5 perkara ibu bapa boleh buat segera jika si manja diserang jangkitan cacar air

Iklan

CACAR air atau chicken pox (Varicella zoster) adalah satu penyakit yang merebak akibat jangkitan virus varicella-zoster.

Menurut portal kesihatan healthline.com, penyakit cacar air akan mudah menjangkiti anak kecil yang berusia di bawah 10 tahun.

Iklan
Iklan

Namun demikian, ia juga boleh menyerang orang dewasa dan umumnya gejala yang muncul lebih berat daripada anak kecil.

Simptomnya bermula dengan kemunculan ruam pada kulit.

Iklan

"Ruam tersebut akan berubah menjadi bintik merah berisi cairan yang terasa gatal yang kemudian akan mengering, menjadi koreng dan terkelupas dalam waktu 7 hingga 14 hari.

"Antara bahagian-bahagian tubuh yang biasa ditumbuhi bintik cacar air adalah wajah, belakang telinga, kulit kepala, dada, perut, lengan dan kaki," beritahu mereka.

Iklan

Namun, jika masalah itu menyerang kanak-kanak, sudah pasti ibu bapa memerlukan persediaan lebih rapi bagi mengendali mereka sehabis baik.

Pegawai Perubatan Pediatrik Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, Johor, Dr Redza Zainol melalui bebenangnya di Twitter turut berkongsi mengenai penyakit berkenaan.

Ujarnya, terdapat lima perkara utama yang ibu bapa boleh lakukan jika si kecil berhadapan masalah cacar air.

Berikut perinciannya:

i) Jika keadaan anak masih aktif, boleh jaga anak di rumah sahaja.

Cara terbaik, tunggu sehingga semua ruam menjadi kering dan tidak ada ruam baharu yang muncul.

"Selalunya, ia akan ambil masa seminggu untuk ruam itu kering dan menjadi keruping.

"Ingat, asingkan pakaian, tuala, alat untuk makan dan minum supaya tidak bercampur dengan ahli keluarga yang lain," pesan pakar itu.

ii) Redakan demam anak dengan ubat demam paracetamol.

"Awas, jangan guna aspirin untuk redakan demam anak! Jika aspirin diberi kepada kanak-kanak yang dijangkiti chicken pox, ia boleh menyebabkan penyakit Reye’s syndrome yang merosakkan hati dan otak anak," jelas Dr Redza.

iii) Sapu dengan losyen calamine setiap kali selepas mandi.

Penggunaan losyen akan memberi kelembapan dan kelegaan pada kulit anak.

iv) Bantu kurangkan kegatalan kulit si kecil.

"Ibu bapa perlu bantu anak-anak dengan memberi ubat cecair antihistamine untuk dimakan.

"Namun, beri ketika perlu sahaja dan pastikan mengikut dos seperti yang dicadangkan. Jangan berlebihan pula yaa," pesannya.

v) Pastikan kuku anak sentiasa pendek.

Ini kerana ketika anak menggaru kulit, kuman daripada bawah kuku akan masuk ke kawasan ruam dan menyebabkan jangkitan bakteria (secondary infection) pada kulit.

"Bagi bayi, ibu bapa boleh pakaikan sarung tangan (mitten) supaya mereka tidak menggaru kulit yang gatal itu.

Oleh itu, buat ibu bapa yang mungkin belum mempunyai pengalaman menjaga anak kecil dengan masalah cacar air, tip yang dinyatakan boleh dijadikan panduan awal untuk merawat mereka di rumah.

Persediaan awal penting agar kesihatan anak kecil sentiasa terpelihara dengan baik apatah lagi ketika kita semua berada dalam fasa 'berkurung' kini.

Artikel berkaitan: Rupanya virus penyebab cacar air terus hidup dalam badan, boleh berubah jadi kayap

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.