Jangan tahan bersin, boleh cederakan organ dan saluran darah

Iklan

PADA musim Covid-19 yang sedang memuncak kini, pastinya jika ternampak orang sekeliling sedang bersin, mulalah kita akan rasa panik.

Walaupun di setiap kedai, pasar raya dan tempat awam lain telah tersedia alat pengimbas suhu bagi menyukat suhu badan agar tiada seorang pun individu yang ‘terlepas’ jika mereka tidak sihat, itu sebenarnya belum cukup menjamin apa-apa.

Iklan
Iklan

Namun demikian, perlu diketahui bahawa bersin tidak bermaksud seseorang itu sedang demam.

Ia berkemungkinan berlaku kerana terdapat faktor lain yang boleh menyebabkan seseorang itu bersin.

Iklan

Antaranya mungkin sesuatu tempat itu berhabuk atau individu itu mempunyai alahan terhadap sesuatu.

Persoalannya, adakah amalan menahan bersin itu bagus atau sebenarnya ia memudaratkan?

Iklan

Bercakap mengenai bersin, terdapat satu kes berkenaan dengan perkara itu seperti yang dilaporkan dalam kebanyakan portal antarabangsa.

Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 34 tahun di England telah dimasukkan ke wad kecemasan di Leceister Royal Infirmary Hospital selepas beliau tanpa sedar, telah memecahkan saluran pernafasan sendiri.

Ia berlaku hanya kerana lelaki tersebut cuba menahan bersin.

Media antarabangsa juga melaporkan, lelaki itu seperti terasa letupan kecil pada bahagian tekaknya, disusuli dengan rasa kesakitan yang mendalam selepas dirinya menahan bersin.

Rentetan daripada situasi itu, lelaki berkenaan mengadu mengalami kesukaran untuk menelan atau bercakap.

Pemeriksaan lanjut doktor mendapati terdapat kesan bengkak yang ketara pada bahagian tekak dan lehernya.

Lebih parah, imbasan X-ray menunjukkan tekaknya telah pecah dan angin yang disedut telah melepasi rekahan pada saluran pernafasan dan terus ke tisu berhampiran.

Disebabkan situasi itu, lelaki tersebut terpaksa makan dan minum melalui tiub bagi membolehkan tisu yang terjejas kembali pulih.

Pakar kesihatan di hospital itu berkata, tindakan menahan bersin dengan cara menutup hidung adalah sesuatu yang sangat merbahaya dan perlu dielakkan.

Tutup mulut, guna sapu tangan

Dalam pada itu, kejadian yang menimpa lelaki berkenaan turut mendapat perhatian Public Health Malaysia (PHM).

Menurut PHM, berdasarkan kajian, semasa bersin kita akan mengeluarkan lebih banyak titisan air liur iaitu sebanyak 40,000 berbanding semasa batuk (dianggarkan sebanyak 3,000 titisan air liur dikeluarkan).

"Bersin adalah satu mekanisme tubuh untuk menyingkirkan habuk, kuman atau apabila ada iritasi pada hidung dan ia melibatkan tekanan di dalam dada yang sangat kuat dan laju.

Baca juga Bisul boleh menyebabkan komplikasi yang teruk, segera jumpa doktor jika ada 7 tanda ini

Bukan itu sahaja, antara kesan lain apabila seseorang itu menahan bersin adalah gegendang telinga akan pecah, berlaku jangkitan pada telinga, risiko patah tulang rusuk dan mencederakan diafragma dan tekak.

Oleh itu, jika anda ingin bersin, jangan tahan, bersin pada lengan atau manfaatkan peranan sapu tangan. Semoga perkongsian di atas bermanfaat kepada pembaca.

ANEKDOT

Etika batuk dan bersin yang betul:

1. Tutup mulut dan hidung dengan tisu atau sapu tangan ketika batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dengan serta-merta. Kuman pada tisu boleh terus hidup untuk beberapa jam.

2. Jika tidak ada tisu atau sapu tangan, gunakan lengan untuk menutup hidung serta mulut apabila bersin atau batuk.

3. Cuci tangan dengan sabun dan air bersih untuk menghalang penyebaran bakteria.

4. Pakai pelitup mulut dan hidung (facemask), terutamanya jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.

5. Elakkan berada di tempat awam jika anda menghidap sebarang penyakit berjangkit.

6. Gunakan cecair pembasmi kuman jika tidak dapat membasuh tangan dengan sabun dan air.

Sumber: http://www.myhealth.gov.my/