KEMALANGAN melibatkan lima buah kenderaan di Jalan Ipoh baru-baru ini meraih perhatian ramai.
Masakan tidak, lima kenderaan yang dirempuh di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu selamat tanpa kehilangan jiwa dan kecederaan serius.
Paling mendapat perhatian ialah Perodua Myvi yang remuk teruk selepas pelanggaran itu.
Jika dilihat kepada keadaan kenderaan tersebut, mungkin ramai berpendapat mustahil bagi seseorang untuk tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
Baca juga Myvi Kuning Hancur, Pemandu Selamat. 5 Kenderaan Dirempuh Lori Laju Positif Dadah
Ironinya, pemandu Myvi berkenaan yang dikenali Nik berjaya keluar dengan selamat.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pengguna TikTok @firdaushshm yang memaparkan detik-detik cemas pemandu berkenaan keluar dari keretanya.
Melalui satu hantaran yang lain, pemuda berkenaan turut memuat naik video perbualan dirinya bersama dengan pemandu Myvi berkenaan yang dikenali sebagai Nik.
Nik mengakui dia mengalami kecederaan seperti sakit di bahagian tengkuk, paha, hidung patah serta bahagian mulut yang perlu dijahit.
Menerusi video tersebut, lelaki berkenaan sudah pun discaj daripada hospital selepas menerima rawatan susulan kemalangan ngeri itu.
Selain itu, Nik juga turut menafikan dakwaan orang ramai tentang keadaan keretanya yang tiada sistem airbag yang menyebabkan dia mengalami kecederaan.
"Apa tak ada airbag nya, kalau tak ada benda tu saya dah tanam dah (meninggal dunia). Itu yang saya selamat tu. Myvi semua ada airbag,” ujarnya melalui video berkenaan.
Namun, disebalik kejadian itu, Nik menitipkan kesyukuran kerana masih diberi kesempatan untuk meneruskan hidup walhal kenderaannya remuk pada keseluruhan tempat duduk belakang kenderaan kecuali di bahagian tempat duduk hadapan.
Lelaki itu juga bersyukur kerana kereta Myvi miliknya tidak meletup semasa kejadian. Malah dia juga telah meminta bantuan orang ramai untuk menariknya keluar.
"Tak boleh keluar dari tingkap, saya minta tolong orang ramai tarik kereta tu untuk besarkan ruang, barulah boleh saya keluar,” katanya.
Pun begitu, dia mengakui tidak tidak mengetahui keadaan pemandu lori yang melanggar kenderaaan miliknya dan hanya memaklumkan akan membuat laporan polis pada hari berikutnya.
Dalam pada itu, Nik turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantunya dalam kejadian itu.
Rata-rata wargamaya meluahkan kesyukuran kerana lelaki berkenaan selamat dalam kemalangan. Tidak kurang juga yang mengagumi sikap tenangnya ketika kejadian.
Sumber: TikTok @firdaushshm