PROGRAM Hijrahkan Laguku sudah pun membuka tirai minggu pertama dengan persembahan lapan bintang pada Sabtu, 20 November.
Bertemakan Hijrah, program nyanyian berkonsepkan realiti TV itu menggabungkan penyanyi lama dan baharu iaitu Datuk Nash, Iwan Syahman, Rahmad Mega, Zack Kool, Zaf VE, PG Adam, Shahir Zawawi dan Mark Adam menyampaikan mesej positif serta dakwah menerusi lagu pilihan yang digubah liriknya.
Hijrahkan Laguku turut mengumumkan juri tetap pada minggu pertama, iaitu komposer terkenal, Fauzi Marzuki, manakala Datuk Badli Shah Alauddin hadir selaku juri jemputan.
Program itu turut menerima reaksi positif daripada orang ramai yang menyifatkan Hijrahkan Laguku tampil dengan konsep lebih segar dan penuh kreativiti.
Malah Fauzi juga melihat perjalanan persembahan minggu pertama itu sebagai satu petanda baik dan berharap lapan bintang yang terlibat akan tampil dengan lagu yang lebih popular beserta lirik lebih kreatif selari dengan konsep program ini.
"Peserta yang terlibat semuanya mempunyai pengalaman menyanyi. Cuma saya harap pada minggu seterusnya, mereka lebih berani tampil dengan lagu yang popular dan lirik yang lebih kreatif.
"Mereka harap menepati apa yang ingin disampaikan kepada penonton,” ujarnya.
Justeru bagi memberi peluang kepada lapan bintang untuk berkarya, mereka diberi peluang untuk mara ke minggu kedua pada 27 November depan.
Program lapan episod itu menampilkan Faizal Ismail dan Bell Ngasri selaku hos akan bersiaran secara langsung, pada setiap Sabtu, jam 9 malam.