Dulu kelilingi dunia, kini buka bisnes jual ayam gara-gara PKP. Transisi hidup lelaki ini cetus inspirasi

Iklan
Heezrad jual ayam

BUKAN seorang dua, tetapi jutaan penduduk dunia menerima tempias di sebalik penularan virus Covid-19.

Virus berbahaya terbabit telah membuatkan landskap kehidupan sesetengah daripada kita berubah sekelip mata.

Iklan
Iklan

Transisi itu sangat dirasai oleh Nik Mohd Heezrad Nik Ibrahim, 35, dan isterinya, Nur Izzati Mohamed Zuldin, 33.

Bayangkan, selepas enam tahun mengemudi sebuah agensi pelancongan, Ezigo Holiday Sdn Bhd, bisnes pasangan itu jatuh merundum ekoran sekatan perjalanan yang dikuat kuasa oleh banyak negara.

Iklan

Beritahu Nik Mohd Heezrad, ketika negara mula dilanda pandemik itu, beliau  sekeluarga sedang menunaikan umrah. Sebaik sahaja menjejakkan kaki di tanah air, Malaysia mengumumkan larangan ke luar negara serta-merta, ujarnya.

Iklan

"Hal tersebut membuatkan kami terpaksa memulangkan semula semua duit deposit pelanggan yang sudah menempah pakej pelancongan. Ada sesetengah pelanggan yang tidak dapat menerima keadaan itu.

"Boleh dikatakan banyak juga kerugian yang terpaksa ditanggung. Bukan itu sahaja, cabaran paling besar apabila kami tiada pendapatan.

"Saya mula cuak kerana saya perlu membayar gaji pekerja dan memastikan bayaran (gaji) tak dipotong. Mereka juga seperti saya, ada keluarga yang perlu ditanggung," katanya ketika ditemui pada sesi rakaman Cerita Orang Kita bertajuk Kisah CEO & Ayam yang disiarkan melalui platform media sosial SinarPlus.

Langkah drastik

Selepas merenung sejenak dan membuat perkiraan sewajarnya, lelaki cekal berkenaan mencuba nasib dalam bidang perusahaan ayam yang sangat berbeza dengan bisnes terdahulunya.

Idea itu tercetus selepas Nik Mohd Heezrad mencuba nasib sebagai penghantar barangan basah. Baginya, ayam antara yang paling dicari pelanggan.

Baca juga Cadang ‘abang burger’ buka gerai siang hari, tak putus sumber pendapatan tempoh PKP3.0

Baca juga Hilang kerja, 3 anak muda sarung kostum Iron Man cari rezeki

"Ketika itu saya terfikir, bagus juga jual ayam segar ini. Hari-hari ada orang beli. Saya dan isteri pun nekad, berbekalkan modal yang ada, kami membeli peralatan dan ajak kakitangan (dari agensi pelancongan) untuk membantu.

"Saya mula gerakkan bisnes pada Jun tahun lalu. Mula-mula nampak macam senang, tetapi rupa-rupanya susah. Dalam tempoh dua minggu, pelbagai masalah timbul seperti pelanggan mengamuk ayam busuk, salah potong dan sebagainya," katanya yang juga bekas kakitangan Malaysia Airlines.

Pun demikian, anak kelahiran Kelantan itu tidak mudah melatah.

Berbekalkan ilmu yang dipelajari di pasar borong selama lebih dua minggu, beliau memperbaiki apa yang patut.

Selepas beberapa ketika, Nik Mohd Heezrad gembira apabila bilangan pelanggan sekitar kawasan Salak Tinggi dan Sepang, Selangor termasuk di Nilai, Negeri Sembilan semakin bertambah.

Cerita usahawan itu lagi, selain berdepan dengan cabaran mengurus bisnes baharu, beliau juga tidak terlepas dihambat kata-kata negatif yang hampir membuatkan semangatnya longlai.

Baca juga Sanggup berkayuh hantar tempahan lewat malam, kisah pemuda ini cari rezeki buat warganet sebak

Imbaunya, dirinya pernah diusik lantaran penghijrahannya daripada seorang pemilik syarikat yang mampu mengelilingi dunia dengan pendapatan mencecah RM80,000 sebulan, tetapi kini terpaksa bermandi keringat dengan menjual ayam.

"Kebanyakan kawan-kawan memperlekehkan bidang baharu yang kami cuba, namun saya tidak ambil hati, bahkan ia menjadi penguat semangat kepada kami.

"Saya dan beberapa kakitangan syarikat agensi pelancongan yang masih bersama beriltizam untuk buktikan perusahaan ayam ini boleh berjaya dan berkembang maju berkat kerjasama semua walaupun penat," katanya yang turut merancang untuk membuka kilang pemprosesan ayam segar dalam masa terdekat.

Justeru, pesan kepada Nik Mohd Heezrad kepada orang ramai yang terjejas pendapatan, jangan cepat berputus asa.

"Percayalah, jika niat kita baik dan mahu bantu orang, ALLAH akan bukakan jalan dan semuanya akan dipermudahkan. Jatuh bangun dalam bidang perniagaan memang sudah jadi lumrah.

"Cuma saya nasihatkan, jangan terus bersedih dan fikirkanlah anak dan isteri. Sebagai bapa, kita perlu terus ke hadapan dan mencari kerja halal walaupun hanya sebagai penghantar barang," tuturnya.