turut mendapat sokongan anak-anak.

“Pada mulanya beliau terkejut, tetapi selepas pertemuan itu hubungan kami menjadi semakin rapat. Alhamdulillah,” katanya.

Bersedia berbincang soal pernikahan

Selepas lamaran diterima, Fazley tidak mahu terburu-buru menentukan tarikh perkahwinan tanpa terlebih dahulu mendapatkan pandangan keluarga masing-masing.

Sebaliknya, beliau mahu segala urusan termasuk pertunangan, pernikahan dan majlis perkahwinan dibincangkan dengan teliti kerana keputusan itu turut membabitkan anak-anak.

“Saya tidak mahu melangkau proses yang sepatutnya kerana hubungan ini bukan hanya melibatkan kami berdua, tetapi juga anak-anak dan keluarga masing-masing,” jelasnya.

Selain mengimpikan sebuah keluarga bahagia, Fazley turut menyimpan hasrat untuk menggabungkan pengalaman serta kekuatan masing-masing dalam mengembangkan perniagaan pada masa hadapan.

“Harapan saya adalah untuk kami bersama-sama membesarkan anak-anak dan membina keluarga yang bahagia.

“Saya juga berharap kami dapat membina empayar perniagaan yang lebih besar dan kukuh demi masa depan anak-anak,” katanya.

Bagi pasangan itu, lamaran berkenaan bukan sekadar kejutan mewah yang menjadi perhatian ramai, sebaliknya satu langkah penting untuk membuka lembaran baharu dalam hubungan mereka.

Kini, selepas jawapan yang dinanti-nantikan diterima, perhatian pastinya terarah kepada perancangan seterusnya buat Fazley dan Vida dalam merealisasikan impian membina kehidupan bersama.