'Sekarang mak makin tak larat'- Nubhan kongsi cara menjaga ibunya yang semakin uzur, tukar katil demi keselesaan
SETIAP kejayaan yang diraih seseorang, ada tangan penyayang yang menyokong di belakangnya. Bagi penyanyi Nubhan, tangan itu milik ibunya, Badariah Omar atau lebih mesra dikenali sebagai Mak Jenny.
Kini, apabila usia semakin meningkat dan tenaga berkurangan, Nubhan mengambil langkah bijak untuk memastikan ibunya sentiasa selesa di rumah.
Perkongsian itu dikongsikan penyanyi yang nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad menerusi video di TikTok, memperlihatkan dirinya menyiapkan katil baharu khas untuk Mak Jenny.
Katil itu bukan sekadar perabot biasa, tetapi satu bentuk kasih sayang yang nyata, simbolik penghargaan si anak terhadap pengorbanan ibunya sepanjang hidup.
“Mak bukan sakit teruk, cuma umur sudah meningkat dan badan tak sekuat seperti dahulu. Semua yang saya bina hari ini bermula daripada tangan wanita ini, sekarang mak makin tak larat.
"Saya tak mampu balas semua, sekurang-kurangnya saya pastikan mak selesa,” jelas Nubhan dengan penuh rasa kasih.

Katil yang disediakan itu dipilih dengan teliti. Reka bentuknya boleh dilaraskan supaya memberi sokongan optimum ketika Mak Jenny berehat atau bangun.
Kedudukan katil yang lebih rendah juga memudahkan dirinya turun dan naik tanpa perlu banyak bergerak, memastikan keselamatan seorang warga emas sentiasa terjaga.
Warga emas itu sendiri menyatakan keselesaan dengan katil rendah tersebut.
“Kalau tinggi sangat tilam tu mak tak boleh pakai, elok macam ni sahaja.
"Bila rendah, kaki mudah nak pijak lantai, senang,” katanya sambil tersenyum.
Nubhan menegaskan bahawa fokus utama kini adalah kesihatan dan keselesaan ibunya.
Bagi ayah kepada dua cahaya mata iaitu Aafiya Kamilia dan Ahmad Aulad Cikmad, segala yang dikecapinya hari ini adalah hasil pengorbanan 'syurganya' sejak dahulu.

Katil baharu berkenaan hanyalah salah satu cara lelaki itu membalas jasa insan yang sudah banyak membentuk hidupnya.
Video itu bukan sekadar perkongsian personal, tetapi juga pengajaran penting buat semua anak: menjaga ibu bapa bukan hanya tanggungjawab, tetapi juga satu bentuk penghargaan yang tulus.
Dengan perhatian dan usaha sebegini, Nubhan bukan sahaja memastikan Mak Jenny lebih selesa, tetapi turut memberi contoh gaya hidup penuh kasih sayang yang boleh dicontohi ramai.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
