'Kena cakap lembut, beri sebab...' - Wawa Zainal kongsi cabaran didik anak remaja, dedah Hayla bayar deposit kondo hasil jualan kek batik

Iklan

MEMBESARKAN anak-anak yang sedang melalui fasa remaja bukan tugas mudah. Perubahan cara berfikir, emosi yang mudah tersentuh dan pengaruh persekitaran memerlukan ibu bapa lebih bijak menyesuaikan pendekatan dalam mendidik mereka.

Bagi usahawan dan juga bekas pelakon, Wawa Zainal, setiap anak mempunyai karakter dan kecenderungan tersendiri. Justeru, pendekatan mendidik juga tidak boleh disamakan, apatah lagi apabila anak-anak membesar dalam suasana yang berbeza berbanding zaman ibu bapa mereka dahulu.

Iklan
Iklan

Ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui, anak-anak remaja hari ini memerlukan penjelasan yang lebih terperinci apabila sesuatu perkara ditegah.

Berbeza dengan pendekatan ibu bapa dahulu yang mungkin lebih tegas, generasi sekarang perlu didekati dengan cara lebih lembut.

Iklan

Anak kelahiran Sabah itu berkongsi, anak-anak bukan sahaja mahu mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan, malah turut mempersoalkan sebab di sebalik setiap keputusan ibu bapa.

"Jadi, kita kena terangkan dengan fakta. Itu antara cabaran membesarkan anak-anak zaman sekarang,” katanya lagi ketika ditemui SinarPlus baru-baru ini.

Iklan

Menurut isteri kepada pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel itu, anak-anak juga lebih mudah terasa hati walaupun perkara yang dibangkitkan kelihatan kecil.

Mengulas tanggapan bahawa generasi muda hari ini lebih rapuh dari segi emosi, Wawa tidak menolak kemungkinan pendedahan terhadap dunia luar yang semakin terbatas akibat penggunaan telefon dan media sosial turut mempengaruhi keadaan tersebut.

“Kalau benda itu kecil sahaja, mereka boleh rasa macam rapuh. Mungkin sebab mereka tidak tahu bagaimana dunia luar sebenarnya.

“Kita kena ceritakan pengalaman kita dahulu. Apabila kita beritahu bagaimana mama dan ayah dibesarkan, mereka pula tertanya-tanya kenapa ibu bapa kita mendidik dengan cara begitu,” ujarnya.

Hasil usaha sendiri, Hayla miliki rumah kondo

Selain berkongsi cabaran membesarkan anak remaja, Wawa turut mendedahkan satu pencapaian membanggakan anak perempuannya, Hayla.

Lebih istimewa, sebuah unit kondominium yang dibeli tahun lalu sempena ulang tahun kelahiran Hayla kini sudah siap dan kunci kediaman berkenaan telah diterima.

Menariknya, pembelian itu bukan sekadar hadiah daripada ibu bapa, sebaliknya turut menggunakan hasil usaha Hayla sendiri menerusi perniagaan kek batik dan pencuci mulut yang pernah diusahakannya.

Wanita berusia 35 tahun itu menjelaskan, dia memilih untuk menyimpan hasil jualan anaknya dalam bentuk aset berbanding membiarkan wang tersebut habis digunakan begitu sahaja.

“Tahun lepas, saya belikan Hayla rumah kondo sempena hari lahirnya. Sekarang rumah itu sudah siap, kami pun sudah dapat kunci dan sedang buat pengubahsuaian.

“Itu hasil kerja dia sendiri. Bukanlah idea saya yang suruh anak bekerja. Dia memang minat buat pencuci mulut dan Alhamdulillah, sambutannya pun agak bagus. Jadi, duit itu kita gunakan untuk dia,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Wawa turut berkongsi keistimewaan Hayla yang cemerlang dalam pelajaran meskipun membesar dalam persekitaran sekolah antarabangsa.

Walaupun menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan pembelajaran di sekolah, Hayla sebenarnya lebih selesa bertutur dalam bahasa Melayu apabila berada di rumah.

“Di sekolah memang mereka bercakap bahasa Inggeris sebab sekolah antarabangsa. Tetapi dengan saya dan ibu bapa, dia tetap bercakap bahasa Melayu.

“Apabila berjumpa orang lain, barulah kita dengar dia bercakap bahasa Inggeris. Kami pun terkejut juga, rupanya pandai dia bercakap bahasa Inggeris,” katanya berseloroh.

Minat seni berbeza, hubungan adik-beradik tetap rapat

Menyentuh kecenderungan anak-anak terhadap dunia seni, Wawa mengakui Hayla antara yang menunjukkan minat untuk mengikut jejak langkah ibu bapanya.

Anak keduanya itu juga berminat untuk berlakon dan menyertai pertandingan tarian. Namun, setiap minat perlu disertai usaha dan kesungguhan sebelum seseorang mampu mencapai kejayaan.

Malah, abangnya, Attar juga dilihat mempunyai sedikit rasa ingin mencuba apabila melihat perhatian yang diterima Hayla di media sosial.

Bagaimanapun, Wawa memahami bahawa setiap anak mempunyai kecenderungan tersendiri dan tidak semestinya berminat untuk berada di hadapan kamera.

Katanya, hubungan Hayla dan Attar juga cukup akrab sehingga jarang berlaku perselisihan antara mereka.

Malah, jiran mereka pernah menegur bahawa kedua-dua anak sulung itu tidak pernah kedengaran bergaduh ketika kecil, berbeza dengan dua adik mereka yang kini lebih kerap berselisih faham.

“Sekarang ini, setiap hari dengar suara anak nombor tiga dan empat pula bergaduh,” katanya sambil ketawa.

Sekolah pilihan ibu bapa, hormat orang lebih tua tetap utama

Dalam soal pendidikan, Wawa berpendapat keputusan menghantar anak ke sekolah kebangsaan atau antarabangsa bergantung kepada keperluan dan pertimbangan setiap keluarga.

Kedua-dua sistem pendidikan mempunyai kelebihan serta cabaran tersendiri, termasuk dari segi persekitaran, jumlah pelajar dalam kelas dan pendedahan terhadap kepelbagaian budaya.

Menurutnya, sekolah kebangsaan memberikan peluang kepada anak-anak untuk bergaul dengan kelompok masyarakat yang lebih besar, manakala sekolah antarabangsa pula membuka ruang untuk mengenali budaya dan latar belakang berbeza.

Bagi keluarganya, Wawa memilih sekolah antarabangsa yang turut menerapkan pendidikan Islam, sekali gus memberikan keseimbangan antara pendedahan terhadap budaya luar dengan nilai agama.

Apa yang lebih penting, Wawa menegaskan pendidikan di rumah tetap menjadi asas pembentukan peribadi anak-anak.

Antara perkara yang diberi perhatian ialah adab dan sikap menghormati orang lebih tua tanpa mengira latar belakang atau kedudukan seseorang.

Malah, meskipun mempunyai pembantu rumah dan kakitangan yang membantu urusan keluarga, Wawa tetap menitikberatkan nilai hormat dalam diri anak-anak.

“Kadang-kadang mereka terus panggil nama sahaja. Saya akan tegur, ‘Ingat ini kawan kamu? Panggil aunty atau uncle’,” kongsinya.

Bagi Wawa, membesarkan anak bukan sekadar memastikan mereka cemerlang dalam pelajaran atau berjaya mengejar minat masing-masing. Sebaliknya, nilai hormat, adab dan kemampuan memahami kehidupan juga perlu dibentuk sejak kecil agar mereka membesar menjadi individu yang tahu membawa diri.