Alat solek bukan untuk kanak-kanak, ini antara impak buruknya

October 19, 2020
Farah Eliani

PADA masa kini, pasti ramai ibu yang ingin anaknya kelihatan cantik dan comel dengan menata rias wajah anak-anak mereka.

Namun tahukah anda, penggunaan alat solek terhadap kanak-kanak boleh mengakibatkan pelbagai kesan negatif?

Pakar Perubatan Am, Dr Syid Ayod Syid Mustafa Al-Qudri secara tegas mengingatkan ibu bapa jangan sesekali ambil mudah mengenainya.

“Ingat, alat solek bukan untuk kanak-kanak! Jika anda sayang anak-anak anda, jangan menata rias mereka selagi belum cukup umur,” tulisnya melalui entri Facebook.

Mengulas lanjut mengenai hal itu, Dr Syid, terdapat beberapa kesan sampingan jika anak kecil sering menggunakan alat solek.

“Kanak-kanak akan mudah mendapat risiko contact dermatis.

“Ia adalah kerana mereka memiliki metabolisme yang tinggi dan mampu menyerap bahan kimia 100 peratus,” katanya.

Tambah pakar itu, kulit kanak-kanak masih nipis dan kurang fungsi perlindungan selain boleh menyebabkan kesan penuaan yang lebih pantas.

Lebih membimbangkan, impaknya kepada otak si kecil.

“Kanak-kanak yang terdedah kepada alat solek mempunyai risiko keracunan merkuri yang akan mengakibatkan pertumbuhan otak mereka terganggu,” beritahu beliau.

Artikel berkaitan: Elak sembelit pada kanak-kanak, ini petuanya

Kesannya, kulit mereka mudah rosak dan mendapat kesan sampingan lain seperti jerawat akan banyak tumbuh apabila meningkat remaja.

Oleh itu, diingatkan sekali lagi kepada ibu bapa, janganlah ‘mengajar’ anak-anak bersolek ketika mereka masih kecil.

Ingat, belum tiba masanya lagi mereka untuk berhias. Bagi SinarPlus, biarlah mereka cantik dan comel secara semula jadi. Jangan nak cepat ‘dewasakan’ mereka ya.