NEGARA sekali lagi digemparkan dengan kemalangan tragis melibatkan tiga beradik lelaki maut dan ibu cedera parah.
Kejadian itu berlaku di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Taman Rekrasi Gunung Lang, dekat Ipoh, Perak, pada 16 Disember lalu.
Media tempatan melaporkan, kereta Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, terbabas dan melanggar belakang sebuah lori kontena di laluan kecemasan.
16 Disember
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh (Operasi), Superintenden Mohamed Nordin Abdullah, insiden tersebut berlaku pada pukul 3.50 petang dan mangsa ketika itu dalam perjalanan dari Melaka menuju ke Pulau Pinang.
Katanya, sebelum itu, kemalangan pertama berlaku di antara dua treler di lorong kiri jalan yang membabitkan kes langgar belakang. Sebuah lori kontena membawa muatan barangan elektronik dari Shah Alam, Selangor ke Pulau Pinang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa muatan baja sawit dari Klang ke Bagan Serai dan telah masuk ke lorong kecemasan.
Menurutnya, pihak PLUS yang datang meronda di lokasi kemalangan memberi bantuan serta kawalan lalu-lintas dan tiba-tiba datang Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah dari arah sama di lorong kanan lalu hilang kawalan dan berpusing melanggar di belakang lori kontena berkenaan.
Katanya lagi, susulan kemalangan itu, keempat-empat mangsa tersepit dan tiga beradik itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala si ibu yang parah telah dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi rawatan selanjutnya manakala dua pemandu lori tersebut tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Baca juga [VIDEO]Gadis Malaysia petah berbahasa Arab sedang ‘berdebat’, rupanya ini yang berlaku
18 Disember
Nur Aimi Nadiah 'ditidurkan' sementara menunggu keadaannya stabil bagi membolehkan pembedahan dilakukan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, ia berikutan kecederaan dalaman dialami Nur Aimi Nadiah termasuk pendarahan di bahagian hati membuatkannya kini perlu bergantung kepada bantuan alat pernafasan.
Katanya, Nur Aimi Nadiah masih tidak sedarkan diri dan keadaannya kini dipantau rapi oleh pasukan perubatan. Pembedahan ke atasnya hanya akan dilakukan selepas keadaannya dipastikan benar-benar stabil.
Manakala, Muhammad Alhafis akui isteri belum sedarkan diri dan belum mengetahui mengenai nasib yang menimpa ketiga-tiga anak mereka.
Muhammad Alhafis turut ingin merahsiakan kematian anaknya daripada isteri tercinta namun akan tunggu masa yang sesuai untuk beritahu mengenai kematian anak-anak.
Katanya, seboleh-bolehnya tidak mahu beritahu dulu buat masa ini.
Selain itu, Muhammad Alhafis turut menafikan dakwaan mengatakan isterinya pulang ke Melaka atas urusan mahkamah bagi menyelesaikan urusan peribadi mereka, tetapi sebaliknya untuk bercuti.
Menurutnya, isterinya memang sedang bercuti dan berjumpa dengannya yang tinggal dan bekerja di Melaka atas urusan keluarga.