PENDARAHAN hidung adalah masalah biasa yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak. Ia boleh berlaku secara spontan atau disebabkan oleh trauma.
Bagaimanapun, punca utama berlakunya masalah itu masih belum dapat dikenal pasti. Pun demikian, ia selalunya berkaitan dengan satu bahagian di dalam hidung iaitu little area yang senang untuk berdarah.
Apakah yang menyebabkan hidung berdarah?
Pengamal Perubatan Otorinolaringologi Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Ezairy M Sallih berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong.
Antaranya:
i) Sejuk dan alahan.
ii) Jangkitan pada salur hidung (sinus).
iii) Trauma. Sebagai contoh, menghembus hidung terlalu kuat, memicit hidung, kecederaan pada bahagian dalam hidung atau terdapat benda asing di dalam hidung.
iv) Dinding tengah hidung senget.
v) Ketumbuhan di dalam hidung (Contoh: polip dan tumor).
vi) Penyakit lain yang berkaitan (Contohnya sakit buah pinggang yang yang kronik, bilangan platlet yang rendah atau trombosaitopenia dan penyakit darah seperti hemophilia).
vii) Ubat-ubatan yang melambatkan pembekuan darah.
viii) Tindak balas bahan kimia.
Artikel berkaitan: Alat solek bukan untuk kanak-kanak, ini antara impak buruknya
Berikut tindakan yang boleh diambil jika orang sekeliling anda berdepan dengan masalah pendarahan hidung:
1. Dudukkan pesakit di dalam keadaan menegak dan tunduk ke depan secara membongkok. Bernafas melalui mulut.
2. Picit bahagian bawah hidung yang lembut selama 15 minit.
3. Letakkan ketulan ais pada pangkal hidung atau dahi untuk mengurangkan pengaliran darah di bahagian tersebut.
4. Lepaskan picitan pada hidung. Selepas 5 minit periksa semula sama ada pendarahan telah berhenti atau tidak.
5. Jika pendarahan masih berlaku, ulang semula langkah di atas.
6. Jika pendarahan masih berterusan, segeralah berjumpa doktor.