KESIBUKAN menguruskan kerja, keluarga dan pelbagai komitmen harian kadangkala membuatkan masa untuk diri sendiri menjadi perkara terakhir dalam senarai keutamaan.
Sedangkan, meluangkan sedikit waktu untuk menjaga penampilan dan menikmati rutin kecantikan juga antara cara seseorang menghargai diri sendiri.
Mengangkat perspektif itu, Beauté Library dan B+ Clinic memperkenalkan pendekatan ‘Beauty, Without the Chase’ yang membawa mesej kecantikan tidak seharusnya menjadi sesuatu yang perlu dikejar sehingga membebankan diri.
Sebaliknya, penjagaan diri boleh dinikmati sebagai sebahagian daripada gaya hidup, mengikut keselesaan dan keperluan masing-masing.
Pendekatan tersebut diketengahkan menerusi satu acara pelancaran yang menghimpunkan wakil media serta pempengaruh, termasuk pemenang Miss World Asia 2026 dan Second Runner Up Miss World, Taanusiya Chetty serta Ketua Pegawai Eksekutif EMAX Corporate, Wilson Lee.
Antara perkara yang diperkenalkan pada acara berkenaan ialah PlasmaFX, teknologi yang digunakan dalam rawatan ION+Glow™ dan telah mendapat pengiktirafan daripada Medical Device Authority (MDA).
Pengenalan teknologi itu turut membuka ruang untuk pengunjung mengenali lebih dekat perkembangan rawatan kecantikan yang semakin memberi perhatian kepada keperluan individu, selain aspek penampilan luaran.
Pembaharuan kulit
Berkongsi pandangannya mengenai perubahan dalam dunia kecantikan, Wilson berkata, penjagaan diri kini bukan lagi sesuatu yang hanya diberi perhatian oleh golongan wanita.
“Kecantikan bukan lagi hanya menjadi perhatian wanita. Lelaki juga semakin mementingkan penjagaan diri. Hari ini, kecantikan bukan sekadar tentang penampilan luaran, tetapi juga pembaharuan kulit dan rawatan yang lebih peribadi, kerana setiap individu mempunyai keperluan kulit yang berbeza,” katanya.
Pandangan itu memperlihatkan bagaimana rutin kecantikan kini semakin bersifat peribadi, dengan setiap individu mempunyai pilihan dan keutamaan tersendiri dalam menjaga penampilan.
Suasana lebih santai turut dirasai menerusi penyertaan Beauté Library dan B+ Clinic sempena Kuala Lumpur International Beauty Week.
Ruang pameran yang disediakan menjadi lokasi untuk pengunjung dan pempengaruh mendapatkan maklumat mengenai rawatan ION+Glow™ selain mencuba pelbagai aktiviti interaktif.
Antaranya termasuk aktiviti heat pressing tote bag yang membolehkan pengunjung menghasilkan beg dengan sentuhan kreativiti sendiri, selain permainan Glow Rush yang menawarkan peluang memenangi rawatan percuma daripada Beauté Library dan B+ Clinic.
Acara berkenaan turut diserikan dengan sesi memperkenalkan PlasmaFX apabila Wilson menyempurnakan upacara menyingkap kain yang menutupi mesin tersebut, sekali gus memberi gambaran lebih dekat mengenai teknologi di sebalik rawatan ION+Glow™.