SETELAH lebih dua minggu menyepi tanpa sebarang berita, hari ini pendakwah bebas terkenal Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew tampil memuat naik status ringkas dan pastinya melegakan ramai.
Mana tidaknya, situasi itu berbeza dengan misi-misi bantuan sebelum ini yang mana bapa kepada empat cahaya mata itu sentiasa berkongsi update terkini di semua laman sosial miliknya.
Lebih membimbangkan apabila timbul dakwaan tidak berasas mengatakan Ebit Lew sedang berada dalam keadaan bahaya, diculik pihak lawan dan sebagainya.
Namun hari ini, baru sahaja empat jam selepas status tersebut dimuat naik, ia menerima tanda suka dari lebih 290,000 pengikut di Facebook dan hampir 500,000 di Instagram.
Beliau berkongsikan sekeping gambar dengan catatan ringkas;
Meskipun ringkas dengan hanya beberpa patah perkataan, ternyata ia membawa makna yang besar khususnya kepada rakyat Malaysia.
Sejak beberapa hari lalu, ramai tertanya-tanya keadaan beliau yang mana umum mengetahui aktivis masyarakat berusia 36 tahun sedang melunaskan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin.
Bagaimanapun, keresahan yang bersarang dalam hati semua itu diredakan oleh penyanyi rap, Caprice yang tampil mengesahkan Ebit Lew berada dalam keadaan baik ada Khamis lalu.
Artikel berkaitan: Lega! Caprice sahkan Ebit Lew selamat dalam Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Palestin
Terdahulu, semalam Kementerian Luar Negeri turut mengatakan pihaknya sedang berusaha mendapatkan perkembangan terkini Ebit Lew yang kini difahamkan masih berada di Gaza dalam misi kemanusiaan tersebut.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaafar berkata, pihaknya akan memeriksa lanjut tarikh penerbangan pulang pendakwah itu ke tanah air.
Begitupun, status terbaru dimuat naik dermawan terkenal itu pada hari ini sudah pastinya melegakan hati rakyat Malaysia.
Syukur, alhamdulillah.
Marilah kita bersama-sama mendoakan agar segala urusan Ebit Lew dan team dipermudahkan dan selamat kembali ke tanah air.