KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memainkan peranan yang signifikan dalam menangani satu pandemik yang tidak pernah diduga oleh sesiapapun sebelum ini.

Sejak virus Covid-19 mula menghambat penduduk di negara ini, KKM bekerja keras bukan sahaja menyusun prosedur operasi standard (SOP) virus, malah menyediakan sejumlah frontliners yang begitu ramai untuk mengekang penularan.

Untuk huraikan satu persatu jasa KKM termasuk Ketua Pengarahnya, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memang terlalu banyak. Rasanya, rakyat Malaysia sudahpun maklum terhadap setiap inci pengorbanan petugas barisan hadapan kita.

Sejak Covid-19 mengganas, semua SOP yang ditetapkan KKM adalah demi kebaikan bersama. Namun, untuk satu-satu situasi yang memerlukan, KKM sebenarnya mempunyai toleransi dan budi bicaranya sendiri.

Baru-baru ini, seorang warganegara Malaysia yang pulang dari United Kingdom pada 20 Oktober lalu melalui surat terbukanya kepada Dr Noor Hisham telah menceritakan rasa terharunya terhadap keprihatinan Dr Noor Hisham dan warga KKM termasuk APM terhadap senario yang dihadapinya ketika itu.

surat terbuka

Surat berkenaan telah dikongsi oleh KP Kesihatan Malaysia secara eksklusif dengan SinarPlus.

Isi surat itu menyaksikan seorang lelaki, Devendren yang meluahkan rasa berterima kasih yang tidak terhingga kepada beberapa petugas KKM yang telah mempermudahkan urusannya dari mula menjejakkan kaki di lapangan terbang, proses kuarantin diri dan akhirnya diberi ruang untuk memberi penghormatan kepada bapanya yang meninggal dunia selepas itu.

Dalam surat terbuka itu, beliau menulis:

“Saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih dengan tulus ikhlas kepada KKM di atas bantuan dan sokongan yang diberikan semasa saya pulang ke Malaysia. Pengalaman yang cukup luar biasa,” katanya membuka bicara.

Ujar Devendren, ketika tiba di pusat kuarantin, seorang petugas KKM yang dikenali sebagai Dr Hafizi telah membantunya membuat proses permohonan untuk kuarantin di rumah.

surat terbuka
Sumber: Foto Bernama

“Dr Hafizi telah meminta saya melengkapkan borang pendaftaran dan meminta saya Whatsapp kepadanya semua dokumen yang menyokong permintaan saya. Dr Hafizi seorang yang sangat bersemangat dan profesional orangnya,” katanya.

Pun demikian, ketika menunggu keputusan permohonan berkenaan, ayah Devendren dikhabarkan telah meninggal dunia.

“Kemudian, saya telah menghantar (melalui e-mel) sijil kematian (bapanya) kepada KKM sementara menunggu pertimbangan atas permintaan pertama saya (untuk kuarantin di rumah).

“Sekitar jam 2 pagi, saya menerima balasan e-mel dari KKM yang terpaksa menolak permintaan saya untuk kuarantin rumah saya kerana tertakluk pada SOP Covid-19.

surat terbuka

“Namun, mereka telah memberikan izin untuk saya menghadiri pengebumian dan akan mengatur pengangkutan untuk saya tanpa sebarang kos. Saya juga menerima panggilan daripada Dr Intan yang memberitahu beliau akan membantu saya menghubungi APM untuk memastikan pengangkutan dan sokongan diberikan kepada saya,” kata lelaki itu lagi.

Terharu

Iklan

Devendren yang bekerja di In-Syscon Limited, Stafford, UK menyambung ceritanya.

Ujar beliau, pada keesokan harinya, beliau dihubungi dua anggota APM yang dikenali sebagai Haffis dan Hafiq yang membantunya menjelaskan SOP ke krematorium.

“Malangnya kerana situasi tertekan dan panik, saya telah memberikan waktu yang tidak betul akan proses pengebumian.

“Namun, kedua-dua anak muda ini menunggu dengan sabar, tenang dan prihatin selama sejam setengah dalam keadaan panas ketika sesi perarakan dan sejam lagi untuk saya melakukan ritual terakhir terhadap ayah saya.

“Mereka tidak mengeluh atau nampak kecewa atau stres. Saya tidak pernah melihat pegawai kerajaan muda yang cemerlang dengan sikap positif dan hebat. Ini sesuatu yang perlu dicontohi. Saya tidak dapat menjelaskan perasaan saya pada ketika itu,” katanya yang terharu dengan keprihatinan banyak pihak ke atas dirinya.

Iklan

Selepas mengharungi episod demi episod, Devendren berkata, KKM di bawah pimpinan Dr Noor Hisham telah menjalankan tugas dengan cemerlang, bukan sahaja dalam menangani wabak, tetapi menunjukkan rasa hormat dan sifat kemanusiaan yang tidak berbelah bagi.

surat terbuka

“Saya sangat mengesyorkan agar kerajaan Malaysia untuk memberi penghargaan kepada setiap pegawai kerajaan atas sumbangan mereka dalam keadaan yang belum pernah terjadi sebelum ini.

“Saya juga harus mengakui kerajaan Malaysia menunjukkan prestasi yang jauh lebih baik daripada negara asing yang lain dalam menangani Covid-19,” katanya menutup bicara dalam surat terbukanya kepada Dr Noor Hisham dan semua warga KKM.

Apa yang SinarPlus boleh katakan, selain pengorbanan pasukan kesihatan dan perubatan yang memerangi wabak koronavirus yang tidak boleh diperkecilkan, warga KKM telah membuktikan tahap profesionalisme, kebajikan, toleransi dan budi bicara yang begitu tinggi nilai.

Kepada Devendren, takziah daripada kami di SinarPlus. Semoga terus tabah dan bantu kami khabarkan seluruh dunia tentang keprihatinan dan betapa dedikasinya warga KKM di bawah pimpinan Dr Noor Hisham. #kitajagakita