RUAM lampin merupakan sejenis ruam yang berwarna merah dan merengsakan.
Lazimnya, ia terjadi di bahagian dan di sekitar tempat yang ditutupi lampin. Ia melibatkan bahagian kemaluan, punggung, kelangkang dan paha.
Ruam lampin boleh berlaku apabila kulit bayi yang sensitif menyentuh:
1. Air kencing terutama apabila lampin dipakai terlalu lama.
Gangguan bahan kimia daripada ammonia yang dihasilkan oleh air kencing akan memusnahkan lapisan perlindungan yang terdapat di kulit. Itu akan menyebabkan kulit menjadi merah dan keradangan.
2. Najis bayi terutama najis cair yang mungkin disebabkan oleh makanan bayi, ubat-ubat tertentu atau apabila tumbuh gigi.
3. Bahan kimia seperti jenis sabun tertentu atau serbuk sabun yang digunakan untuk mencuci lampin (dapatkan nasihat pegawai farmasi atau doktor).
Menurut Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Samhan Awang atau Dr Samhan turut berkongsi pandangannya bagaimana ingin menangani masalah itu.
1. Pastikan bayi dalam keadaan kering
Dedahkan kawasan ruam kepada udara dengan menanggalkan lampin daripada bayi sekerap yang mungkin terutamanya jika ruam bertambah teruk.
2. Tukar lampin dengan kerap
Apabila anda dapati lampin telah basah atau kotor tukarkannya dengan segera. Jangan lengahkan dalam tempoh yang lama.
3. Cuci dengan air
Basuh punggung bayi setiap kali anda menukar lampin untuk membersihkan sisa air kencing atau lembapan dengan air suam atau krim sorbolone yang telah dibancuh dengan air.
Artikel berkaitan: Bayi baru dilahirkan kehilangan ibu, nenek dan datuk akibat Covid-19
4. Gunakan krim ruam bayi
Guna krim ruam bayi setiap kali menukar lampin. Contoh krim ruam yang bagus seperti Sudocream, Drapolene Cream, Pureen Nappy Rash Cream, Sebamed Baby Diaper rash Cream, River Veda Nurture Nappy Rash Cream.
5. Kurangkan penggunaan sabun
Jangan mencuci kawasan ruam dengan sabun terlalu kerap memadai satu ke dua kali seminggu sudah mencukupi.
6. Elakkan penggunaan bedak talkum
Jangan menggunakan talkum atau bedak bayi atau seluar plastik. Ini kerana bedak talkum merbahaya pada paru-paru dan boleh mengganggu pernafasan bayi.
Kalau mahu guna juga, gunakan bedak talkum yang diperbuat daripada ‘cornstarch’. Biarkan kawasan tersebut kering sentiasa.
7. Longgarkan lampin
Pastikan bayi dalam keadaan selesa. Jangan pakaikan lampin ketat-ketat. Gunakan pelapik lampin yang lembut untuk melindungi kulit bayi yang sensitif.
8. Jangan basuh cloth diaper dengan sabun pencuci
Ini untuk pengguna ‘cloth diaper’ sahaja. Elakkan guna sabun yang berbau wangi dan juga pelembut pakaian. Ini kerana bahan kimia akan bertindak dengan kulit bayi yang sensitif.
Basuh sahaja dengan air panas dan bilas banyak kali. Pastikan ia dibilas dengan teliti setiap kali dicuci.
9. Minta probiotik atas nasihat doktor
Probiotik menggalakkan pertumbuhan bakteria sihat dalam usus yang boleh mengurangkan peluang anak anda mendapat ruam lampin.
10. Susukan bayi
Breastfeeding? Nampak tidak relevan bukan? Jangan salah faham.
Menyusu anak anda selama yang anda boleh. Penyusuan susu ibu meningkatkan ketahanan anak anda terhadap jangkitan secara umum dan menjadikan dia kurang memerlukan antibiotik.
Jadi, buat ibu bapa di luar sana yang berhadapan masalah berkenaan, bolehlah cuba beberapa tip yang dikongsi di atas. Moga bermanfaat.