TAHAP kesihatan mental dalam kalangan masyarakat di negara ini perlu diberi perhatian serius memandangkan semakin banyak kes bunuh diri dilaporkan sejak kebelakangan ini yang dikaitkan dengan tekanan akibat pandemik Covid-19.
Antara kes yang dilaporkan yang turut tular di media sosial adalah tiga kes bunuh diri yang berlaku pada hari yang sama iaitu pada 16 Jun lalu, diikuti dengan 18 Jun lalu.
Terbaharu, lelaki lelaki berumur 56 tahun yang ditemui tergantung di Jejantas Taman Impian Ehsan, Balakong, Selangor pada 28 Jun lalu.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dilaporkan media baru-baru ini pastinya mencemaskan dan menuntut tindakan tegas oleh pihak berwajib.
Berdasarkan perangkaan PDRM, hingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri dilaporkan kepada PDRM, berbanding 631 kes bunuh diri dilaporkan pada tahun 2020 dan 609 kes pada tahun 2019.
Umumnya,rakyat Malaysia bukan sahaja risau terhadap peningkatan kes harian Covid-19 yang masih kekal empat angka, tetapi saban hari turut berhadapan pula dengan laporan kes bunuh diri.
Berdasarkan statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2019, hampir setengah juta penduduk di negara ini mengalami kemurungan yang merangkumi 2.3 peratus rakyat negara ini berusia 16 tahun ke atas mengalami kesihatan mental.
Kementerian Kesihatan Malaysia pula menerusi Talian Bantuan Sokongan Psikososial turut memaklumkan menerima sebanyak 122,328 panggilan sejak 1 Januari hingga 18 Jun 2021, membabitkan kehilangan pekerjaan dan pendapatan, hilang tempat bergantung, masalah rumah tangga dan tekanan ketika bekerja dari rumah.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan terutama ketika berada di dalam keadaan stres yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai.
"Sekiranya kemurungan ini gagal dikenal pasti dan dirawat dengan baik ia boleh meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.
"Masyarakat dipohon untuk lebih cakna dan prihatin kepada ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri," katanya dalam satu kenyataan pada 29 Jun lalu.
KENAL PASTI GEJALA AWAL BUNUH DIRI
Pensyarah Kanan Kaunseling, Fakulti Sains Kognititf dan Pembangunan Manusia Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Amalia Madihie berkata, apabila seseorang itu menghadapi desakan hidup ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka keadaan fizikal dan mental mereka berpotensi serta berisiko menjadi lemah.
"Tambahan pula, ada yang tidak bernasib baik turut dijangkiti Covid-19 menjadikan mereka mengalami Post Stress Traumatic Disorder (PSTD) iaitu trauma terhadap pandangan serong orang ramai.
"Mereka akan berhadapan dengan emosi ketakutan, risau, bimbang dan kemurungan yang mungkin akan menimbulkan rasa ingin membunuh diri," katanya ketika webinar 'Mental Health & Pandemic Resilience' anjuran Institut Tadbiran Awam Negara Sarawak, baru-baru ini.
Dr Amalia yang juga kaunselor berdaftar (Malaysia) UNIMAS, berkata, tanda-tanda awal seseorang itu berniat untuk membunuh diri dapat dilihat berdasarkan tingkah laku dan cara pertuturannya yang luar biasa.
Menurut beliau, kebiasaannya, golongan itu mungkin tidak sedar akan kelakuan luar biasa mereka dan hanya boleh disedari oleh ahli keluarga ataupun rakan-rakan di sekeliling yang sentiasa bersama-sama dengan mereka.
Contohnya, mereka berkelakuan pelik di pejabat dan kadangkala a bit funny (kelakar), ada kalanya mempunyai tanda mencederakan diri sendiri, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
Selain itu, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian dan melakukan tugas harian yang biasa, mengasingkan diri daripada semua orang dan luahan rasa ingin bunuh diri di media sosial juga merupakan tanda-tanda awalnya.
"Kita sebagai ahli keluarga ataupun rakan-rakan sekerja di pejabat, penting untuk mengenal pasti orang-orang yang mempunyai tanda-tanda sedemikian dan untuk menghalang mereka daripada membunuh diri seterusnya dapat memberi psychological first aid kepada mereka.
