"Kenapa tak boleh? Apa salahnya kalau buat begitu?" Persoalan sebegini mungkin kedengaran biasa dalam kalangan ibu bapa yang mempunyai anak remaja, apatah lagi apabila generasi hari ini semakin berani menyuarakan pandangan sendiri.
Situasi itu turut dilalui penyanyi Datuk Ziana Zain yang mengakui berdepan pelbagai persoalan daripada anak-anaknya. Baginya, menegur sahaja tidak mencukupi kerana setiap larangan perlu disertakan penjelasan yang relevan supaya mudah diterima dan difahami.
Menurut Ziana, yang mesra disapa Kak Gee, dia masih mempunyai dua anak yang berada dalam fasa remaja. Pada usia tersebut, anak-anak mula menunjukkan rasa ingin tahu yang tinggi, selain sering mempersoalkan perkara yang dianggap tidak dibenarkan oleh ibu bapa.
Justeru, ibu bapa tidak boleh sekadar memberikan larangan tanpa penjelasan, sebaliknya perlu mempunyai alasan yang relevan dan mudah difahami.
"Sebagai ibu, kita kena ada jawapan yang relevan supaya mereka faham. Anak-anak zaman sekarang mahukan sesuatu yang masuk akal," katanya.
Tambah pelantun lagu Menadah Gerimis an puncak Kasih itu, pengaruh YouTube dan internet turut menjadikan anak-anak lebih terdedah kepada pelbagai maklumat.
Keadaan itu menyebabkan ibu bapa perlu lebih bersedia apabila anak-anak membandingkan sesuatu yang dipelajari daripada sumber luar dengan nasihat yang diberikan di rumah.
Bagaimanapun, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain percaya setiap teguran dan nasihat memerlukan masa untuk benar-benar difahami.
Pengalaman membesarkan anak-anak sulungnya, Aiman yang kini berusia 26 tahun dan Amar, 23, menjadi bukti bahawa ada perkara yang hanya akan disedari apabila mereka semakin dewasa.
Katanya, anak-anak yang dahulu sering mempersoalkan teguran ibu akhirnya mula memahami maksud di sebalik nasihat tersebut apabila berdepan sendiri dengan pengalaman hidup.
"Sebab itu saya selalu cakap dengan anak-anak, ibu tidak akan berhenti menasihati dan menegur sehinggalah ibu menutup mata," ungkapnya lagi.
Baginya, tanggungjawab seorang ibu dan bapa untuk membimbing anak tidak pernah berakhir. Nasihat serta didikan yang diterima daripada orang tua dahulu pula menjadi bekalan untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.
Jangan sakiti hati dan maruah wanita
Selain soal pendidikan dan pembentukan peribadi, Ziana turut menitikberatkan nilai hormat terhadap wanita, khususnya dalam mendidik anak-anak lelaki.
Baginya, lelaki perlu memahami bahawa menjaga maruah dan perasaan wanita bukan perkara kecil, sebaliknya satu tanggungjawab yang perlu dipupuk sejak awal.
Anak kelahiran merlimau, Melaka itu berkongsi tiga perkara utama yang sering ditekankan kepada anak lelakinya, iaitu menjaga maruah wanita, mengawal tutur kata supaya tidak melukakan hati serta tidak sesekali menggunakan kekerasan terhadap pasangan.
"Ketiga, jangan sekali-kali angkat tangan terhadap wanita," tegas ibu kepada empat cahaya mata.
Dalam masa sama, mengingatkan lelaki yang bakal mendirikan rumah tangga supaya tidak mengambil mudah tanggungjawab sebagai seorang suami.
Menurutnya, tanggapan bahawa urusan rumah tangga dan kerja domestik hanya perlu dipikul wanita tidak sepatutnya lagi dijadikan pegangan.
Sebaliknya, lelaki perlu melengkapkan diri dengan ilmu agama dan pengetahuan berumah tangga sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.
"Sebelum berkahwin, lengkapkan diri dengan ilmu, bukan sahaja ilmu agama tetapi juga ilmu berumah tangga. Jangan susahkan anak orang. Itu yang Kak Gee selalu pesan," katanya.
Tidak mahu anak terburu-buru berkahwin
Menyentuh soal jodoh, Ziana mengakui anak-anak lelakinya masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Malah, salah seorang daripada mereka masih belum menamatkan pengajian, manakala perancangan untuk bekerja dan mengumpul wang menjadi keutamaan sebelum memikirkan soal perkahwinan.
Bagi Ziana, tiada keperluan untuk memaksa anak-anak mengikut garis masa perkahwinan seperti generasi terdahulu.
Sebaliknya, dia memberi ruang kepada mereka untuk membina kehidupan sendiri dan membuat keputusan apabila benar-benar bersedia.
"Selagi belum mampu, jangan susahkan diri sendiri, anak orang dan keluarga. Perkahwinan datang bersama tanggungjawab," jelasnya.
Dalam soal pergaulan pula, Ziana berharap anak-anak lelaki dapat menjaga batas dan maruah diri serta wanita yang dikenali.
Baginya, meskipun perkenalan dalam dunia hari ini sukar dielakkan, pegangan agama dan iman perlu menjadi panduan supaya hubungan tidak melampaui batas.
Gelaran Datuk satu penghormatan dan rezeki
Dalam perkembangan lain, Ziana turut berkongsi perasaannya selepas menerima gelaran Datuk yang disifatkan sebagai satu penghormatan dan rezeki daripada ALLAH SWT.
Mengakui tiada perubahan besar dalam kehidupannya selepas menerima pengiktirafan itu, penyanyi berkenaan bagaimanapun bersyukur apabila layanan dan penghormatan masyarakat terhadap dirinya semakin dirasai.
Katanya, anak-anak juga terkejut apabila mengetahui berita tersebut, malah tidak menyangka ibu mereka bakal menerima gelaran berkenaan.
"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur. Bagi saya, semuanya rezeki ALLAH," kongsi Ziana Ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.