PERUBAHAN fizikal seseorang bukanlah perkara yang wajar dijadikan bahan komen, apatah lagi apabila kita tidak mengetahui apa yang sedang dilaluinya.
Situasi itu turut dirasai pelakon dan pengacara, Janna Nick apabila bentuk badannya menjadi perhatian sehingga mengundang pelbagai komen kurang menyenangkan.
Lebih mengecewakan, isteri kepada Dini itu menjelaskan perubahan fizikal berkenaan ada kaitan dengan pengambilan pil hormon sebagai sebahagian daripada ikhtiarnya untuk mendapatkan zuriat.
Tidak mampu lagi berdiam diri, Janna menerusi Threads meluahkan rasa kesal terhadap individu yang didakwa berterusan mengulas penampilannya.
Malah, pelakon itu membuat keputusan untuk menghentikan sementara perjalanan rawatan kesuburannya atau trying to conceive (TTC) dan memberi tumpuan kepada usaha menurunkan berat badan.
"Thank you kepada reporter mulut hangsuang yang tak habis-habis bercakap pasal bentuk badan saya. Semoga puas hati sekarang," luahnya menerusi Threads miliknya.
Sebelum ini, Janna turut menegur individu yang didakwa menjadikan perubahan fizikalnya sebagai bahan penulisan dan perbualan.
Menerusi satu lagi hantaran, pelakon itu mempersoalkan tindakan pihak terbabit yang seolah-olah tidak memikirkan perasaannya sebelum memberikan komen mengenai bentuk badan.
"Siapa reporter yang buat write up ni? Memang dasar hati hitam!
"Kalau saya gemuk dan tembam sekali pun, awak ke yang kena peluk cium saya?" tulisnya.
Dalam pada itu, Janna turut menyuarakan rasa syukur kerana suaminya tidak pernah menjadikan perubahan fizikal tersebut sebagai isu.
Sebaliknya, Dini sentiasa memberikan pujian dan membuatkan dirinya berasa dihargai tanpa perlu memikirkan pandangan orang lain.
"Boleh tak, stop comment pasal bentuk fizikal saya," katanya lagi.
Janna turut menjelaskan bahawa perubahan pada tubuhnya bukanlah sesuatu yang berlaku tanpa sebab.
Pengambilan hormon dan usaha mendapatkan zuriat menjadi antara perkara yang perlu dilaluinya, sekali gus menyebabkan berat badan meningkat.
"Jangan ganggu saya kalau saya tembam ke, gemuk ke, buruk ke sekali pun," kongsinya.
Sebelum ini, Janna pernah berkongsi mengenai pengambilan pil hormon sebagai salah satu ikhtiar untuk hamil. Namun, usaha tersebut turut memberi kesan kepada perubahan fizikalnya sehingga berat badan meningkat dengan ketara.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengasas Masha Group Sdn Bhd Enica Foong turut tampil menawarkan program 90 Days Weight Loss Challenge kepada Janna susulan perhatian terhadap perubahan fizikal pelakon itu.
Menurut Enica, program berkenaan kini memasuki fasa kedua selepas pelaksanaan fasa pertama yang disertai peserta dengan pelbagai testimoni positif.
Bagaimanapun, sama ada Janna akan menerima tawaran tersebut atau sebaliknya masih belum diketahui.
Apa pun, luahan Janna membuka ruang untuk kita lebih berhati-hati ketika memberikan komen mengenai penampilan seseorang. Di sebalik perubahan yang dapat dilihat, mungkin ada perjalanan peribadi dan cabaran yang tidak diketahui orang lain.