HARGA tidak masuk akal seekor ikan siakap di Langkawi baru-baru ini menggemparkan negara.
Ramai yang mempertikaikan harga ikan yang terlalu mahal dan menganggap pelanggan dianiaya.
Kes yang tular ini secara tidak langsung membuka mata orang ramai agar lebih berhati-hati.
Susulan daripada kes itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mula melakukan siasatan mengenai kes ‘siakap kayangan.’
Berikut adalah kronologi kes berkenaan:
1. Ikan siakap seberat 7.48 kilogram (kg) yang dipelihara itu telah dihidangkan kepada sekumpulan tujuh pelancong di sebuah restoran terapung di pulau itu yang asalnya hanya memesan dua ekor ikan siakap saiz biasa.
2. Bil dikenakan ialah RM1,759.50 termasuk hidangan makanan dan minuman yang lain kemudian menjadi tular di media sosial.
3. Namun pihak peniaga pula mendakwa dia sendiri yang mengambil pesanan pelanggan terbabit dan memintanya untuk melihat ikan sebelum dimasak tetapi mereka enggan berbuat demikian.
4. Dakwanya, pelanggan sudah dicadangkan supaya ambil ikan lain seperti siakap merah atau kerapu dengan saiz antara satu hingga 1.5 (kg) yang mana lebih sesuai untuk dijadikan hidangan
5. Peniaga juga mendakwa harga bagi ikan siakap terbabit juga sudah dinyatakan di dalam menu restorannya iaitu RM16 bagi setiap 100 gram (g).
6. Peniaga juga mendakwa sudah menerangkan kepada pelanggan berkenaan bahawa ikan yang dipesannya seberat kira-kira 7kg itu tidak dijual tetapi dipelihara dalam sangkar untuk dijadikan tontonan pengunjung restoran.
7. KPDNHEP mengeluarkan notis kepada peniaga restoran terapung terbabit untuk mengemukakan maklumat berkaitan item tertentu serta perniagaan dijalankan termasuk mengenai kos ikan serta beberapa makanan lain dan jus tembikai, kos dari segi utiliti, pembayaran gaji pekerja dan sebagainya.
8. Setiap penjelasan berhubung perkara itu turut perlu disertakan dengan dokumen sokongan.
9. Notis berkenaan perlu dijawab dalam tempoh lima hari bermula 8 November lalu. Bagaimanapun sehingga 17 November peniaga terbabit gagal mengemukakan dokumen tersebut walaupun KPDNHEP telah melanjutkan tempoh penghantaran dokumen itu.
10. Sinar Harian melaporkan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata kegagalan pemilik premis mengemukakan dokumen yang dikehendaki menyebabkan siasatan lanjut mengenai kemungkinan wujud unsur pencatutan tidak dapat dijalankan berikutan dokumen lengkap seperti kos operasi dan kos-kos lain tidak diperolehi.
[caption id="attachment_64024" width="800"] Gambar hiasan.[/caption]
Individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 53(A) AKHAP boleh didenda RM50,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan dendanya meningkat sehingga RM100,000 dan penjara lima tahun bagi kesalahan berulang.
Menyedari taktik yang dilakukan sesetengah peniaga, Ops Menu dilancarkan oleh KPDNHEP bermula 6 November lalu dimana sebanyak 2,814 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara.
Sebanyak 21 kes direkod melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM6,400. 10 darinya adalah kes di bawah AKHAP 2011 dan 11 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Kes-kes kepenggunaan sebegini wajar dijadikan iktibar kepada kita semua agar berhati-hati.
Jangan ada lagi peniaga mengambil kesempatan manakala pengguna menyedari hak untuk mengelakkan dianiaya dan tertipu.
Baca juga: Harga makanan ‘cekik darah,' restoran Salt Bae jual Coke RM51 setin
Baca juga: 1 Sajian Siakap Bersamaan 5 Sudu Makan Isi Ikan, Ini Disyorkan NutritionistKKM
Jangan lupa follow kami di Instagram!
Sumber: Sinar Harian