PASTINYA akan sampai satu masa dalam kehidupan keibubapaan yang mana anak perlu mula tidur dalam bilik berasingan.
Biarlah mereka diajar tidur berasingan apabila mudah bersedia dan seawal mungkin namun pengawasan ibu bapa sangatlah penting.
Pakar Kanak-Kanak merangkap Pensyarah Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Muhammad Yusoff Mohd Ramdzan berkata, pakar kanak-kanak tidak mencapai konsensus umur yang paling sesuai untuk memulakan pengasingan, namun umur paling awal ia selamat dibuat adalah 6 hingga 12 bulan.
"Pada umur ini, risiko sindrom kematian bayi mengejut atau sudden infant death syndrome (SIDS) semakin berkurangan.
"Ringkasnya, terpulang pada ibu bapa masa yang difikirkan sesuai untuk bermula. Yang pasti, bagi umat Islam, adab tidur dan penjagaan rahsia hubungan kelamin ibu bapa perlu dijaga daripada perhatian anak.," kata Dr Yusoff.
Pada masa sama, beliau turut berkongsi langkah-langkah untuk tidur berasingan dilakukan secara berperingkat.
"Ia mengambil masa yang agak lama kebiasaannya antara 1 hingga 2 minggu, bergantung pada faktor individu dan persekitaran," jelasnya.
Berikut antara langkah cadangan yang boleh dijadikan panduan oleh Dr Yusoff:
1. Biasakan anak dengan bilik tidur baharu.
Luangkan masa bermain, tukar pakaian dan tidur siang di bilik baharu. Ibu bapa perlu mempamerkan bahawa bilik baharu itu selesa dan selamat untuk tidur bersendirian.
Pastikan bilik bersih, tidak terlampau bercahaya dan tidak terlampau panas atau sejuk untuk memastikan anak tidur lena.
Bukan itu sahaja, pastikan anak tahu kedudukan barang, pakaian dan pintu bilik. Bagi anak yang lebih besar, ajar mereka cara memanggil ibu bapa jika terbangun pada waktu malam.
2. Bermula daripada tidur di atas katil yang sama, asingkan anak ke katil atau cot berbeza di dalam bilik yang sama.
Dengan cara ini, anak akan terbiasa tidur bersendirian di dalam ruang fizikal yang sama.
Ia juga memudahkan ibu bapa melayan kerenah anak yang baru menyesuaikan diri tidur bersendirian.
Selepas biasa tidur begini selama 1 ke 2 minggu, baru pindahkan anak ke bilik tidur mereka.
3. Tidur bersama anak di dalam bilik tidur anak selama beberapa malam.
Selepas biasa dengan cara itu, dodoikan anak sehingga tidur (membaca buku cerita, kisah-kisah Nabi, menyanyi) kemudian beransur ke bilik tidur sendiri.
Selepas berjaya dengan gaya itu, dodoikan anak dari jauh sikit, semakin lama semakin mendekati pintu bilik sehinggalah mampu mendodoi anak di muka pintu sahaja.
4. Pastikan rutin harian sebelum tidur adalah tetap.
Bermula dengan mandi petang, diikuti makan malam, solat, melakukan kerja sekolah, kemudian tidur pada waktu yang tetap.
Kurangkan aktiviti sebelum tidur yang mencergaskan minda seperti bermain gajet dan berbual bersama adik-beradik.
Artikel berkaitan: Bayi sumbing: Waspada kandungan bahan dalam produk skincare
Elakkan menonton cerita seram atau mengejutkan anak pada waktu malam. Anak akan susah tidur disebabkan imaginasi yang aktif.
Kurangkan juga kebergantungan mendodoi anak dengan menyusu semasa hendak tidur, dengan mengawal waktu penyusuan itu.
Keadaan melatih anak mendodoi diri sendiri dalam keadaan kenyang dan selesa dan rutin tersebut berbeza bergantung pada umur anak.
Akhir sekali, tanya doktor anda tentang waktu yang sesuai untuk tidur berasingan jika anak mempunyai masalah perubatan seperti pramatang, epilepsi, refluks, perkembangan lambat, atau lain-lain masalah yang memerlukan peralatan atau pemerhatian khas.
Moga bermanfaat!