JIKA dicongak semula, denggi merupakan salah satu penyakit ‘klasik‘ yang sangat berbahaya.
Denggi yang disebabkan oleh jangkitan daripada salah satu daripada empat jenis RNA Flavivirus (DENV-1, DENV-2, DENV-3 dan DENV-4) telah merebak sekurang-kurangnya di 150 negara.
Kira-kira 40 peratus populasi dunia berisiko mendapat jangkitan dengan 400 juta kes dilaporkan setiap tahun.
Berdasarkan sejarah, kes pertama denggi telah dilaporkan pada tahun 1789 oleh Benjamin Rush selepas wabak berkenaan menjadi penyakit sejagat di Asia, Afrika termasuk di Amerika Utara. Di Malaysia, kes pertama berlaku pada tahun 1902.
Bayangkan, selepas 231 tahun, sehingga kini tiada vaksin yang dapat dihasilkan untuk merawat penyakit bawaan nyamuk aedes betina itu.
[caption id="attachment_22362" width="1024"] MESKIPUN kecil, nyamuk aedes yang merupakan penyebab demam denggi boleh meragut nyawa manusia sekelip mata jika tiada rawatan susulan diambil.[/caption]
Apabila pandemik Covid-19 menyerang China sebelum merebak ke 215 negara dengan lebih 34 juta manusia mendapat jangkitan dan 1,027,489 juta nyawa sudah melayang (setakat semalam), titik fokus orang ramai lebih ke arah virus berkenaan tanpa ambil peduli soal jangkitan denggi.
Hakikatnya, tanpa sedar, di sebalik meledaknya angka pesakit yang menderita akibat virus SARS-Cov-2 itu, graf mangsa denggi mencanak naik di kebanyakan negara endemik seperti di Amerika Selatan termasuk negara-negara Asia seperti di Singapura, Indonesia, Bangladesh malah di Malaysia sendiri.
Menurut jurnal SN Comprehensive Clinical Medicine, di negara-negara tropika, Covid-19 dengan mudah boleh salah didiagnosis dengan penyakit berjangkit lain seperti denggi kerana gejala utamanya adalah demam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang khuatir dengan situasi itu memberitahu, Malaysia sudah mencatatkan sebanyak 50,511 kes wabak denggi dengan 88kematian (Januari hingga 13 Jun lalu). Covid-19 pula 12,088 (setakat semalam).
Di beberapa negara Asia, setakat Januari hingga Ogos lalu, Singapura melaporkan 21,834 kes denggi sementara di Indonesia, 68,753 kes.
Menurut Pengarah World Mosquito Program, Prof Scott O‘Neill, Perintah Kawalan Pergerakan telah menyebabkan penduduk di seluruh dunia tidak membersihkan kawasan rumah gara-gara terlalu paranoid untuk keluar.
Musim hujan yang lebih panjang berbanding kebiasaan di rantau Asia Tenggara juga dikatakan boleh mendorong kes bertambah, kata O‘Neill.
Melihat senario itu, ahli epidemiologi dan penyelidik seluruh dunia meluahkan rasa bimbang melihat perkaitan antara wabak denggi dan Covid-19.
[caption id="attachment_22363" width="1024"] RAMAI pakar bimbang trend peningkatan kes jangkitan Covid-19 seiring dengan graf kes denggi. Situasi itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di luar negara seperti India, Singapura dan Indonesia.[/caption]
Kes yang tercetus Singapura dan Thailand baru-baru ini antara contoh kes yang diperdebatkan.
Perkaitan virus Covid-19, denggi
Memperhalusi lebih lanjut, Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru, Sunway Medical Centre Velocity, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata, terdapat kekeliruan antara virus denggi dan Covid-19 pada saat krisis kesihatan global masih lagi meruncing.
Kepada SinarPlus, beliau terlebih dahulu menerangkan persamaan (lihat Rajah 1) dan perbezaan (lihat Rajah 2) antara kedua-dua virus berkenaan.
Meneruskan penerangannya, Dr Nurul Yaqeen berkata, jika seseorang individu mengalami demam iaitu melebihi suhu 37.5 darjah selcius, pihak hospital akan melakukan soal selidik yang signifikan.
Antaranya bertanya tentang sejarah penyakit, sosial, perjalanan dan keluarga.
[caption id="attachment_22347" width="600"] SEBARANG ujian yang ingin dilakukan sama ada Covid-19 atau denggi, pakar akan terlebih dahulu bertanya tentang sejarah perjalanan, keluarga, kawasan tempat tinggal dan beberapa perkara signifikan. Gejala demam kata pakar, tidak semestinya disebabkan seseorang terkena jangkitan virus korona atau denggi.[/caption]
Namun begitu, jangkitan paru-paru disebabkan kuman yang lain turut berkemungkinan tinggi kerana sebarang jangkitan kuman (pada paru-paru) yang disebabkan oleh apa jua jenis virus atau bakteria boleh menyebabkan simptom demam, batuk dan kesukaran bernafas.
"Bukan hanya virus korona sahaja yang boleh memberikan simptom seperti ini," jelasnya.
Menjawab pertanyaan lain sama ada mereka yang pernah menghidap denggi akan lebih terdedah atau mudah mendapat virus Covid-19? Pakar itu berkata, sehingga kini, pernyataan itu masih belum dibuktikan secara saintifik dan kukuh.
"Terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai perkara itu," ujarnya.
(Artikel berkaitan: Covid-19: Risiko besar kuarantin di rumah)
Dr Nurul Yaqeen turut memberi komentarnya terhadap kes yang berlaku di Singapura yang menyaksikan dua pesakit mendapat dua penyakit denggi dan Covid-19 pada masa sama seperti yang dinyatakan pada awal artikel?
"Pada pandangan saya, ada kemungkinan untuk pesakit dijangkiti dua jenis virus itu secara serentak, namun demikian, kebanyakannya adalah kes terpencil dan jarang berlaku," ujarnya.
Menguatkan hujahnya, pakar itu menegaskan, adalah mustahil virus denggi boleh berubah menjadi virus Covid-19 kerana kedua-duanya berasal dari keluarga virus dan struktur genetik yang berbeza. Namun demikian, sekiranya berlaku mutasi di luar jangkaan, pelbagai kemungkinan lain boleh berlaku, katanya.
Pun demikian, penyelidikan terkini oleh Universiti Hyderabad di India mendapati, virus denggi dan Covid-19 memiliki struktur protein dan berdasarkan RNA.
Penyelidik utama kepada kajian itu, Naresh Sepuri dan M Venkatramana berkata, protein yang dikodkan sebagai virus SARS-CoV-2 juga mempunyai urutan sasaran mitokondria (tempat respirasi sel) dan berpotensi untuk mengganggu fungsi utamanya (protein).
"Oleh itu, identifikasi protein matriks mitokondria pertama yang disasarkan daripada virus manusia dalam jangkitan denggi dapat mempertingkatkan keupayaan untuk menangani virus dalam manusia termasuk Covid-19," kata dua penyelidik itu menerusi satu jurnal.
Mereka menambah, tempoh 20 hingga 30 tahun lalu, virus penyebab ebola, HIV/AIDS, Zika dan H1N1 adalah berasal daripada RNA.
"Kami memeriksa apakah ada protein virus korona yang dapat masuk ke dalam mitokondria dan mendapati tiga daripadanya boleh. Hal ini (boleh) menyebabkan sesak nafas atau hipoksia yang tiba-tiba dilaporkan dalam kes COVID-19," ujar penyelidik berkenaan yang kini masih meneruskan penyelidikan lanjut mengenainya.
Pesakit denggi kebal Covid-19?
SinarPlus kemudian menarik perhatian Dr Nurul Yaqeen terhadap kajian Prof Miguel Nicolelis dari Universiti Duke, Brazil yang menemui perkaitan antara penyebaran virus Covid-19 dengan demam denggi.
Hipotesis Nicolelis menyebut, individu yang pernah menghidap denggi akan kebal daripada terkena serangan Covid-19. Beliau antara lain mendapati, statistik pesakit Covid-19 rendah di lokasi kes denggi yang tinggi di Brazil. Brazil, negara ketiga tertinggi di dunia dari segi jumlah jangkitan dengan 4.81 juta kes.
