KITA mungin berasa agak janggal apabila melihat orang yang selesai membaca al-Quran bingkas bangun, lalu terus menyimpan mushaf al-Quran tanpa menciumnya terlebih dahulu.
Masakan tidak, kebanyakan daripada kita akan mencium kitab suci itu sama ada sebelum atau selepas membacanya.
Sejak kecil lagi, kita diajar berbuat demikian. Jika tiada sesiapa yang menyuruh kita melakukannya, perkara itu tetap akan dibuat juga. Ini kerana kita sudah terbiasa melihat orang lain melakukannya.
Apakah perbuatan mencium al-Quran itu merupakan suatu yang wajib?
Namun begitu, ada juga orang yang menganggap perbuatan itu adalah bidaah semata-mata. Benarkah tanggapan itu?
Menjawab persoalan itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dalam perihal hukum, para ulama mempunyai tiga pandangan berbeza mengenainya sebagaimana yang dijelaskan menerusi Facebook miliknya baru-baru ini.
Antara dalil yang digunakan termasuklah yang diriwayatkan daripada Umar RA: "Sesungguhnya adalah Umar RA mengambil mushaf pada setiap pagi dan menciumnya dan berkata: 'Inilah perjanjian Tuhanku yang datang dari Tuhanku'.”
Satu lagi dalil diriwayatkan daripada Uthman bin 'Affan RA bahawa beliau mencium mushaf dan menyapunya ke mukanya.
Selain itu, Ustaz Azhar Idrus turut menukilkan pandangan Imam al-Nawawi yang menyatakan: "Telah kami riwayatkan pada kitab Musnad ad-Darimi dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Abi Mulaikah, sesungguhnya Ikrimah bin Abi Jahl RA, beliau meletakkan mushaf atas wajahnya dan berkata 'Kitab Tuhanku Kitab Tuhanku'.
(Artikel berkaitan: Memang mudah baca al-Quran tulisan rumi, tapi elakkanlah. Ini sebabnya...)
Seperkara lagi, mengulas tentang dakwaan yang mengaitkan perbuatan mencium al-Quran dengan unsur bidaah, ujar Ustaz Azhar Idrus, ia sebenarnya bidaah yang tidak dilarang.
"Ketahuilah, bidaah yang dilarang akan menyebabkan pelakunya jadi sesat masuk neraka.
"Mana mungkin seorang manusia akan masuk neraka kerana memuliakan al-Quran. Sedangkan memberi minum anjing yang dahaga pun dibalas dengan syurga sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih, inikan pula memuliakan kalam ALLAH SWT," jelas beliau.
Justeru, tiada masalah untuk kita mencium mushaf berkenaan atau tidak. Ia sebagai antara cara kita memuliakan al-Quran.
Mencium al-Quran atau tidak sebenarnya bukanlah isu utama. Sebaliknya, bacalah, hayati dan ambil panduan daripada kalam ALLAH itu buat bekalan kita di akhirat kelak.
Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original)
Foto: Freepik