Dari gig kecil ke pentas besar, Kristal himpunkan 25 tahun nostalgia dan persahabatan dalam satu malam
BAGI peminat muzik tempatan, nama Kristal bukan sekadar kumpulan rock biasa.
Ia adalah simbol persahabatan, semangat, dan dedikasi yang membina legasi selama 25 tahun.
Dari studio kecil dan persembahan bawah tanah, mereka kini bersiap menyinari pentas besar dalam satu konsert nostalgia yang bakal mencipta sejarah tersendiri.
Dua setengah dekad lalu, sekumpulan anak muda memulakan langkah dengan impian sederhana: menyanyi, berkarya, dan menawan hati peminat dengan muzik mereka.
Tiada lampu gemerlapan, tiada pentas besar, hanya muzik dan ikatan persahabatan yang menjadi asas perjalanan mereka.

Bermula dari gig bawah tanah dan studio kecil, Kristal perlahan-lahan membina nama, hingga muncul sebagai salah satu kumpulan rock yang meninggalkan impak tersendiri dalam landskap muzik Malaysia.
Sepanjang perjalanan itu, ahli kumpulan bertukar-tukar, cabaran mendatang silih berganti, tetapi semangat dan kecintaan mereka terhadap muzik kekal utuh.
Kini, kenangan-kenangan itu bakal dihidupkan semula menerusi Konsert ‘Kristal OG - 25 Tahun Dalam Satu Malam’ pada 1 Mei di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya sebuah penghargaan kepada peminat yang membesar bersama lagu-lagu Kristal sejak awal penubuhan mereka.
Menurut Lan, vokalis utama Kristal, “Konsert kali ini berlainan daripada sebelum ini. Kami akan bawakan semua lagu daripada album pertama hingga ke-13, termasuk karya yang dianggotai ahli lama seperti Rody, Izal, Joe, Acap, Amai, Ainol, Rijal dan ramai lagi. Semua ini bakal dipersembahkan dalam satu malam yang unik.
Kekal relevan
Lan menambah, signifikan 25 tahun tersebut bukan sekadar angka, tapi perjalanan seni dia bersama Kristal sejak kanak-kanak hingga kini.
"Walaupun ahli bertukar-tukar, konsep dan genre muzik tetap sama.
'Jatuh bangun kami lalui bersama cabaran dan dugaan, tetapi ia tidak mematahkan semangat untuk berkarya dan kekal relevan," ujarnya.

Konsert berkenaan dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih KhaiRosma dengan kerjasama Blavia dan Andromeda Event, sambil mendapat sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures menerusi Dana Kandungan Kreatif dan Dana Persembahan Muzik.
Mengulas lanjut mengenai pembabitannya sebagai penganjur, Khai berkata, idea konsert tersebut lahir daripada rapatnya dengan Lan.
“Lan tidak pernah buat persembahan solo besar sebelum ini, cuma gabung dengan vokalis lain.
"Jadi, tercetus idea untuk mengadakan konsert solo bersama Kristal. Memang ada cabaran, tapi ia jadi satu jenama tersendiri iaitu Kristal OG.
"Malam itu nanti bukan sekadar konsert, ia satu pengalaman nostalgia yang mengimbau 25 tahun perjalanan muzik, persahabatan, dan kenangan indah yang tidak akan dilupakan peminat," ujarnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang
