BERDOA seakan satu kemestian bagi setiap orang Islam. Tambahan pula, umat Islam sememangnya disuruh untuk berdoa sebagaimana disebutkan dalam al-Quran.
Antaranya, ALLAH SWT berfirman: "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya ALLAH tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf, ayat 55)
Bahkan, sesiapa yang tidak berdoa pula dianggap sebagai orang yang sombong kepada ALLAH SWT.
Ia sebagaimana disebutkan dalam satu ayat al-Quran yang berbunyi:"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-KU, nescaya AKU perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-KU, akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.” (Surah al-Ghafir, ayat 60)
Bukan itu sahaja, doa juga merupakan senjata orang mukmin. Hanya kepada-NYA sahajalah tempat kita memohon, mengadu dan meminta pertolongan.
Kadangkala puas kita berdoa memohon suatu hajat atau seumpamanya, namun ia masih belum lagi diperkenankan oleh-NYA.
Rupa-rupanya ia ada perkaitannya dengan sumber makanan atau apa yang kita pakai selama ini.
Baca juga Ada sebab tertentu kenapa doa tadi masih belum dimakbulkan, ini penjelasan pendakwah Wadi Anuar
Menurut Pengasas Elzar Group & MyClaaz. com serta Profesor Adjung di Universiti Selangor & Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Zaharuddin Abd Rahman, dalam hal itu, Nabi Muhammad SAW pernah bercerita tentang seorang pemuda yang bermusafir jauh di padang pasir.
[caption id="attachment_51391" width="1024"] DR ZAHARUDDIN[/caption]
Sabda baginda SAW: "Seorang lelaki yang telah lama berjalan dan jauhnya perjalanan yang ditempuh hingga rambutnya kusut-masai dan berdebu. Dia menadahkan tangannya ke langit lalu berdoa:"Wahai Tuhanku!” Padahal, makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan dia diberi makan dengan makanan yang haram. Maka bagaimana mungkin ALLAH SWT akan memperkenankan doanya?” (Riwayat Muslim)
Berdasarkan hadis itu, katanya, ia jelas menunjukkan, walaupun bermusafir merupakan salah satu waktu mustajabnya doa, namun disebabkan oleh makanan, minuman dan pakaiannya yang datang daripada sumber haram, maka ALLAH SWT telah menolak doa hamba-NYA itu.
[caption id="attachment_51392" width="1024"] PASTIKAN kita mendapatkan sumber yang halal untuk membeli keperluan hidup seperti makanan, pakaian dan lain-lain.[/caption]
"Justeru, para ulama telah menghuraikan bahawa memang terdapat perkaitan antara harta yang kita peroleh, makanan yang kita makan, minuman yang diminum, pakaian yang digunakan serta memberi makanan daripada sumber tidak halal kepada anak akan memberi kesan kepada doa kita,” katanya.
Maka berhati-hatilah dalam bab ini. Jauhilah sumber yang haram dalam kehidupan kita. Sebaiknya, carilah sumber rezeki yang halal lagi baik supaya hidup kita akan terus berkat, bahkan mendapat rahmat-NYA.
Foto: Freepik