KASIH ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa.
Kasih sayang seorang bapa, sanggup berkorban apa sahaja untuk memberikan yang terbaik untuk anaknya.
Memandangkan isterinya kekurangan susu, dia terpaksa keluar rumah untuk membeli susu formula.
Namun, setibanya di hadapan sebuah kedai serbaneka, dia dapati kedai itu sudah pun tutup.
Ketika itu, barulah dia teringat bahawa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sebarang aktiviti dan operasi perniagaan adalah dihadkan sehingga jam 10 malam sahaja.
Nak dijadikan cerita, secara kebetulan pada ketika itu, dia terserempak lalu ditahan oleh dua anggota polis yang membuat rondaan di sekitar kawasan tersebut.
Kata orang jika rezeki tidak ke mana.
Setelah mendengar dan memahami situasi lelaki tersebut, anggota MPV NS 96 ini telah mempelawa dia ke taman perumahan di IPD Kuala Pilah untuk diberikan susu formula bayi kepadanya secara percuma.
Begitulah perkongsian si ayah yang kasihkan anak, yang dikenali sebagai Zul Hilmy.
Mesej Zul Hilmy itu seterusnya dimuat naik di Facebook IPD Kuala Pilah sebagai perkongsian umum.
Dia menzahirkan rasa syukur dan setinggi-tinggi penghargaan yang tidak terkira kepada polis daerah Kuala Pilah cawangan MPV di atas kemurnian hati dua anggota tersebut yang membantunya menyelesaikan masalah dalam keadaan terdesak itu.
Selain itu, Zul Hilmy turut mendapat ucapan tahniah daripada warga IPD Kuala Pilah atas kelahiran bayi sulungnya dan mereka berharap peristiwa ini menjadi kenangan terindah buatnya sekeluarga.
Lans Koperal Muhammad Dinie yang memberikan susu formula bayi yang ada di rumahnya kepada lelaki berkenaan.
#ipdkualapilahthebest
#PolisDanMasyarakatBerpisahTiada