KES bunuh ketua jururawat Siti Kharina Mohd Kamaruddin, 40, meraih tumpuan warga maya pada Mei 2019.
Kes tersebut menggemparkan negara susulan penemuan mayat dalam keadaan menyayat hati.
Siti Kharina yang bertugas sebagai ketua jururawat di Hospital Serdang dipercayai tinggal berjauhan bersama suami dan tiga orang anak berusia 10 hingga 14 tahun ketika itu .
Tiada siapa menyangka kehadirannya di hospital pada 8 Mei 2019 adalah yang terakhir sebelum ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tragis dengan kesan calar pada leher, kepala dan dada di sebuah kondominium di Cyberjaya.
Sebelum pembunuhan, Siti Kharina dipercayai telah mengenali pembunuhnya, seorang lelaki warga Nigeria, Alowonle Oluwajuwon Gilbert, 38 menerusi media sosial sejak beberapa tahun lalu.
Gilbert membunuh Siti Kharina di sebuah unit Kondominium Third Avenue, Cyberjaya antara jam 12.41 pagi, 9 Mei 2019 hingga jam 2.30 petang, 15 Mei 2019.
Semalam, Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Gilbert selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, Ab Karim berkata, kenyataan tertuduh bahawa dia sudah meninggalkan kediaman mangsa pada 8 Mei 2019 adalah bertentangan dengan bukti rakaman kamera litar tertutup di Kondominium Third Avenue, Cyberjaya, yang merakam kelibat tertuduh pada keesokan hari.
"Maka kenyataan tertuduh bahawa beliau tidak lagi bersama mangsa pada 8 Mei 2019 dan sudah meninggalkan kediaman itu hanyalah semata-mata penafian," katanya.
Selain itu, pihak pembelaan juga tidak mempertikaikan baju dipakai tertuduh pada hari kejadian yang mempunyai kesan darah dan asid deoksiribonukleik (DNA) milik mangsa.
Namun, katanya, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman itu sehingga selesai keputusan rayuan pihak pembelaan di Mahkamah Rayuan.
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Baca juga ‘Pembunuhan Siti Nur Surya Hampir Sama Seperti Kes 13 Tahun Lalu’ – Wartawan Jenayah
Berikut adalah kronologi kes pembunuhan kejam Siti Kharina.
8 Mei 2019
- Siti Kharina dilaporkan hilang apabila gagal dihubungi oleh ahli keluarga dan rakan serumahnya.
12 Mei 2019
- Pihak Hospital Serdang mengesahkan Siti Kharina dilihat kali terakhir di kawasan tempat letak kenderaan hospital itu pada 8 Mei lalu.
- Mangsa dilihat memandu kereta Honda City berwarna putih.
- Pengarah Hospital Serdang, Dr Rohana Johan mengesahkan Siti Kharina tidak hadir bertugas.
13 Mei 2019
- Polis menjalankan inkuiri berhubung kehilangan Siti Kharina dan mengklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.
14 Mei 2019
- Keluarga Siti Kharina meminta orang ramai berhenti menyebar maklumat palsu kononnya Ketua Jururawat itu sudah ditemui.
15 Mei 2019
- Mayat dipercayai Siti Kharina ditemui dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya
- Polis menahan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita Nigeria bagi membantu siasatan.
16 Mei 2019
- Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin mengesahkan mayat wanita ditemui di Cyberjaya adalah Siti Kharina.
Siti Kharina ditemui dalam sebuah unit kondominium di Cyberjaya. Lebih menyedihkan, polis mempercayai Siti Kharina sudah dibunuh dalam tempoh empat hingga lima hari berdasarkan keadaan mayatnya.
Adik menangis, syukur keputusan mahkamah
Memetik laporan Sinar Harian, adik Siti Kharina memanjatkan rasa syukur apabila keadilan akhirnya berpihak kepada mereka setelah hukuman gantung sampai mati dijatuhkan kepada tertuduh.
Khairani Mohd Kamarudin, 38, yang merupakan adik kepada mangsa, Siti Kharina Mohd Kamarudin memanjatkan rasa syukur kerana keadilan akhirnya berpihak kepada keluarganya.
Menurutnya, keputusan mahkamah itu memberi kelegaan kepadanya kerana dia sentiasa berdoa agar kebenaran dapat dibuktikan.
"Tidak kisahlah, dia menang atau kita menang, maksudnya yang penting keadilan.
"Selama ini pun kita doa keadilan didedahkan. Diharapkan inilah keadilannya," katanya ketika ditemui di luar mahkamah di sini pada Rabu.
Khairani berkata, dia berharap keputusan itu merupakan titik akhir kejadian terhadap keluarganya dan berharap tidak akan berlaku perkara berkaitan selepas ini.
Syukur kerana dengan ini kematian tragis Allahyarham Siti Kharina akhirnya terbela. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.
Sumber: BERNAMA, Sinar Harian, Wikipedia