Artikel berkaitan: Jangan cepat mengalah dalam hidup. Pakar ini kongsikan cara mudah tenang, rilekskan diri
"Jika dapat dikesan mereka mempunyai tanda sedemikian, cuba untuk menjadi pendengar yang baik kepada mereka, memahami apa sebenarnya telah berlaku dan memberi sokongan moral sebagai respon kepada mereka.
"Be a good listener to them, encourage them to tell, and don't be judgemental. Let them cry and release their sadness, jika berlarutan, bawalah mereka berjumpa dengan kaunselor.
Menurut beliau lagi, kesihatan mental amat berkait rapat dengan kesihatan fizikal, treat our mental health as physical health, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19.
Beliau menambah, jika berasa diri sendiri mengalami kemurungan ataupun stres, cuba berjumpa dengan kaunselor untuk meluahkan ketidakselesaan itu dan carilah pendengar yang baik seperti rakan-rakan ataupun ahli keluarga untuk diluahkan.
Selain itu, mereka juga boleh menghubungi talian bantuan sokongan kaunseling yang diwujudkan seperti Talian Kasih 15999 dan Whatsapps di 019-2615 999, serta Befrienders di talian 03-7627 2929 bagi meluahkan perasaan mereka.
TUKARKAN STRES NEGATIF KEPADA POSITIF
Dekan UKM-Graduate School of Business, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Zafir Khan Mohamed Makhbul pula berpandangan, stres berpanjangan boleh menyebabkan kemurungan serta mencetuskan pelbagai penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan turut melemahkan sistem imun badan.
Menurut beliau, dalam pengurusan organisasi, stres terbahagi kepada dua jenis iaitu eustress yang membawa kepada stres positif dan distress iaitu stres negatif.
"Stres bukan hanya dilihat sebagai unsur negatif, sahaja tetapi juga ia boleh ditukarkan kepada unsur positif terutamanya dalam mencapai sasaran kerja tahunan dalam organisasi dan bekerja dari rumah (BDR).
"Kajian menunjukkan stres pekerjaan memberikan kesan negatif, tidak dinafikan ia juga boleh memberikan impak positif eustress kepada pekerjaan kerana terdapat sesetengah individu yang mengalami perkembangan dan peningkatan kerjaya apabila wujudnya stres.
"Namun begitu, situasi ini hanyalah dihadapi oleh segelintir individu dan secara umumnya sesiapa jua akan memberikan reaksi yang negatif distress apabila stres yang dialami menjadi berlebihan dan gagal dikawal.
"Sebagai contoh, sebagai seorang ahli akademik akan mengambil peluang ketika BDR untuk menukarkan stres negatif kepada positif, melalui penumpuan masa terhadap penulisan dan penerbitan artikel yang boleh memberi ilmu pengetahuan kepada masyarakat supaya bangkit dari kejatuhan akibat pandemik COVID-19," katanya.
Artikel berkaitan: ‘Jadilah pendengar yang baik, zahirkan rasa kasih sayang. Itu cara terbaik bantu penderita stres, depresi.’ – Doktor
DEMAM TERPERUK DAN KEMURUNGAN
Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (Perkama International) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin pula berkata, kemurungan juga boleh berlaku disebabkan 'Demam Terperuk' akibat terlalu lama berada di satu-satu ruang ketika pelaksanaan PKP.
"Demam Terperuk lebih terserlah dalam menghasilkan tingkah laku tidak disedari akibat isolisasi yang tegang dan ia boleh melarat sehingga ke tahap fobia tertentu.
Menurut beliau, penurunan motivasi, ketidakupayaan untuk berdaya tindak dengan tekanan serta pengasingan sosial juga boleh berlaku apabila seseorang mengalami Demam Terperuk.
Beliau berkata, seperti mana-mana keadaan kesihatan mental, Demam Terperuk perlu dirawat oleh profesional yang terlatih dalam bidang kesihatan mental seperti kaunselor,terapis, ahli psikologi dan psikiatri jika terdapat keperluan intervensi perubatan.
"Namun jika gejala iitu adalah di tahap sederhana, maka dengan langkah betul dalam memerangi perasaan adalah memadai untuk membantu mereka berasa lebih baik dan selamat," katanya.
Sumber: BERNAMA