[caption id="attachment_22357" width="634"] PROF Miguel Nicolelis dari Universiti Duke, Brazil mendakwa, individu yang pernah menghidap denggi akan kebal daripada terkena serangan Covid-19. Brazil sedang bergelut dengan masalah jangkitan Covid-19 yang semakin meruncing kini.[/caption]
Nicolelis berkata, penemuan itu meningkatkan kemungkinan reaktiviti silang imunologi antara serotip Flavivirus denggi dengan Sars-CoV-2.
Berbincang mengenai kajian itu, Dr Nurul Yaqeen berkata, terlalu awal untuk mengatakan ia adalah satu fakta yang boleh digunapakai (buat sementara waktu).
Beliau juga berkata, jika pada suatu hari nanti, vaksin denggi ditemui oleh saintis, vaksin tersebut juga tidak boleh digunakan untuk merawat pesakit virus korona.
[caption id="attachment_22348" width="600"] SEKIRANYA vaksin denggi ditemui oleh saintis pada satu hari nanti, vaksin tersebut dikatakan tidak boleh digunakan untuk merawat pesakit virus korona. Bagaimanapun, segalanya mungkin lantaran perkembangan teknologi yang semakin pantas hari ini.[/caption]
Alasan ilmiahnya, kedua-dua virus itu berasal daripada keluarga dan struktur genetik yang berbeza. Namun begitu, dengan kemajuan sains dan teknologi, pelbagai kemungkinan boleh terjadi.
Dalam pada itu, Pakar Perubatan Keluarga IMU Healthcare, Prof Madya Dr Verna Lee Kar Mun berkata, rata-rata penduduk Malaysia mungkin pernah dijangkiti denggi sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.
"Seperti Covid-19, seseorang mungkin sudah dijangkiti tanpa pengetahuannya kerana 80 peratus daripada jangkitan denggi hanya menunjukkan tanda yang amat sedikit ataupun tiada sebarang (tanda langsung)," katanya.
Buat masa ini, tiada vaksin yang memberi perlindungan yang efektif untuk menentang virus denggi. Justeru, Dr Verna menasihatkan individu yang mengalami demam dan sakit badan berjumpa doktor.
"Pada saat ini, ramai yang mungkin agak was-was untuk ke hospital atau klinik kerana bimbang dijangkiti Covid-19. Namun, tak kira sama ada denggi atau Covid-19, jika penyakit telah berada pada tahap teruk, ia boleh membawa maut," katanya.
Ujar beliau, penggunaan telekonsultasi (pesakit dan doktor berhubung secara online) boleh menolong kumpulan risiko tinggi daripada jangkitan Covid-19.
Namun, kata Dr Verna, individu yang mengalami demam mencecah 38.5 hingga 39 darjah selcius, doktor tidak akan dapat mengesahkan sama ada mereka mengalami denggi atau Covid-19 melalui kaedah itu.
"Pergi segera ke klinik swasta atau kerajaan pada hari pertama yang anda rasa demam. Lazimnya, mereka yang mempunyai gejala denggi (tanpa gejala pernafasan) ditawarkan ujian diagnostik denggi (NS1 antigen).
Pesan Dr Verna, pesakit yang pernah mengalami demam denggi harus lebih berhati-hati jika gejala ini berterusan.
Kepada pesakit yang demam dan terus menyimpan perspektif bahawa diri atau orang sekeliling mendapat Covid-19 sekiranya demam, buang stigma itu jauh-jauh.
[caption id="attachment_22353" width="600"] KES Covid-19 yang semakin meningkat kepada tiga angka dalam minggu ini memberi signal kepada kita bahawa virus ini masih lagi berleluasa dan tidak pernah mengenal sempadan.[/caption]
Seperti kata Dr Nurul Yaqeen, simptom demam boleh berpunca daripada banyak jenis penyakit, bukan hanya denggi dan Covid-19 sahaja. Jangkitan pada paru-paru, otak, usus, saluran air kencing mungkin juga boleh menyebabkan demam.
Ingat, sama ada Covid-19 atau denggi, ia sudah mengajar kita bahawa tidak wujud sempadan bagi apa jua serangan virus.
Sumber gambar: Unsplash & Freepik