PRAP! Tengah angkat barang berat, tiba-tiba rasa meletup dan sakit pada bahagian pinggang dan belakang.
Situasi tersebut merupakan slipped disc atau sakit pada tulang belakang. Ia boleh berlaku kepada sesiapa
sahaja khususnya golongan berusia antara 20 sehingga 50 tahun.
Ini disebabkan ia boleh terjadi disebabkan beberapa faktor selain mengangkat barang berat.
Slipped disc pada tulang belakang juga dikenalpasti sebagai PID (prolapsed interverterbral disc).
Sebab-sebab slipped disc dikatakan berpunca daripada proses penuaan pada disk tulang belakang dek mengalami faktor mekanikal, trauma, nutrien, dan genetik.
Sakit belakang boleh diklasifikasikan kepada peringkat akut, kronik dan berulang (recurrent). Sakit akut amnya terjadi selepas bersin, batuk kuat, mencangkung lama atau angkat sesuatu barang di lantai dalam posisi salah (lebih lagi jika barang berat).
1. Sakit belakang akut
- Sakit yang dialami dalam tempoh sehari hingga tiga bulan.
2. Sakit belakang kronik
- Sakit yang dialami melebihi tiga bulan.
3. Sakit belakang berulang (recurrent)
- Sakit yang berulang dalam tempoh kurang tiga bulan
Sakit belakang berpunca:
1. Perubahan kepada disc
2. Kecederaan otot
3. Postur tidak betul
4. Patah tulang belakang (jarang)
5. Kelemahan otot stabiliti
Penyakit slip disc merupakan penyakit yang sangat berbahaya jika berada tahap serius. Perkembangan penyakit itu harus diawasi dan berjaga-jaga dengan punca yang mencetuskan kesakitan atau kebas.
Punca
1. Umur
Lazimnya, penyakit slip disc berlaku dalam kalangan golongan berusia kerana bahagian luaran yang melindung disc semakin haus dan mengakibatkan ia mudah bergerak dari kedudukan asal.
2. Pergerakan tiba-tiba
Setengah pergerakan dan posisi badan yang dilakukan secara tiba-tiba atau cara salah membawa kepada masalah slip disc.
3. Mengangkat objek berat
Proses mengangkat objek berat menyebabkan tekanan tinggi pada tulang belakang.
Ini secara tidak langsung mengakibatkan disc bergerak keluar dari tempat asalnya sehingga mendatangkan sakit.
4. Berat badan
Apabila seseorang mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti tulang belakang tidak dapat menampung berat badan, sekali gus menyebabkan terdedah pada slip disc.
5. Otot lemah
Individu yang tidak mengamalkan gaya hidup aktif atau bersenam untuk menguatkan otot juga berisiko tinggi mengalami slip disc.
Otot yang lemah tidak dapat membantu menyokong tulang belakang dengan kukuh.
6. Kehidupan tidak aktif
Keadaan ini merujuk kepada golongan berkerja di pejabat yang duduk tempoh lama tanpa melakukan pergerakan lain.
Tabiat duduk sahaja memberikan tekanan tinggi pada tulang belakang bahagian bawah.
Gejala
1. Kesakitan dan rasa kebas biasanya pada satu sisi badan.
2. Kesakitan yang meluas pada tangan atau kaki.
3. Kesakitan yang bertambah buruk pada waktu malam atau dengan pergerakan tertentu.
4. Kesakitan yang bertambah buruk selepas berdiri atau duduk.
5. Sakit ketika berjalan jarak pendek.
6. Kelemahan otot yang tidak dapat dijelaskan.
7. Kesemutan, kesakitan, atau rasa terbakar di kawasan yang terjejas.
Kesemua gejala itu akan berubah bergantung pada individu. Oleh itu, pesakit disarankan segera merujuk pakar perubatan.
Beberapa komplikasi yang mungkin dihadapi oleh pesakit adalah lumpuh pada bahagian kaki dan tidak mampu mengawal pembuangan air kencing dan air besar.
Ujian pemeriksaan
Bagi memastikan seseorang itu mempunyai slip disc ataupun tidak langkah pertama menjalani X-ray tulang belakang.
Cakera intervertebra tidak kelihatan dalam x-ray kerana ia berwarna gelap. Apa yang boleh dilihat ialah jarak di antara tulang belakang semakin berkurang berbanding dengan tulang belakang lain.
Selain daripada itu, CT Scan dan terutamanya MRI boleh dibuat. Di dalam pengimejan jenis gambar cakera intervertebra dapat dilihat dengan lebih jelas.
Antara ubat yang diberikan ialah:
1. Ubat tahan sakit
- Ia membantu pesakit meredakan kesakitan dialami.
2. ‘Muscle relaxants’
- Ia membantu melegakan kekejangan otot yang berlaku.
3. Ubat saraf
- Ia melegakan sakit saraf yang terlampau teruk.
Selain itu, terdapat juga pilihan surgikal atau pembedahan apabila kaedah ubat-ubatan tidak dapat membantu.
Antara pembedahan ‘Mikrodiscetomy' yang merupakan kaedah membedah keluar bahagian disc yang terkeluar dari tempat asalnya dan bukan keseluruhan disc tersebut.
Selain itu, rawatan ‘Disc replacement’ iaitu kaedah yang mana keseluruhan disc akan dikeluarkan dan disc tiruan.
Langkah-langkah pencegahan
Pastikan postur yang betul dalam semua posisi semasa duduk, berdiri, baring atau melakukan aktiviti harian dengan mengambil kira beberapa perkara:
1. Semasa baring
a) Pilih tilam tegap (firm) yang menyokong tulang belakang dengan baik.
b) Posisi dicadangkan, mengiring dan melengkung tubuh ke hadapan dengan bantal di antara dua lutut.
2. Semasa berjalan
a) Memakai kasut bertumit rendah yang selesa.
Baca juga Migrain: Kaum wanita berisiko diserang 3 kali ganda
3. Semasa duduk
a) Menggunakan kerusi bersandar (back rest) yang boleh menyokong tulang belakang dengan baik.
b) Gunakan bantal kecil atau lumbar roll untuk menyokong bahagian belakang.
4. Semasa berdiri
Sekiranya berdiri terlalu lama, rehatkan satu kaki secara bergilir- gilir di atas bangku kecil yang rendah.
a) Gunakan teknik mengangkat atau mengalih yang betul.
b) Lakukan senaman secara tetap.
c) Menjaga berat badan.
d) Amalkan kecergasan keseluruhan.
Semoga bermanfaat!
Sumber: Dr Zubaidi Ahmad