AROMA masakan menyelerakan dengan garapan rempah ratus menjadi kemestian bagi masakan Thailand.
Sajian dari negara Gajah Putih itu kaya dengan rasa aslinya. Dalam setiap menu, rasa pedas, manis dan masin seimbang.
Maka tidak hairanlah sajian Thailand menjadi kegemaran ramai. Ayam Tiram Thai misalnya adalah sajian yang mudah disediakan dan sangat sedap.
Ayam merupakan kegemaran anak-anak dan merupakan sumber protein yang paling mudah untuk diolah dan dijadikan lauk harian.
Jika setiap hari masak lauk yang sama pasti jemu. Untuk mencari kelainan, jom kita cuba resipi ini.
Ayam Tiram Thai ini sangat sesuai dengan selera Melayu yang menggemari rasa pedas dan manis dari cili dan kicap.
Rasa segar dari daun ketumbar pula menjadikan ia sajian Thailand yang autentik. Cukup ringkas dan sedap jika dimakan bersama nasi panas.
Bahan untuk ayam
10 ketul ayam
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
Garam secukup rasa
1 sudu besar minyak masak
Bahan untuk sos
5 ulas bawang putih
4 biji cili padi merah
3 batang akar ketumbar (ditumbuk)
1 sudu besar sos tiram
3 sudu kecil kicap cair
2 sudu besar gula
1 biji perahan limau nipis/ lemon
Daun ketumbar (dihiris halus)
Cara penyediaan
1. Bancuhkan bahan untuk ayam hingga sebati dan lumur pada ayam. Perap sebentar.
2. Bakar ayam dalam ketuhar 180°C hingga 200°C selama 20 minit.
3. Campurkan semua sos sehingga sebati.
4. Setelah ayam siap dibakar, tuangkan sos ke atas ayam dan taburkan daun ketumbar.
5. Siap untuk dihidang
Baca juga: [VIDEO] Resipi Ayam Masak Kicap Berempah dengan sambal. Terlajak sedap menambat selera
Resipi ini sesuai disediakan untuk empat orang. Sesuai dijadikan lauk untuk hidangan makan tengah hari dan makan malam.
Nampak banyak bahan menu ni, tapi sebenarnya bahan-bahannya mudah sahaja.
Tidak rugi mencuba kerana hasilnya pasti tidak mengecewakan. Ayam yang dibakar penuh perisa dan lembut, apabila dimakan bersama sosnya, sungguh enak dan menyelerakan.
Baca juga: Aiskrim Durian ‘homemade’ 5 bahan, sedap dan gebu
Sumber: Facebook Resipi Masakan Daging