UMUM mengetahui sejak beberapa hari yang lalu, kes Covid-19 yang direkodkan kembali mencecah tiga angka.

Semalam sahaja kita sudah dimaklumkan beberapa kes yang melibatkan orang-orang ternama.

Pada masa sama, kita juga baru sahaja tamat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang meperlihatkan percambahan kluster-kluster baru di sana. Bilangan kes bagi setiap kluster tersebut agak tinggi.

Tidak terlepas daripada situasi itu termasuklah mereka yang telah melakukan pergerakan keluar masuk ke negeri berkenaan sama ada atas tujuan PRN atau urusan peribadi.

Rentetan daripada itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran.

Katanya, kes baru yang direkodkan sejak kebelakangan ini sangat membimbangkan apabila berulang kali merekodkan lebih 100 kes dalam masa satu hari yang mana sejak 7 September, sebahagian besar peningkatan adalah berpunca dari Kluster Benteng LD di Sabah.

Walaupun mulanya kes hanya tertumpu di Sabah, tetapi sejak 20 September yang lalu, telah ada 88 kes Covid-19 import dari Sabah telah dikesan di seluruh negeri di Semenanjung Malaysia.

Ini tidak termasuk kes penularan tempatan yang berpunca daripada kes import dari Sabah. Corak sebegini membuatkan kita rasa risau jika ia adalah permulaan kepada gelombang yang lebih besar.

Daripada pengamatan Dr Safiya sendiri, perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) bagi mengawal penularan Covid-19 melibatkan mereka yang baru pulang dari Sabah adalah sangat berisiko.

“Kluster PUI Sivagangga membuka mata kita tentang satu perkara penting iaitu, kuarantin di rumah ternyata tidak berkesan kerana akan ada orang yang tidak patuh kepada arahan tersebut. Walaupun cuma seorang yang tidak patuh, ia sudah cukup untuk memulakan satu gelombang wabak yang besar. Ini yang kita lihat berlaku di negeri Kedah sejak akhir Julai lalu yang mana hingga kini wabak di Kedah masih belum berakhir.

“Jika orang ramai bertanya mengenai langkah terbaiknya, ingin saya tegaskan kaedah yang paling baik adalah dengan melakukan kuarantin di pusat kuarantin seperti yang dilakukan oleh KKM kepada pengembara yang pulang dari luar negara.” katanya.

Satu lagi isu penting ialah berkenaan tempoh kuarantin.

14 hari ni adalah tempoh yang krikital.

Kenapa?

Ujian pengesahan Covid-19, RT-PCR tidak akan dapat mengesan jangkitan pada hari pertama (100 peratus gagal kerana semua ujian pada hari pertama jangkitan akan jadi negatif) manakala pada hari keempat jangkitan, ujian ini hanya mampu mengesan 67 peratus sahaja orang yang telah dijangkiti.

Kata lainnya, bagi 33 peratus orang yang buat ujian PCR pada hari keempat, keputusan akan keluar sebagai negatif walaupun sebenarnya mereka telah dijangkiti.

Iklan

Ujian pada empat hari pertama jangkitan adalah tidak memadai untuk kita mengesahkan seseorang itu bebas Covid-19 atau tidak. Jadi jika mereka tidak perlu kuarantin andai keputusan ujian hari pertama dan ketiga negatif, ini adalah keputusan yang amat berisiko dan mereka ini mungkin menjadi penyebar virus tanpa disedari.

Artikel berkaitan: Covid-19: Kembali kepada 3 angka, pakar kongsikan kes tersebar akibat ‘missing link’

Tempoh inkubasi bagi penyakit Covid-19 untuk kebanyakan orang ialah kira-kira 8 hari. 10 peratus daripada orang dijangkiti ada tempoh inkubasi yang lebih panjang iaitu kira-kira 14 hari manakala 1 peratus daripada orang dijangkiti ada tempoh inkubasi yang jauh lebih lama iaitu melebihi 20 hari.

Jadi tempoh kuarantin selama 14 hari membolehkan kita mengesan 99 peratus daripada orang yang telah dijangkiti dan menghalang mereka daripada menyebarkan virus ini tanpa disedari.

Mengenai soalan, wajar tak kita rasa risau kalau kita tahu rakan sekerja balik dari Sabah sebelum 27 hari bulan dan tidak buat screening tetapi datang kerja seperti biasa?

Iklan

“Ya, ia adalah berasas kerana sudah terang lagi sejarah pernah berada di Sabah adalah salah satu risiko dijangkiti Covid-19,” jawabnya.

Walaupun KKM kata tidak perlu kuarantin apabila saringan awal pada hari pertama atau hari ketiga negatif, tetapi majikan berhak untuk bersikap proaktif dan mengarahkan pekerja mereka untuk kerja dari rumah dalam masa 14 tempoh setelah tiba dari Sabah berdasarkan Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Itu adalah sebahagian dari tanggungjawab majikan untuk mengelakkan berlakunya penularan Covid-19 di tempat kerja.

Apa yang penting ialah semua pihak termasuk setiap individu mesti bersikap proaktif dalam menangani wabak ini dan tidak menunggu sahaja keadaan menjadi semakin parah. Setiap daripada kita boleh memainkan peranan utama dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 itu.

Foto: BERNAMA