CAHAYA mata adalah dambaan setiap pasangan yang telah mendirikan rumah tangga.
Justeru, tiada siapa yang mahukan bayi yang dikandung hampir sembilan bulan menjadi milik orang
lain, apatah lagi jika tertukar.
Namun begitu, insiden sedemikian tidak dapat dielakkan kerana ia berlaku di seantero dunia.
Seperti baru-baru ini kita dikejutkan dengan kes tertukar bayi yang didakwa berpunca daripada
kecuaian pihak hospital swasta di Shah Alam, Selangor.
Syukurnya kejadian yang terjadi itu cepat disedari dan segera diselesaikan.
Namun lain kejadian pula dengan yang terjadi kepada dua keluarga di Kelantan ini.
Kejadian tragis menimpa mereka seperti sinetron, apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lalu, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.
Portal tempatan melaporkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20,
'kembarnya' Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, pada September tahun
lalu selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.
Menurutnya, dia kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum mereka berkongsi
akaun Instagram (IG) Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengannya.
Menurut Adryani, apabila memaklumkan perkara tersebut kepada kakaknya, dia mengiakan persamaan
ketara wajah mereka, namun ibunya berpandangan sebaliknya menyebabkan dirinya tidak ambil
peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa.
Bagaimanapun mereka akhirnya bertemu buat kali pertama secara bersemuka di Karnival Jom Masuk U
di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019 menyebabkan masing-masing terpana apabila
melihat persamaan yang ketara dari segi wajah dan bentuk badan.
Kata Adryani, akibat terlalu terkejut masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain
dan berlalu tanpa menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan-rakan yang lain.
Menurutnya, Noratirah kemudian menghubunginya melalui IG dan bertitik tolak daripada itu,
banyak perkara dibincangkan dan mendapati terlalu banyak persamaan untuk disifatkan sebagai
kebetulan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA.
Kata Adryani, selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital
Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada terdapat
pertalian antara mereka.
Pelajar Diploma Kejururawatan berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel
darah membabitkan dirinya, ibunya (Siti Aminah Ismail, 66), Adryana Iwani, Noratirah dan 'bapa'
Noratirah, Husin Omar.
Tutur Adryani lagi, apabila keputusan keluar, mereka amat terkejut terutama mama yang terduduk
dan menangis selepas mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan Adryani dan
Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.
Sementara itu, kakak Adryani Iwani, Ayu Haryani, 42, pula berkata, ibu mereka memaklumkan,
doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah
kembar seiras atau sebaliknya.
"Tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah
terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras," katanya.
Ayu Haryani berkata, berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14
pagi, diikuti Adryana Iwani (1.27 pagi) dan kemudiannya Adryani Iwani (1.34 pagi) sementara itu
tag nama di kaki kedua-dua mereka nama ibunya, jadi keluarga mereka tidak pernah terfikir dan
beranggapan mereka kembar tidak seiras.
Menurutnya, apabila diketahui keputusan ujian DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya dan pada
peringkat awal, perkara itu juga tidak didedahkan kepada sesiapa kerana risau ia memberi kesan
psikologi terutama kepada Adryana Iwani.
Tambahnya, mereka sekeluarga melantik peguam dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-
undang terhadap pihak yang berkenaan.
Pada masa sama juga Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama 'ayahnya' di Kampung Pulau
Kundur, Kota Bharu sudah berpindah dan tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar,
Kota Bharu sejak Januari lalu.
Apapun, mungkin ada hikmah di sebalik situasi yang berlaku. Semoga tautan silaturahim kedua-dua
keluarga terjalin selamanya.
Sumber: Bernama