PENGORBANAN seorang ibu melahirkan tidak akan mampu dibalas. Walau apapun cabaran dan ranjau berliku ditempuhi jua demi membesarkan permata hati.
Seorang wanita dikenali sebagai Syamimi berkongsi di laman sosial TikTok tentang perjalanan yang ditempuhi.
Wanita berusia 25 tahun itu menceritakan bagaimana dia bersama dua adiknya dibesarkan ibu yang mengalami kelainan upaya penglihatan sejak kecil.
Bagi Syamimi, bukan mudah untuk dia menceritakan kisah hidupnya di media sosial.
"Keluarga saya tidak sempurna tetapi cukup luar biasa.
"Dibesarkan oleh ibu yang cacat penglihatan, bagi saya Umi adalah wanita yang cukup sempurna,” tuturnya.
Bekas pembantu setiausaha itu menceritakan kepayahan ditempuhi ratu hidupnya itu tatkala mencari rezeki buat mereka sekeluarga.
"Dia berniaga tisu di waktu malam di kawasan Kuala Lumpur.
"Kadang-kadang ada wartawan yang mengambil gambarnya sesuka hati dan menggelarkannya sebagai pengemis ketika tahun 2000,” katanya yang masih menyimpan keratan akhbar berkenaan.
Syamimi juga ingat, ibunya pernah berkata, orang biasa (orang lain) yang tak tahu perjalanan hidup mereka, acapkali memandang ibunya dengan pandangan benci dan menyampah.
Malah mengambil gambar ibunya sesuka hati sehingga memberi gelaran pengemis walaupun mereka sedang berniaga tisu dan tidak mengganggu orang lain.
Tidak betah membiarkan ibu bekerja seorang diri, Syamimi bercerita dia pernah mengikuti ibu menjual tisu tatkala cuti sekolah.
Biarpun pendapatan diperolehi tidak seberapa, ibunya tidak memaksa pelanggan membeli tisu yang dijual.
Baca juga Mulianya Hatimu Guru, Sanggup Cipta Alat Bolehkan Pelajar OKU Penglihatan Berlari
" Saya pernah menemani Umi berniaga tisu ketika cuti Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Ia sangat memilukan. Ramai yang melihat Umi dan mereka arahkan Umi untuk pergi.
"Cara Umi bekerja, dia tidak pernah paksa orang beli tisunya.
"Apa yang dikatakannya ialah"Encik, derma ikhlas.” Jadi ramai yang membayar 10 hingga 50 sen untuk satu (peket) tisu,” katanya.
Jika dihitung, ketika itu pendapatan yang diperolehi ibunya sangat kecil untuk mereka sekeluarga. Namun ibu istimewa itu tetap gigih tanpa berputus asa mencari rezeki. Susah payah ibunya hingga pernah diusir ketika berjualan menjadi penguat semangat.
"Umi terima RM20 satu malam setelah ditolak dengan tambang teksi, makan dan modal tisu untuk keesokan harinya.
"Saya senyum dan berdoa, hari demi hari. Bersama Umi saya mendapat keputusan semua A dalam PMR,” ujarnya.
Menurut Syamimi, kini wanita hebat itu sudah tiada lagi. Ibunya difahamkan telah menghembuskan nafas terakhir pada 1 Oktober 2016 selepas tiga bulan menghidap kanser ovari tahap empat.
Dia sempat menjaga ibunya semasa sakit. Malah ibunya berpesan supaya tidak takut untuk datang lawat kuburnya.
"Saya pernah digelar skema, pendiam, perahsia, pelik dan tidak begitu cantik beberapa tahun lepas.
"Tetapi saya dilahirkan oleh seorang wanita yang berani dan kuat, yang juga telah melahirkan tiga anak perempuan yang cantik.
"Itu yang membuatkan saya istimewa,” katanya.
Semoga kisah ketabahan dan pengalaman yang dikongsikan Syamimi menjadi pengajaran serta inspirasi buat kita semua.
Sumber: TikTok Syamimia