EMPAT dekad bukan sekadar perjalanan sebuah jenama, sebaliknya menjadi saksi kepada perubahan, perjuangan dan kejayaan wanita Malaysia merentas generasi. Di sebalik setiap nama yang diraikan, tersimpan kisah keberanian, pengorbanan serta tekad untuk membuktikan bahawa wanita juga mampu mencipta perubahan besar dalam masyarakat.
Semangat itu terus menjadi nadi NONA yang meraikan ulang tahun ke-40 menerusi NONA Gala Awards 2026 bertemakan Glam Ruby Jubilee di Taming Sari Grand Ballroom, Royale Chulan Kuala Lumpur.
Lebih bermakna, sambutan berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang bersama-sama meraikan sumbangan serta pencapaian wanita dalam pelbagai lapangan.
Dibawakan secara eksklusif oleh NONA bersama seeNI dengan SFJ sebagai penaja utama, acara itu menghimpunkan tokoh berpengaruh dan peneraju industri yang masing-masing mempunyai perjalanan tersendiri dalam mencipta kejayaan dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, seni, fesyen, sukan dan kemasyarakatan.
Antara penerima pengiktirafan yang mencuri perhatian ialah Puan Sri Tiara Jacquelina menerusi NONA Icon of the Arts Award, Dr Fauziah Mohd Hasan yang menerima NONA Superwoman Award serta Sarjan Mejar Emma Firyana Saroji menerusi NONA Sports Icon Award.
Pengiktirafan tersebut bukan sekadar meraikan pencapaian individu, sebaliknya menghargai usaha dan sumbangan mereka yang membuka ruang serta memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita untuk melangkah ke hadapan.
NONA turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu NONA Rising 40 Under 40 dan NONA People's Choice Icons of the Year.
Menerusi kategori Rising 40 Under 40, tumpuan diberikan kepada barisan peneraju muda yang mula mencipta nama serta menyerlah dalam bidang masing-masing. Sementara itu, People's Choice Icons of the Year meraikan figura inspirasi pilihan masyarakat.
Langkah tersebut memperlihatkan usaha NONA untuk tidak hanya mengenang kejayaan generasi terdahulu, malah memberi pengiktirafan kepada bakat baharu yang bakal mencorakkan masa depan.
Ketua Pegawai Eksekutif seeNI, Encik Syamil Fahim Mohamed Fahim berkata, ulang tahun ke-40 NONA membawa makna lebih besar daripada sekadar meraikan usia sesebuah jenama.
“Empat puluh tahun merupakan satu pencapaian yang cukup bermakna buat NONA. Sepanjang perjalanan ini, NONA bukan sahaja menjadi saksi kepada perubahan dunia wanita, malah turut memainkan peranan dalam meraikan kejayaan, kepimpinan dan sumbangan mereka kepada masyarakat.
“Seiring dengan pendekatan kandungan berteraskan manfaat atau manfaat-led content yang kami bawa di seeNI, kami percaya setiap kisah yang dikongsikan harus mempunyai nilai yang lebih daripada sekadar menarik perhatian.
“Menerusi NONA Gala Awards 2026, kami bukan sahaja meraikan pencapaian, tetapi turut mengangkat kisah ketabahan, pengorbanan dan keberanian di sebalik setiap kejayaan. Inilah inspirasi dan nilai positif yang ingin kami sampaikan kepada masyarakat, agar kisah mereka dapat menjadi dorongan kepada generasi seterusnya untuk terus melangkah dan mencipta kejayaan tersendiri,” katanya.
Malam kemuncak NONA Gala Awards 2026 turut disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube dan Facebook rasmi NONA serta Mingguan Wanita.