SEPANJANG penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) ramai pasangan jarak jauh mengalami kesukaran untuk pulang menemui keluarga.
Ia berikutan aktiviti merentas daerah dan negeri buat pasangan jarak jauh (PJJ) ditangguhkan setakat ini kecuali kes kecemasan dan kematian.
Minggu berganti minggu dan bulan berganti bulan nampaknya kerinduan yang terbit tidak dapat dibendung lagi.
Jika orang dewasa pun boleh menitiskan air mata, apatah lagi anak kecil yang masih memerlukan sentuhan dan perhatian seorang ibu.
[caption id="attachment_51220" width="1024"] Kredit foro: Freepik[/caption]
Kisah pilu seumpama ini dikongsikan oleh seorang pengguna Facebook dikenali Afiqqah Sani.
Beliau berkongsi reaksi anaknya, bernama Muhammad yang menangis teresak-esak kerana kerinduan.
Difahamkan, anak kecil itu merupakan anak bongsu Afiqah yang terpisah kerana PJJ yang mana suami dan anak di Pahang manakala beliau pula di Melaka.
Muhammad yang sebelum ini tinggal bersamanya terpisah tatkala si kecil itu tinggal bersama suami selepas beliau menjalani pembedahan.
"Sebelum ni anak-anak semua dengan saya, hujung bulan tiga baru Muhammad tinggal dengan ayahnya kerana saya perlu menjalani pembedahan.
"Sebelum ini, setiap minggu suami akan balik ke Melaka. Namun apabila bermula PKP3.0, dia tidak dapat balik.
"Dari dua minggu berlarutan hampir dua bulan. Kami bukan pinta jadi pasangan PJJ,” kongsinya kepada SinarPlus.
"Wahai yang berada di atas sana. Kami yang PJJ bukan suka-suka nak mohon rentas negeri.
"Bukan asbab pentingkan diri, tapi lebih kepada kasihankan anak-anak.
"Anak ini baru dua tahun setengah, tapi dia juga faham erti rindu. Tidurnya dalam tangisan,” tulisnya.
[caption id="attachment_51221" width="1024"] Kredit foto: Pixabay[/caption]
Lebih menyedihkan, beliau juga turut menceritakan si kecil itu kini enggan menatap wajahnya ketika membuat panggilan video.
"Video call tak sama dengan sentuhan fizikal. Peluk cium ibu dan ayah. Kalau video call pun, anak ini akan mengelak daripada tengok wajah ibunya.
"Hampir dua bulan anak ini tidak berjumpa dengan ibunya dan hari ini semakin kuat tangisan. Boleh bayangkan tak beban emosi yang ditanggung oleh mereka yang PJJ?” kongsinya.
Walaupun, beliau mengetahui bahawa prosedur yang sedia ada adalah untuk kebaikan rakyat, namun mengharap agar terma dan syarat rentas negeri diperhalusi untuk pasangan PJJ seperti mereka.
Diharapkan pasangan dan keluarga yang terpisah sementara semasa PKP3.0 ini dapat bertahan. Semoga ada kelonggaran untuk pulang dan bertemu melepaskan rindu terutamanya yang mempunyai anak kecil.