PADA pertengahan era 1990-an, nama Che Puan Sarimah Ibrahim meledak dan tiada siapa ketika itu yang tidak mengenalinya.

Sememangnya, Sarimah memang tersendiri. Selain fasih berbahasa Inggeris dan Melayu, unsur humor dan perwatakan cerianya ketika mengendalikan sesuatu program membuatkan beliau berada di dalam liganya tersendiri.

Wajah dan kepetahannya sentiasa dinantikan oleh peminat program popular tanah air seperti Anugerah Juara Lagu, The RIM Chart Show NTV7 dan banyak lagi.

Che Puan Sarimah Ibrahim

Graf bakatnya semakin diiktiraf apabila menjadi satu-satunya personaliti televisyen tempatan yang berjaya merintis program antarabangsa, The Disney Channel dan The Biggest Loser Asia.

Wanita berdarah kacukan Melayu-Irish itu juga pernah mengambil posisi sebagai penyanyi dan pernah popular dengan lagu Kini Kau Tiada yang juga mempunyai versi dalam Bahasa Inggeris.

Portfolio Sarimah semakin berwarna-warni apabila beliau menerima lamaran sebagai pelakon. Beberapa filem seperti Janji Diana, MX3, Puteri Impian 2 dan Gerak Khas The Movie 3 mengukuhkan lagi kedudukannya di pentas seni.

Selepas mendirikan rumah tangga dengan cucu kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar pada 2 April 2015, kelibat Sarimah semakin kurang kelihatan. Beliau dilihat memilih untuk memperlahankan sedikit karier seninya.

Che Puan Sarimah Ibrahim

Pun demikian, sewaktu memenuhi jemputan program The Story Of Che Puan Sarimah Ibrahim terbitan SinarPlus, penulis berpeluang bertentang mata dengannya secara eksklusif buat pertama kali.

Ya, benar seperti kata kebanyakan pengamal media lain, Sarimah kekal dengan keramahan dan paling penting, usianya yang semakin menginjak sedikit pun tidak memamah kejelitaannya. Beliau juga semakin bertenaga.

Sesi wawancara begitu ceria dan dipenuhi dengan hilai tawa. Setiap inti bicara figura cantik berusia 43 tahun itu pastinya diselitkan dengan jenaka spontan.

Namun, untuk sesetengah topik, nadanya menjadi serius terutama ketika menceritakan plot kehidupannya yang dahulu sebelum berada pada peringkat ini.

Che Puan Sarimah Ibrahim

Kata Sarimah, beliau langsung tidak pernah terfikir untuk menjerumuskan diri ke dalam bidang seni.

“Saya masih ingat, ketika berumur 21 tahun, saya masih belajar dalam bidang psikologi di sebuah kolej swasta dan pada masa sama, bekerja sambilan di sebuah restoran.

“Ketika bekerja, ada seorang pencari bakat wanita minta saya jalani satu uji bakat. Saya kurang yakin dan tidak pernah terlintas untuk jadi model, namun siapa sangka, itulah dinamakan rezeki,” ceritanya.

Berkat dorongan ahli keluarga, perjalanan seni wanita kelahiran Dublin, Ireland itu berjalan dengan cukup lancar.

Platform awal dalam bidang peragaan, kemudian beralih dalam pengacaraan telah membawanya ke satu tahap yang membanggakan. Masakan tidak, beliau berjaya memiliki program realiti sendiri iaitu The Sarimah Show. Pada era itu, pencapaian sedemikian dianggap puncak kejayaan besar seorang selebriti.

Penyandang watak Inspektor Farah dalam filem Gerak Khas The Movie 3 itu berkata, semua pengalaman yang diraihnya itu cukup menyeronokkan.

Che Puan Sarimah Ibrahim

“Tipulah kalau saya kata yang diri ini tak teruja dengan peluang yang diberikan. Meskipun demikian, satu perkara yang menjadi pegangan saya adalah pelajaran mesti diutamakan walaupun mengambil masa hampir 10 tahun untuk ‘mengejarnya‘ dek kesibukan kerja.

“Biar lambat asalkan saya dapat habiskan pengajian. Itu janji saya kepada ayah. Walau sesibuk manapun bekerja, pendidikan itu cukup penting sebagai tambah nilai hidup, memandangkan saya memang bercita-cita untuk menjadi pakar psikologi satu hari nanti,” kata pemegang Diploma Lanjutan Psikologi yang akhirnya berjaya merealisasikan impiannya itu.

MIASA

Masa yang silih berganti menyaksikan ibu kepada puteri tersayang, Tunku Sofia Najihah menjadi semakin lebih memahami dan prihatin kepada nasib masyarakat.

Kepada SinarPlus, Sarimah memberitahu, selepas melayari bahtera seni yang cukup berwarna warni, kecenderungannya kini mengarah kepada kepentingan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Justeru, tidak hairanlah jika beliau diberi kepercayaan menjadi penaung Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA).

