ANDA MUSYKIL DOKTOR JAWAB

BERSAMA

Pegawai Perubatan Umum,

Hospital Seri Manjung, Perak,

Dr Muhammad Syahir Mohamad Isa.

SOALAN 1

DOKTOR, saya kerap alami sakit kepala dan ada yang mengatakan ia seperti simptom migrain. Bolehkah doktor memperincikan lebih mendalam perbezaan antara sakit kepala biasa dengan migrain kerana masih ramai yang keliru mengenainya termasuk saya.

– INGIN TAHU, FARIZAH MD NOOR, 27, BATU PAHAT, JOHOR

JAWAPAN:

PUAN, sakit kepala merupakan salah satu simptom yang sering dialami dalam kalangan masyarakat kita. Sebenarnya, terdapat pelbagai punca sakit kepala berlaku.

Dalam istilah perubatan, terdapat dua kategori simptom sakit kepala  iaitu primer dan sekunder.

Primer adalah merujuk kepada sakit kepala yang tidak disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius. Ia sering dikaitkan dengan faktor persekitaran, hormon, pemakanan dan genetik.

Terdapat beberapa jenis sakit kepala primer iaitu migrain, sakit kepala tegang dan sakit kepala kluster.

Kajian saintifik menunjukkan sakit kepala migrain sering dikaitkan dengan faktor genetik yang berpunca daripada perubahan hormon dan kimia dalam badan. Hal itu akan menyebabkan salur darah di dalam otak mengembang dan seterusnya menyebabkan sakit kepala.

Oleh yang demikian, sekiranya individu memiliki sejarah keluarga yang memiliki masalah migrain, mereka lebih terdedah untuk mewarisinya.

Berdasarkan soalan yang puan kemukakan, saya kategorikan anda dalam kategori sakit kepala primer iaitu tidak disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius.

Wanita lebih berisiko

Dalam pada itu, kajian lain juga menunjukkan kaum wanita berisiko tiga kali ganda untuk mendapat migrain berbanding lelaki.

Sakit kepala migrain juga mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang dapat dibezakan dengan jenis sakit kepala yang lain. Antara ciri-cirinya adalah:

i) Didahului oleh gangguan visual seperti merasa silau.

ii) Melihat bintang-bintang atau bintik-bintik.

iii) Melihat kilauan cahaya sebelum simptom sakit kepala bermula.

Untuk makluman puan, migrain juga akan menyebabkan sakit kepala berdenyut pada sebahagian kiri atau kanan kepala sahaja. Mereka yang terkesan juga boleh mengalami gejala loya atau muntah, di samping beerasa tidak tahan dengan bunyi bising atau cahaya.

Pun demikian, serangan migrain juga dapat dirawat hanya dengan ubat tahan sakit yang boleh didapati di farmasi seperti paracetamol, ibuprofen atau diclofenac sodium.

Selain itu, penggunaan ubat yang mengandungi kafein dan ergotamine dapat membantu untuk mengurangkan gejala kerana kedua-dua bahan itu dapat mengecutkan salur darah yang mengembang.

Namun begitu, pengambilan kafein secara berlebihan pada bukan waktu serangan migrain dapat menyebabkan serangan berlaku.

Jadi, nasihat saya kepada mereka yang sering mengalami gejala sakit kepala migrain, jauhi perkara yang menyumbang kepada kesakitan seperti elakkan hal-hal berikut seperti pengambilan alkohol, makanan yang mengandungi monosodium glutamate, merokok dan kekurangan tidur termasuk stres.

Iklan

Peka simptom red flag semasa sakit kepala

SOALAN 2

DOKTOR, saya sering sakit kepala dan kadangkala kesakitan itu menganggu rutin harian saya. Adakah saya berisiko terkena barah otak? Apakah langkah susulan yang boleh saya buat doktor? Mohon pencerahan.

– LEKAKI GUSAR, MOHAMAD ZIYAD FAEEZ, 34, TANAH MERAH, KELANTAN

JAWAPAN:

TIDAK dapat dinafikan gejala sakit kepala sering dialami oleh masyarakat terutama di zaman ekonomi yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Tuan, tekanan bekerja, memikirkan hutang-piutang dan juga tanggungan yang dipikul secara tidak langsung menimbulkan gejala sakit kepala.

Walaupun ramai dapat menangani simptom tersebut, tidak kurang juga yang sebaliknya.

Namun demikian, adakah sakit kepala yang dialami membahayakan atau menandakan risiko kepada masalah kesihatan yang lebih serius?

Iklan

Itulah yang dimaksudkan dengan sakit kepala sekunder yang merupakan sakit kepala yang disebabkan masalah kesihatan yang serius seperti kecederaan dan pendarahan dalam otak, ketumbuhan (seperti barah otak), jangkitan kuman atau masalah struktur pada bahagian otak.

Selain masalah struktur pada otak, sakit kepala sekunder juga dapat disebabkan oleh jangkitan kuman pada telinga atau sinusitis.

Pun demikian, sakit kepala sekunder atau sakit kepala yang berpunca daripada masalah kesihatan yang serius tidak hanya menunjukkan gejala sakit kepala, malah terdapat simptom-simptom lain yang dikenali sebagai red flag selalunya mengiringi sakit tersebut.

Antara tanda-tandanya adalah seperti muntah secara berterusan, penglihatan kabur, ketegangan leher, gangguan pertuturan, emah anggota badan, sawan, perubahan sikap, mempunyai sejarah jatuh atau kecedaraan pada kepala dan kesakitan (kepala) yang lebih teruk daripada biasa.

Wajib ke hospital

Individu yang mengalami gejala sakit kepala diiringi simptom red flag memang disaran mendapatkan rawatan di hospital dengan segera kerana sakit kepala sekunder mampu menyebabkan pelbagai komplikasi berlaku akibat kegagalan fungsi otak.

Pada peringkat awal, tuan akan diperiksa terlebih dahulu terutama sekali status neurologi atau sistem saraf.

Seterusnya, jika perlu atau simptom sakit kepala yang ditunjukkan disebabkan oleh kecedaraan atau masalah bahagian otak, pesakit biasanya akan menjalani imbasan komputer tomografi (CT scan) untuk mengesan sebarang kecedaraan, pendarahan atau ketumbuhan dalam otak.

Selanjutnya, pesakit akan dirujuk ke doktor pakar pembedahan otak atau perubatan otak untuk rawatan selanjutnya.