BEBERAPA pertubuhan bukan kerajaan melaporkan, sekurang-kurangnya 50 kes kesihatan mental dan 50 kes hilang pertimbangan untuk meneruskan hidup yang diterima oleh mereka.

Sejak kebelakangan ini, ramai yang berani berterus-terang sedang berdepan situasi getir secara terbuka di media sosial.

Itu semua disebabkan mereka tidak tahan dengan tekanan yang dialami.

Turut mengakui hakikat itu, seorang anggota perubatan yang bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Rambai, Melaka, Dr Mohd Khairul Ikhwan Mohd Nizam berkongsi pendapatnya di laman Facebook.

Tulisnya, beliau dan rakan-rakan mengambil peluang membuat perbincangan secara dalam talian menggunakan aplikasi Zoom bagi membincangkan topik stres dan depresi.

Berikut beberapa fakta penting yang perlu semua orang tahu mengenai masalah kritikal itu:

i) Stres pada kadar yang biasa adalah normal, malah diperlukan untuk kemajuan hidup seseorang manusia.

“Namun, stres yang berlebihan dapat menyebabkan penyakit mental yang memudaratkan dan memerlukan rawatan perubatan,” ujarnya.

ii) Aspek kerohanian dan keagamaan dapat membantu dalam menangani stres.

Namun, beritahu beliau, jika ada pesakit yang mengalami stres atau depresi berat, itu tidak bermakna mereka kurang dari segi kerohanian.

“Bukanlah bermaksud beliau ‘jauh’ daripada agama,” tambah beliau.

Dalam pada itu, ungkapnya, orang yang mengalami penyakit stres atau depresi bukan bermaksud dia tidak pandai menangani tekanan yang sedang mereka alami.

iii) Stigma masyarakat yang lebih menyalahkan penderita atas penyakit depresi yang dialaminya perlu diubah.

“Rata-rata masyarakat kerap melemparkan stigma yang tidak sepatutnya kepada individu sebegitu.

“Ia sama seperti kita menyalahkan pesakit bila ada yang mengalami demam, batuk atau selesema,” ujarnya.

iv) Banyak orang cuba membantu penderita stres atau depresi dengan cara bercerita tentang pengalaman sendiri menghadapi tekanan yang lebih besar.

“Tujuannya mungkin untuk meningkatkan motivasi penderita stres atau depresi dengan menjadikan diri sendiri sebagai contoh tauladan.

“Sebenarnya teknik ini seringkali mendatangkan impak negatif kerana membuatkan penderita menjadi lebih murung kerana nilai ambang masing-masing terhadap stres adalah berbeza-beza,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, kata Dr Khairul lagi, banyak faktor luaran lain yang terlibat seperti:

  • Situasi persekitaran.
  • Sokongan sosial.
  • Pengalaman hidup sebelum ini.
  • Faktor lain yang dapat memainkan peranan terhadap keupayaan seseorang menangani tekanan.

“Ingat, jangan kita samakan semua orang dengan diri kita dan jangan sekali-kali remehkan apa yang sedang penderita alami,” pesannya.

Dalam pada itu, beliau juga  berkongsi cara terbaik untuk membantu mereka yang sedang alami depresi.

“Mudah sahaja, kaedahnya adalah dengan menjadi pendengar yang baik iaitu mendengarkan segala luahan penderita dengan penuh empati.

“Pada masa sama, tunjukkan kasih sayang dan sikap ambil berat kita terhadap penderita,” cadangnya.

Sebenarnya, dalam kebanyakan waktu, pesakit depresi dan stres tidak mengharapkan kita untuk selesaikan masalah mereka pun, kata beliau.

Artikel berkiatan: Jangan cepat mengalah dalam hidup. Pakar ini kongsikan cara mudah tenang, rilekskan diri

Biasanya, hanya dengan menjadi tempat meluahkan perasaan sudah sangat membantu.

Oleh itu, pinjamkan telinga anda seketika dan tunjukkan bahawa masih ada orang yang sayang serta prihatin terhadap diri mereka.

#kitajagakita #kitalaluibersama