“Mungkin sudah jiwa saya ke arah psikologi dan ia sekali gus telah membuatkan saya lebih dekat dengan isu yang diperjuangkan MIASA. Saya percaya, kepentingan kesihatan mental adalah signifikan dalam kehidupan manusia dan perlu wujud kesedaran dari peringkat awal lagi.

Che Puan Sarimah Ibrahim

“Sekarang ini, saya sibuk hadiri program bual bicara motivasi bersama pakar, selain menjadi moderator untuk ceramah kesihatan mental. Pada masa sama, saya sedang menyiapkan podcast bersama selebriti untuk membincangkan isu kesihatan mental,” katanya yang mengaku pernah berdepan dengan masalah depresi selepas melahirkan anak sulungnya.

Menceritakan lebih lanjut tentang MIASA, selebriti berilmu itu berkata, persatuan berkenaan menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk golongan B40 termasuk tempat khas untuk meluahkan masalah dan bimbingan spiritual daripada agamawan bertauliah.

Selain itu, MIASA juga membantu mencari peluang pekerjaan dengan majikan yang prihatin di negara ini.

“Skop MIASA cukup luas sebenarnya dan saya berharap kepada mereka di luar sana agar tidak takut dan malu bercakap mengenai kesihatan mental.

Iklan

“Memang tidak dinafikan, stereotaip pemikiran segelintir pihak akan memandang serong terhadap isu tersebut, namun jika diabaikan, kesannya cukup besar dalam komuniti masyarakat kita,” jelas graduan College Of Allied Educators, Singapura itu.

Che Puan Sarimah Ibrahim

Beritahu Sarimah lagi, sekiranya kemelut itu tidak diselesaikan, ia boleh mencetuskan hal lebih buruk seperti kemurungan, bunuh diri, penderaan dan paling teruk, timbul masalah keganasan rumah tangga.

“Justeru, bagi saya, kerajaan perlu meningkatkan kualiti dan kuantiti kepakaran dalam bidang psikologi kerana menurut perangkaan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), seorang pakar psikologi dinisbahkan kepada 10,000 pesakit. Namun di Malaysia, boleh dikatakan satu nisbah 200,000 pesakit. Sesuatu perlu dilakukan dengan segera,” ujarnya.

Semakin bahagia

Selepas galak bercerita tentang MIASA, penulis mengubah rentak perbualan. Rasanya rugi kalau tidak bertanya tentang sisi peribadinya selepas menjadi sebahagian daripada keluarga kerabat diraja Negeri Sembilan.

Akuinya, kehidupannya menjadi lebihbermakna bergelar ibu kepada permata comel, Tunku Sofia Najihah, 2.

“Alhamdulillah, saya semakin bahagia, tenang dan matang. Apabila kita bergelar ibu, secara automatik personaliti kita akan berubah termasuk dari aspek penampilan, percakapan dan gaya hidup.

Che Puan Sarimah Ibrahim

“Namun, tidaklah sampai 360 darjah. Saya masih Sarimah yang dulu. Cuma kini saya lebih bertanggungjawab untuk diri, suami dan keluarga. Saya sangat menghormati budaya dan tradisi keluarga suami, namun semuanya masih dalam proses belajar, ia cukup mengujakan,” ujarnya.

Kepada penulis, Sarimah tanpa berselindung memberitahu, dirinya banyak belajar daripada kesilapan perkahwinan terdahulu.

Iklan

“Mungkin masa perkahwinan pertama (pada tahun 2006), saya masih terlalu muda, pentingkan diri dan tidak cukup matang. Dari situlah banyak silap saya dan saya akuinya. Insya-ALLAH dengan kematangan dan ilmu di dalam dada, saya akan berhati-hati dan menjaga.

Che Puan Sarimah Ibrahim

“Syukur kepada ALLAH kerana memberikan satu nikmat kebahagiaan yang tidak terhingga buat saya bersama insan tersayang,” tutur anak sulung daripada empat beradik itu.

Mengenai puteri kesayangannya, Sarimah berkata, membesarkan si kecil itu membuatkan hatinya berbunga-bunga.

Masakan tidak, selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, barulah pasangan elegan itu memiliki cahaya mata yang sangat dinanti-nantikan mereka.

Sebelum itu, beliau pernah dikhabarkan bersedia menjalani rawatan kaedah persenyawaan in vitro.

Che Puan Sarimah Ibrahim

Namun, kuasa Tuhan mengatasi segala-galanya apabila Sarimah hamil secara semula jadi pada usia 41 tahun, sementara suaminya pada ketika itu berumur 47 tahun.

“Alhamdulillah, syukur Sofia kini membesar dengan sihat, suka memerhati dan meniru apa orang buat, selain suka berfikir. Mukanya akan berkerut-kerut seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Lucu sangat.

“Pada masa sama, Sofia mudah dijaga dan pandai ikut masa tidur sekarang ini. Memang sedang lasak, suka menari dan menyanyi, mengikut perangai siapalah itu?,” ujarnya dengan nada seloroh.