Shila Amzah kongsi momen santai bersama keluarga, gelagat Ubai dan anak-anak buat ramai terhibur – ‘Jaga anak-anak dengan anak mentua’

Iklan

Masa bersama keluarga tidak semestinya perlu diisi dengan aktiviti yang tersusun atau permainan mahal. Kadangkala, gelagat spontan, usik-mengusik dan sesi bermain di rumah sudah cukup mencipta suasana ceria, sekali gus menjadi kenangan manis buat anak-anak.

Itulah yang dapat dilihat menerusi video pendek dikongsikan penyanyi, Shila Amzah apabila dia meluangkan masa bersama suami, Ubai MZ serta dua cahaya mata mereka, Seth Uwais dan Rhea Akira.

Iklan
Iklan

Menerusi video tersebut, pelantun lagu Memori Tercipta itu dilihat bersahaja duduk di atas lantai sambil melakukan lip sync lagu I'm With You nyanyian Avril Lavigne.

Dalam masa sama, Ubai pula begitu asyik melayani kerenah dua anak mereka menerusi aktiviti bermain baling bantal yang berlangsung dalam suasana penuh gelak tawa.

Iklan

Lebih menghiburkan, Shila sempat mengusik suaminya menerusi kapsyen berseloroh yang menggambarkan situasi setiap kali dia perlu menguruskan anak-anak bersama seorang lagi 'anak' di rumah.

“Jaga anak-anak dengan anak mentua memang macam ni,” tulis pemilik nama sebenar Nurshahila Amir Amzah itu.

Iklan

Perkongsian berkenaan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial. Rata-rata terhibur melihat gelagat keluarga kecil tersebut, malah ada yang memuji kesungguhan Ubai melayani anak-anak.

Tidak kurang juga yang menyifatkan suasana itu sebagai gambaran kebahagiaan sebuah keluarga yang dibina dengan penuh kasih sayang, tanpa mengira perbezaan usia.

Aktiviti bersama keluarga

Antara komen yang mencuri perhatian termasuklah:

“Seronok tengok Shila Amzah sekarang makin bahagia. Moga hingga jannah bersama keluarga tercinta.”

“Akak, saya bukan nak mengapi-apikan ke, nak fire stone keee... tapi nampak macam Ubai bersungguh betul. Macam dah lama tunggu peluang ni. Tak main-main dia!”

“Nak marah suami, nak marah anak mentua. Biarkan dia happy. Anak-anak pula dah besar nanti pasti akan berkongsi dengan cucu cerita dan memori yang indah ini.”

Di sebalik gelagat lucu pasangan itu, terselit satu komen warganet yang menarik perhatian apabila mengaitkan aktiviti bermain baling bantal dengan pengalaman positif buat kanak-kanak autisme.

Menurut individu berkenaan, permainan ringkas seperti itu boleh menjadi salah satu cara untuk menggalakkan anak-anak bergerak, berinteraksi dan menikmati aktiviti bersama keluarga.

“Nampak biasa kan? Tapi untuk perkembangan anak-anak yang ada autisme, main baling-baling bantal ni pun boleh jadi terapi.

“Terima kasih bagi idea dekat saya,” tulisnya.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung membuka ruang untuk melihat aktiviti bermain dari sudut berbeza.

Walaupun nampak ringkas dan sekadar suka-suka, permainan bersama keluarga boleh memberi peluang kepada anak-anak untuk meneroka pergerakan, berinteraksi serta membina hubungan dengan orang sekeliling.

Namun, aktiviti seperti ini tidak boleh disamakan dengan terapi khusus untuk autisme kerana pendekatan sokongan dan intervensi perlu disesuaikan mengikut keperluan setiap kanak-kanak.

Untuk rekod, Seth Uwais ialah anak hasil perkahwinan Shila bersama bekas suaminya, Haris Idraki Elias. Selepas perkahwinan mereka berakhir pada 2022, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai pada Ogos 2023.

Hasil perkahwinan tersebut, pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak perempuan, Rhea Akira yang dilahirkan pada 9 Mei 2024.