RATA-RATA daripada kita pasti pernah terdengar cakap-cakap yang mengatakan bahawa kayap ular apabila sudah bersambung di sekeliling badan boleh menyebabkan kematian.

Persoalannya, adakah ia benar atau sebaliknya?

Bagi memperincikan lebih mendalam mengenai penyakit itu, pakar kesihatan dan perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan ada jawapannya.

Tulisnya melalui entri Facebook semalam, kayap (herpes zoster) adalah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan Varicella Zoster Virus (VSV) iaitu virus yang sama yang menyebabkan cacar air (chicken pox).

Untuk pengetahuan semua, sebenarnya, kayap merupakan penyakit susulan daripada penyakit cacar air.

“Apabila seseorang dijangkiti VSV, maka beliau akan mendapat simptom masalah cacar air pula.

PENYAKIT cacar air atau chicken pox.

“Kemudian selepas masalah cacar air itu pulih, virus tersebut tidak mati, sebaliknya ia akan duduk diam-diam di dalam akar saraf dan aktif semua jika sistem imun individu menurun,” beritahu beliau.

“Oleh kerana virus ini duduk dalam akar saraf, apabila ia bertukar menjadi aktif semula, ia akan menjangkiti saraf berkenaan di sepanjang laluan (dermatome) saraf.

“Pada peringkat awal, pesakit akan rasa pedih seolah-olah jalur saraf seperti sedang ‘dibakar’ dan kemudiannya, lepuhan-lepuhan berair akan muncul di kawasan berkenaan,” tambah Dr Kamarul Ariffin.

Keadaan itu ada yang memanggilnya sebagai kayap ular.

Baca juga: [VIDEO]Sengkenit berbahaya, segera buang dan dapat rawatan yang betul

Memberi gambaran mudah, Dr Kamarul Ariffin menjelaskan, jalur saraf tersebut secara fizikalnya akan memanjang. Jika di bahagian badan, ia akan terjadi di sepanjang tulang rusuk.

“Biasanya ia akan berlaku pada sebelah bahagian badan, leher, muka dan beberapa bahagian lain.

“Memandangkan ruam dan lepuhan tersebut muncul pada jalur yang panjang, ia mirip ular yang melingkar,” tulisnya lagi.

Sebenarnya, amat jarang sekali kayap melingkar sekeliling badan, tetapi perkara tersebut tidak mustahil boleh berlaku.

Jika ia berlaku lazimnya kerana pertahanan imun tubuh pesakit itu terlalu rendah.

Jangkitan kayap yang teruk boleh menyebabkan beberapa komplikasi lain, antaranya:

i) Postherpetic.
Ia merupakan kesakitan pada jalur saraf, walaupun ruam sudah tiada. Ada pesakit yang masih sakit pada jalur itu walaupun sudah berbulan-bulan lamanya.

Iklan

ii) Buta dan pekak.
Jika terkena pada saraf muka dan mata, muka boleh lumpuh dan mata boleh buta.
Sekiranta terkena pada saraf telinga, boleh pekak.

iii) Radang otak dan selaput otak.
Ia jarang tercetus tetapi jika ia berlaku, jangkitan itu sesuatu yang amat serius. Jika tidak dirawat, boleh undang maut tau!

Pendek kata, penyakit kayap boleh menyebabkan kematian kerana faktor komplikasi yang serius lebih-lebih lagi kalau seseorang mempunyai imuniti rendah, bukan kerana ia melingkar di sekeliling badan.

Iklan

Walaupun ada pesakit yang boleh pulih sendiri tanpa rawatan, doktor biasanya akan memberi ubat antiviral, salap (sapuan) dan ubat tahan sakit untuk mengurangkan ketidakselesaan pesakit serta membantu memendekkan tempoh pemulihan.

Jadi, diharapkan perkongsian yang diberikan itu jelas.

Tolong jangan lagi momokkan orang ramai kematian akibat kayap berlaku gara-gara ia sudah mengelilingi badan ya…

Semoga ilmu yang dikongsi memberi manfaat kepada pembaca SinarPlus!

Sumber: Facebook Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan