Perbezaan antara kayap dan kurap, ini yang perlu kita semua ketahui

Iklan

KAYAP dan kurap merupakan dua masalah kesihatan yang berbeza. Namun demikian, masih ada yang tertanya-tanya, bagaimana ingin mengetahui perbezaan itu.

Jadi, hari ini SinarPlus ingin kongsikan perbezaan antara kayap dan kurap. Pastinya, ilmu ini perlu diambil tahu agar tiada lagi keraguan yang timbul.

Iklan
Iklan

Sebenarnya, kayap dikenali sebagai herpes zoster dalam istilah perubatan. Ia merupakan sejenis penyakit kulit dan saraf yang disebabkan oleh jangkitan Virus Varicella Zoster (VZV).

Antara risiko-risiko utama penyakit kayap adalah:

Iklan

i. Umur yang semakin meningkat iaitu lebih daripada 50 tahun yang mana ketahanan sistem imun berkurangan.

ii. Kelemahan sistem imun (pertahanan badan) kerana pelbagai sebab seperti jangkitan kuman Human Immunodeficiency Virus (HIV) dan kesan ubat-ubatan (seperti ubat steroid).

Iklan

iii. Sepanjang hayat seseorang, lebih kurang 10 peratus hingga 30 peratus akan menghidapi penyakit ini.

Penyebab penyakit kayap adalah pengaktifan virus varicella zoster.

Virus berkenaan mula menghuni badan seseorang pesakit apabila dia menghidapi penyakit cacar air (chicken pox).

Selepas cacar air sembuh, virus tersebut berhibernasi di dalam pusat saraf (ganglion).

Apabila sistem imun menjadi lemah, ia menjadi aktif semula. Ia menyerang urat saraf dan manyebakan keradangan saraf tersebut.

Kebiasaannya, kayap akan menyebabkan keradangan satu urat saraf (dermatome) pada satu bahagian badan sahaja. Ia lazimnya melibatkan bahagian dada (thoracic) dan muka (trigeminal).

Artikel berkaitan: Kayap ular apabila bersambung sekeliling badan, boleh bawa maut. Ini penjelasan pakar

Tanda terawal penyakit ini adalah rasa sakit, kebas dan panas pada bahagian urat saraf yang terlibat, demam, keletihan dan sakit kepala.

Simptom tersebut dialami sebelum tanda-tanda kulit timbul dan boleh berlarutan hingga tiga ke lima hari.

Ketahuilah, jika kayap melibatkan bahagian muka, ia mungkin menyebabkan komplikasi kepada mata dan boleh menjadi buta.

Saraf facial juga boleh berlaku sehingga boleh kesan kepada otot-otot muka menjadi paralisis (facial palsy). Memang bahaya!

Lebih parah, kayap juga kadangkala akan menyebabkan keradangan organ dalaman termasuk otak (meningoencephalitis), jantung (carditis), paru-paru (pneumomitis) dan usus (enterocolitis).

Sebaliknya, kurap atau tinea corporis pula adalah sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh jangkitan sejenis kulat (fungi) yang dipanggil dermatophyte.

Tiga jenis dermatophyte yang dikenal pasti menyebabkan kurap adalah daripada jenis trichophyton, microsporum dan epidermophyton.

Selain menjangkiti kulit, kulat-kulat itu juga boleh menjangkiti kuku dan rambut.

Apabila dilihat melalui mata kasar, kulit yang berkurap mempunyai plak kemerah-merahan yang bersisik dan kadangkala terdapat bintik-bintik merah atau bisul-bisul halus di sekelilingnya.

Tanpa rawatan terperinci, plak tersebut boleh membesar dan kadangkala akan membentuk gelang kemerah-merahan di sekelilingnya.

Untuk pengetahuan pembaca SinarPlus, kurap boleh menjangkiti mana-mana bahagian tubuh termasuklah bahagian lipatan badan dan kawasan-kawasan yang sering berpeluh dan tertutup seperti pada punggung, peha, perut dan sebagainya.

Oleh itu, rawatan awal yang mencukupi amat penting untuk memastikan jangkitan kayap dan kurap sembuh dan tidak berulang.

Jadi, itulah perbezaan antara kayap dan kurap. Semoga perkongsian tersebut jelas dan menjawab perbezaan antara kedua-kedua masalah kulit tersebut. Semoga bermanfaat!

Sumber: www.myhealth.gov.my.